Namun begitu dicadangkan su­paya konsep wakaf tunai digunapakai bagi menarik minat golongan pekerja Muslim untuk menyumbang, sekali gus me­raih ganjaran berpanjangan buat selama-lamanya. Ini bersandarkan riwayat yang menyebutkan: “Apabila mati anak Adam terputus amalannya kecuali pada tiga perkara - sedekah jariah, il­mu yang bermanfaat dan anak so­leh yang mendoakan kedua ibu ba­pan­ya.” (Riwayat Muslim).

Walaupun tidak terdapat ayat al-Quran secara spesifik yang menyebut tentang wakaf, sedekah jariah dalam hadis tersebut dirujuk oleh kalangan ulama sebagai wakaf yang dikekalkan modalnya hanya manfaat atau hasilnya digunakan untuk kepentingan go­longan yang ditentukan dikenali sebagai wakaf khas ataupun untuk sebarang tujuan kebajikan yang dikenali sebagai wakaf am.

Baginda Nabi SAW dikatakan sebagai individu yang mula-mula mewakafkan tanah yang dibeli dengan nilai 800 dirham untuk pembinaan Masjid Nabawi selain mewakafkan harta peninggalan seorang Yahudi bernama Mukhairiq yang terkorban dalam Peperangan Uhud. Amalan ini di­ikuti oleh para sahabat sehingga disebutkan bahawa tidak ada seorang pun daripada kalangan sahabat Nabi SAW yang tidak mewakafkan harta milik mereka.

Sunah berwakaf diteruskan hi­ngga ke hari ini dengan sejarah mencatatkan bagaimana wakaf pernah berperanan sebagai pemangkin ekonomi negara dan ke­sejahteraan ummah suatu ketika dahulu. Konsep wakaf pernah digunakan oleh para sahabat untuk menyediakan aset ketenteraan.

Konsep wakaf pernah digunakan untuk membayar gaji pegawai kerajaan, guru selain menyediakan biasiswa kepada pelajar memerlukan. Pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyyah, wakaf digunakan untuk membangun gedung perniagaan, institusi pendidikan, kawasan rehat dan rawat untuk pengembara dan tempat mandi awam. Malah direkodkan bahawa kerajaan Mesir pernah meminjam dana wakaf al-Azhar untuk menampung ­keperluan perbelanjaan kerajaan akibat masalah kegawatan ekonomi yang melanda Mesir suatu ketika dahulu.

Jika diteliti amalan berwakaf di Malaysia juga bukanlah asing. Sejak kemasukan Islam ke alam Melayu, masyarakat Islam mula mewakafkan harta untuk pembinaan masjid, madrasah selain wakaf tanah untuk perkuburan.

Dalam bentuk kontemporari, wa­­kaf digunakan untuk memba­ngun­kan hotel, pusat perniagaan, membangun aset wakaf di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, membangunkan hospital dan klinik wakaf, menyediakan rawatan kesihatan, wakaf dalam bidang perladangan dan aktiviti pertanian selain pembiayaan wakaf pendidikan tinggi oleh universiti tempatan.

Justeru, berdasarkan catatan se­jarah, konsep wakaf untuk pembangunan negara signifikan untuk dilaksanakan. Bagaimanapun ia memerlukan sedikit masa untuk meneliti dan mengkaji mekanisme pelaksanaannya agar tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Yang mana rangka kerja dasar bagi merealisasikan cita-cita ter­sebut telah pun dimulakan di pe­­ringkat akar umbi oleh rakan-rakan ahli akademik dan pakar dalam bidang wakaf di Malaysia melalui inisiatif yang dimulakan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini. Malah dengan konsep wakaf, sumbangan pewakaf kekal hanya manfaatnya digunakan secara konsisten.

Jika diteliti usaha sebegini juga pernah dilakukan ketika oleh orang Melayu yang mender­ma untuk pembinaan Kolej Islam Malaya pada 1955. Dalam masa singkat sejumlah dana berjaya dikumpulkan, malah kalangan istana dan ahli perniagaan Cina turut sama menyumbang. Almarhum Sultan Hishamudin Alam Shah mi­salnya mewakafkan sebahagian daripada tanah Istana Jamiah, Kampung Jawa, Klang, Selangor untuk kegunaan Kolej Islam Malaya selain Tan Sri Lee Kong Chian dan The Shaw Brothers mendermakan sebanyak RM50,000 untuk tujuan tersebut.

Disebutkan juga bagaimana ma­­syarakat Islam di Singapura pada ketika itu telah mengadakan kempen mogok lapar demi untuk mengurangkan perbelanjaan hari­an seterusnya didermakan untuk pembinaan Kolej Islam Malaya.

Sungguhpun begitu, apapun yang akan dicadangkan kepa­da pihak kerajaan kelak tidak akan menjadi kenyataan jika ma­syarakat masih melihat wakaf dalam konteks tradisi seperti wakaf untuk pembinaan masjid dan tanah perkuburan yang se­mema­ngnya relevan sepanjang zaman. Namun begitu masyarakat diajak untuk berfikiran terbuka dan membuka luas pintu wakaf dalam konteks yang menyeluruh sehingga turut serta berwakaf untuk mengurangkan bebanan hutang negara.

Bayangkan bagaimana dengan nilai sekurang-kurangnya RM10 yang diwakafkan boleh dimanfaatkan negara yang mana pewakaf meraih ganjaran berlipat kali ganda selama-lamanya. Malah inilah juga tanda individu Muslim bersyukur atas nikmat gaji dan pendapatan bulanan yang diperoleh dengan menginfakkan sebahagian harta fi sabilillah. Allah SWT berfirman maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu der­makan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Menge­tahui”. (Terjemahan al-Quran, Su­rah ‘Ali Imran 3:92)

Dalam pada itu, pihak persendirian yang terlibat menguruskan dana wakaf dinasihatkan tidak membe­lakangkan peruntukan enak­men ne­ge­ri yang mensyaratkan semua wa­kaf didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Ne­geri bagi mengelak gejala ketirisan dan penyelewe­ngan dana awam yang mencalarkan imej Islam dan ummah.

Usah teruja dengan keseronokan untuk meraih ganjaran ber­gan­da tetapi gagal menguruskan wakaf dengan sempurna sehingga niat pewakaf tidak kesampaian malah pengurus dana pula terpalit dengan dosa yang tidak di­sangka-sangka.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.