Adakah Allah Yang Maha Kuasa begitu lemah kerana hanya memilih hamba-Nya yang kaya sahaja bagi dimakbulkan doa. Adakah betul tanggapan ini? Bagaimana pula dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.”

Sebenarnya ‘meminta’ mempunyai prosedur operasi standard. Contohnya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), orang ramai tidak boleh hanya sekadar memasang niat, kemudian bantuan akan mencurah-curah masuk ke dalam akaun masing-masing.

Borang BR1M perlu diisi, sediakan salinan dokumen penting atau lebih tepat kena akur dengan syarat dikenakan pemberinya. Begitu juga dengan doa, antaranya perlu utamakan Hak Allah pada setiap masa.

Seorang hamba juga perlu konsisten mengingati Allah. Jangan hanya mencari-Nya ketika susah, ketika senang semuanya ‘ke laut’. Terdapat segelintir ketika dilanda musibah, solatnya menjadi khusyuk luar biasa me­ngalahkan para wali.

Pada masa ini tengah tular di media sosial tentang perniagaan terbaru iaitu pakej berdoa di hadapan Kaabah dan Tanah Suci. Lebih tinggi bayaran bermakna potensi untuk dimakbulkan Allah lebih tinggi. Malaysia Boleh! Rakyat negara ini perlu berbangga kerana pakej ini adalah yang pertama di dunia.

Dalam Islam, tiada kaedah jalan pintas, jika diteruskan juga kebarangkalian berlaku perkara menyelewengkan akidah adalah amat tinggi. Contoh, ajaran sesat yang intipatinya mengutamakan jalan pintas.

Bagi mereka, semua ibadat boleh pakai niat, ­sembahyang, puasa dan haji tetapi semasa lapar dan ingin­kan makanan untuk diisi ke dalam perut tidak pula kaedah niat ini diamalkan.

Begitu juga dengan doa, ditegaskan bahawa tugas memakbulkan doa adalah hak mutlak Allah. Manusia langsung tiada kuasa untuk menentukan status makbul atau sebaliknya. Apa yang menjadi masalahnya, pemilik perniagaan doa itu seolah-olah memberi jaminan bahawa doa pelanggan bakal dimakbulkan!.

Allah suruh seorang hamba berdoa kepada-Nya bukan melalui perantara makhluk. Bukan penulis yang kata tetapi Pemilik alam semesta ini yang tegaskan.

Firman Allah dalam Surah Ghafir, ayat 60: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”

Ada sedikit soalan untuk ahli perniagaan berkenaan yang kononnya mempunyai ‘kabel’ untuk memakbulkan doa. “Adakah dia mempunyai saham dalam kuasa ‘eksklusif’ dimiliki Allah itu?

Alang-alang dah berdoa, rasanya boleh dikirimkan doa menyelesaikan segala permasalahan sosial kronik melanda umat Islam. Amat senang hidup ini, tanpa perlu ­berusaha gigih mematuhi perintah Allah, semuanya mampu diselesaikan oleh syarikat hebat berkenaan.

Pihak berkuasa wajib memantau penyelewengan ini, jangan biarkan ia menjadi sejuk dengan sendiri kerana natijahnya amat teruk - akidah umat Islam bakal rosak. Tidak mustahil selepas ini wujud pakej lain seperti tiket elak disumbat dalam neraka pula!

Tidak dinafikan Islam mengajar manusia berdoa de­ngan kaedah tertentu, namun mengeksploitasi ‘jualan pemakbulan doa’ adalah tindakan biadab seolah-olah mencabar nama Allah, al-Mujib (Yang Mengabulkan).

Memetik kata-kata, kolumnis Refleksi al-Quran dalam Utusan Malaysia, Abdullah Bukhari al-Hafiz: “Jika benar mahu berdoa kepada sesiapa yang berhajat di Mekah, Madinah, atas bukit, di bulan. Usahlah dipakejkan dengan berbagai harga melampau, berdoalah dengan ikhlas kerana ikhlas itu umpama bateri utama dalam doa.”