Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

KONGRES BUDAYA KOMITMEN SEMUA

 2

MUKADIMAH
KONGRES Budaya julung kali diadakan pada 1971 dan tidak pernah lagi dibuat selepas itu. Dalam tempoh 46 tahun sejak itu, pelbagai dasar telah dilaksanakan dalam mengejar kemajuan yang telah mencorakkan kehidupan masyarakat. Tetapi sayangnya, nilai-nilai masyarakat Melayu semakin pupus dek terpengaruh dengan budaya luar.

Bimbang budaya Melayu akan terhakis, kerajaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DB P) akan menganjurkan semula Kongres Budaya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April ini untuk mencari asas-asas kehidupan bernilai tinggi bagi masyarakat Malaysia amnya dan Melayu MUKADIMAH khususnya.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZULKARNAIN OTHMAN, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, TAN SRI DR. RAIS YATIM memberitahu, asasasas kehidupan atau budaya bernilai tinggi itu perlu dilihat dalam konteks cara hidup dan tidak disempitkan dalam manifestasi seni sahaja.

"Sekarang setelah melihat keadaan bangsa Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya menghadapi cabaran masa hadapan, kami berpendapat jika tidak diungkai beberapa perkara ulung dalam kehidupan kita, mungkin kita terus digelombangi cara hidup luar dan tidak lagi mempunyai asas-asas kehidupan Melayu, warga Malaysia orang Cina, orang India dan lain-lain," kata beliau.
 

MINGGUAN: Kongres Budaya pertama dianjurkan pada 1971. Kenapa ambil masa begitu lama untuk buat kongres yang kedua?

RAIS: Sebab peringatan kita tentang kongres pertama itu, asas-asasnya agak berbeza. Masa itu Malaysia baru terbentuk. Kita memikirkan tentang pentingnya ketuanan Melayu dan kemerdekaan dalam Malaysia. Dalam 46 tahun ini, kita mempunyai banyak dasar-dasar yang dianggap penting dan berkesan. Misalnya Wawasan 2020, Dasar Pandang ke Timur dan pelbagai lagi. Kesemuanya ada 21 dasar.

Jadi, kerajaan Persekutuan dan negeri menganggap tidak perlu diadakan kongres kerana sudah ada banyak dasar. Bila kita buat semakan balik, rupa-rupanya kita banyak hilang keperibadian. Kita tidak soal tentang keperibadian tetapi banyak pasal kemajuan dan ekonomi. Ada satu pendekatan iaitu budaya berekonomi Malaysia yang akan dibincang. Misalnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih berada antara 15 peratus dan 18 peratus. Kalau setakat 18 peratus, apa kita buat? Kita kena akui kita sudah silap besar. Pakar mengatakan tidak lebih 18 peratus tetapi kerajaan hendak mengatakan sekurang-kurangnya 23 peratus. Di situpun tidak ada satu angka yang boleh diperakukan terus.

Satu lagi sebab kenapa tidak diadakan kongres adalah kebanyakan orang apabila sebut kongres budaya, mereka ingat kebudayaan sahaja. Sedangkan budaya bererti cara hidup. Dalam salah faham begitulah ambil masa sampai 46 tahun.

Apakah keperluan untuk mengadakan Kongres Budaya pada masa sekarang?

RAIS: Sebagai Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, saya terasa semenjak saya menjadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dahulu lagi, soal hendak mewujudkan budaya tinggi masyarakat kita sentiasa muncul setiap musim dalam erti kata budaya dalam konteks cara hidup, bukan budaya dalam konteks manifestasi seni sahaja.

Bermakna cara berfikir, menterjemahkan fikiran, pendidikan kita, cara kita bertindak dalam menghadapi sesuatu masalah secara kumpulan atau individu dan kandungan-kandungan dalam pentadbiran negara. Ini kita anggap sebagai cara hidup.

Cara hidup inilah sebenarnya yang melahirkan kebudayaan, waima budinya atau terjemahan kepada manifestasi budaya dalam bentuk seni, kraf dan lain-lain. Kali terakhir kita mempunyai Kongres Budaya adalah tahun 1971, bermakna sudah 46 tahun.

Saya sendiri terasa ketinggalan sebab tidak sempat semasa saya menjadi Menteri Kebudayaan dahulu mendapatkan pandangan Perdana Menteri dan kawan-kawan dalam Kabinet, pentingnya untuk diadakan kongres. Sekarang setelah melihat keadaan bangsa Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya menghadapi cabaran masa hadapan, kami berpendapat jika tidak diungkai beberapa perkara ulung dalam kehidupan kita, mungkin kita terus digelombangi cara hidup luar dan tidak lagi mempunyai asas-asas kehidupan Melayu, warga Malaysia orang Cina, orang India dan lain-lain. Ini premis yang paling utama, terasa oleh kita selepas 46 tahun.

Tempoh hari setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil saya menyampaikan surat dan pandangan saya, beliau pun bersetuju supaya kongres ini diadakan semula. Sementelahan pula kongres pada 1971 dirasmikan oleh Tun Abdul Razak Hussein.

Jadi, sekarang anakandanya menjadi Perdana Menteri, saya terasa terpanggil untuk meminta persetujuan kerajaan diberi hemah supaya kita mengadakan kongres.

Apakah isu-isu pokok yang akan dibincangkan pada Kongres Budaya kali ini?

RAIS: Saya sedar dengan mengadakan kongres ini bukan semua masalah habis, mungkin ada tambahan yang lain. Tetapi sekurang-kurangnya boleh kita cari nas-nas dan kesedaran-kesedaran baharu, bagaimana kelemahan asas atau perkara yang perlu kita wujudkan semula supaya dapat kita teruskan perjuangannya.

Pertamanya, kongres ini (diadakan) untuk mencari asas-asas kehidupan bernilai tinggi. Bukannya soal jawi atau bagaimana jualan akhbar Melayu menurun tetapi nilai-nilai tinggi dalam kehidupan kita, saya dan rakan-rakan dapati ia sudah menurun.

Apakah ertinya nilai-nilai tinggi itu boleh kita senaraikan. Senarai ini nampak seperti budi sudah berkurangan dalam kehidupan kita. Orang Melayu sudah tidak berpegang banyak kepada budi. Nas-nas al-Quran dan hadis elok dalam sebutannya tetapi tidak ada terjemahannya ke bawah.

Selain daripada itu, selepas merdeka tahun 1957, kita masih dapat tandas busuk dan kotor dalam masjid dan surau. Ini saya dapati memang menusuk pemikiran dalaman kita. Disiplin dalam sekolah pun teruk. Masyarakat kita seolah-olah tidak ada panduan yang berkesan untuk mengawal hal-hal seperti itu.

Harus kita bincangkan perkara ini walaupun sekarang kita masuk ke bab Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita hendak lihat bagaimana Wawasan 2020 tempoh hari gagal atau kurang dan apa yang harus kita masukkan dalam TN50. Jawapannya mudah, mesti ada perkiraannya tentang budaya tinggi yang boleh membawa kita ke tahap tamadun tinggi.

Bagi menerapkan budaya tinggi, sudah tentu aspek pendidikan amat penting. Apakah perlu dibuat perubahan terhadap dasar pendidikan?

RAIS: Saya lihat dalam aspek tamadun tinggi, orang Thailand, Singapura dan Indonesia sudah melumbai kita. Jadi terasa oleh saya, sekarang mesti tengok pendidikan nasional kita.

Mungkin inilah yang harus kita bincang bersama di mana masalah timbul dalam konteks pendidikan kita di bawah. Hal-hal ini akan menjadi topik dan bahan pemikiran penting kepada rakan-rakan di kongres itu. Sebahagian besar universiti, badan-badan budaya bukan kerajaan, para guru dan pemimpin masyarakat akan terlibat. Kami akan melibat seramai mungkin pihak yang boleh menyumbangkan cadangan.

Topik yang satu lagi ialah cara kita mengolah pendidikan rendah dan prasekolah. Sekarang ini semua longgar. Prasekolahnya longgar dan di sekolah rendah tidak ada penekanan kepada budi dan nilai persekitaran. Sungai kita paling kotor sebab tidak diajar menghormati alam semula jadi.

Jadi pihak saya yang selalu memekik mengatakan “Pisau raut bongkok hulu. Bentang tilam tengah halaman. Pasir di laut jadi guru. Alam terbentang pedoman.”

Itu pantun lama tetapi orang sudah tidak pakai. Tidak ada hubungan antara pendidikan dengan persekitaran kita.

Mungkinkah Kongres Budaya ini juga diadakan setelah melihat hubungan antara kaum di negara ini yang semakin regang?

RAIS: Satu perkara lagi yang saya rasa penting ialah budaya perpaduan kaum yang di tanah air kita rapuh. Kita lihat sekolah Cina membawa budaya Tionghua dan mereka meneruskan impian mereka. Bahasa mereka jangan sentuh, mereka tahu apa hendak buat. Budaya mereka jangan sentuh, mereka tahu apa hendak buat. Kita tidak ada pendirian itu dalam pembelajaran kita.

Jadi, guru-guru kita tidak lagi diajar silibus budi. Kalau guru tidak cukup asuhan di situ, sampai macam mana kita dapat mewujudkan dalam kalangan anak-anak di bawah. Bagi saya dan kawan-kawan dalam jawatankuasa kongres, inilah masanya untuk kita menilai semula sebelum TN50 menjadi realiti.

Dalam hal perpaduan juga kita dapati Rukun Negara “terpijak pergi, terlanjur pulang”. Prinsip penting ini tidak menjadi substantif. Sebaiknya Rukun Negara ini dijadikan sebagai mukadimah kepada Akta Pendidikan. Sekarang ini mereka cap di buku latihan sahaja.

Bagaimana Tan Sri melihat peranan raja dan kerajaan dalam mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi?

RAIS: Resolusi daripada kongres itu akan diserahkan kepada dua pihak. Yang pertama sudah tentu Perdana Menteri sendiri dan kita akan pohon beliau supaya secara ikhlasnya bersetuju melihat semula kandungan pendidikan yang membawa kepada budaya tinggi.

Kedua, kepada Majlis Raja-Raja. Sebab Raja-raja di negara kita pun sudah berkesempatan menilai. Kebanyakan baginda reaktif dan tidak proaktif dalam mengekalkan adat Melayu. Dalam Perkara 160 Perlembagaan, bahasa Melayu hendaklah ditutur lazim, beragama Islam dan mengamalkan adat-istiadat Melayu atau budaya Melayu.

Kita mempersoalkan setakat mana Raja-Raja Melayu mengamalkan dan mempromosi adat Melayu itu sendiri. Adat termasuk bahasa kita, menterjemahkan ajaran-ajaran penting agama, muzik dan cara bercakap beradab tetapi kami lihat ini tidak dapat diamalkan waima di istana dan gerak-geri para sultan kita.

Sudah tentu kita dapat kecualikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tetapi baginda pun memerlukan pandangan daripada pihak-pihak tertentu.

Teguran kepada institusi raja ini mungkin agak sukar kerana ia perkara agak sensitif.

RAIS: Apakah kita derhaka jika kita beritahu? Saya kira tidak. Sebab agama kita mengajar kita bila kelihatan dalam suasana memerlukan keteguhan, kita perlu berani menegur waima kita terpaksa membawa kepada Majlis Raja-Raja beberapa hal ini.

Tersentuh di sini bagaimana Yang di-Pertuan Agong melayani tuntutan hak-hak istimewa orang Melayu. Kalau di negeri, raja-raja. Kalau kita lihat, ia adalah intipati Perlembagaan yang tidak boleh diambil ringan. Selain itu tentang bahasa Melayu yang sudah jelas tidak lagi berbentuk bahasa Melayu yang dapat kita fahami dalam budaya kita.

Buku nahu Melayu sekarang seperti buku nahu Inggeris dengan terma-terma sekali. Ringkas sekali boleh kita kata adverba, adjektiva, perbuatan-perbuatan subjek dan predikat. Jadi, tidak ada cara untuk mengolah bahasa Melayu. Ini terasa oleh kita dan mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terpaksa merungkai beberapa hal dan itupun jika dipersetujui dalam konteks kita berkerajaan.

Jadi, perlu ada kesungguhan daripada pihak diraja dan kerajaan dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan. Kalau kedua-dua pihak ini tidak mahu, bahasa Melayu tidak akan terpakai sebab tidak ada nilai komersial dan dagangan. Apabila pergi ke bank, semua perjanjian dalam bahasa Inggeris. Insurans pun begitu.

Apakah aspek budaya tinggi ini tidak diberi penekanan dalam intipati Wawasan 2020 sebelum ini sehingga ia kembali dibangkitkan?

RAIS: Masa Tun Dr. Mahathir Mohamad memang ada kesilapan. Sebab nilai budi dan budaya tidak pernah menjadi utama. Ini sudah ternyata dalam 22 tahun.

Cuma dalam Wawasan 2020 ada ungkapan hendak mewujudkan masyarakat penyayang tetapi setakat itu sahaja. Tidak ada akar umbinya untuk dilaksanakan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain