Kononnya dia berjuang menentang penaklukan Jepun di Tanah Melayu dari 1942 hingga 1945 ke arah untuk memerdekakan tanah air meskipun mengepalai PKM.

Inilah dakwaan seseorang yang buta sejarah. Si polan ini barangkali tidak kerap mendengar kisah pengorbanan kepimpinan perdana negara - antaranya Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sam­banthan dan Mat Salleh.

Dalam falsafah komunisme, Mao Tze Tung menekankan bahawa political power comes out of the barrel of the gun. Ini bermakna mereka sanggup untuk mendapat kuasa politik dengan menggunakan kekerasan persenjataan dan kezaliman.

Kumpulan komunis sanggup membunuh dan menggunakan strategi pemberontakan bersenjata kerana itu sebahagian daripada falsafahnya. Ini membahayakan. Mengapa perlu menggunakan ke­kerasan jika itu tidak wajar, le­bih-lebih lagi apabila mereka secara mudah menghukum rakyat yang kononnya dikatakan mengikut telunjuk penjajah.

Komunis menzalimi rakyat dengan menggunakan kekerasan. Itulah yang berlaku selepas mereka berkuasa untuk tempoh singkat iaitu selama dua minggu sebelum British datang semula ke negara ini selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Sebelum darurat diisytiharkan mereka sanggup merosakkan ekonomi, membunuh orang awam, menyerang polis dan sebagainya. Ini bermakna kesanggupan mereka melakukan tindakan bersenjata dan keganasan demi untuk mendapatkan kuasa politik adalah sebahagian daripada naluri mereka. Ini membuatkan mereka (komunis) menjadi satu pergerakan berbahaya. Mereka sanggup membe­rontak dan melakukan tindakan di luar bidang yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Atas sebab ini jika ada kalangan individu masih tidak mengerti sejarah dan budi perjuangan luhur, kesilapan sebenarnya adalah me­reka tidak diajar secukupnya sejarah sebenar.

Kajian oleh seorang pensyarah Universiti Malaya, Dr. Ho Hui Ling dalam kertas penyelidikannya bertajuk Suasana di Tanah Melayu Pada Zaman Darurat 1948-1960 - Satu Tinjauan menyatakan ribuan anggota keselamatan dan orang awam dibunuh oleh PKM.

Kata Hui Ling, seramai 1,865 anggota keselamatan dibunuh dan 2,560 lagi dicederakan.

Ini tidak termasuk bilangan besar orang awam yang dibunuh oleh mereka di kampung-kampung tradisional.­

Kekejaman pengganas komunis dan kezaliman gerombolan komunis di zaman darurat memang tiada tolok bandingnya. Sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif harus dilupuskan sama sekali da­lam minda rakyat Malaysia.

Harus diingatkan bahawa adalah suatu bencana kepada negara ini jika ada pihak cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

Inilah yang dianggap satu kedurjanaan. Unsur-unsur ini langsung tidak peka dengan pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini di tangan gerila komunis antara tahun 1948 hingga 1960.

Pengalaman orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakan orang Melayu menolak cara ganas komunis.

Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis - yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya.

Perjuangan komunis tidak bo­leh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan. Mereka hanya berjuang untuk kepenting­an PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya.

Akibat kesukaran dan ke­ku­rangan sokongan daripada masyarakat, Chin Peng telah meminta perun­dingan diadakan pada 1955. Run­dingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Pu­tera, Baling pada 1955.

Bapa Kemerdekaan, Tunku Ab­dul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan menolak menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tun­tutan PKM agar dibenarkan berge­rak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan PKM berdamai, Tunku telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Me­layu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa PKM.

Setelah komunis runtuh di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dengan PKM ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM di­terima sebagai warganegara Ma­laysia dan boleh kembali ke Malaysia.

Namun Chin Peng dan Rashid Maidin dibenarkan hanya menetap di sebuah perkampungan khas di Yala, Thailand.