Di manakah tunjang kebenaran hujah pembangkang? Ditambah pula tuduhan kononnya Barisan Nasional (BN) mahu memikat pengundi dan memancing undi. Sebaliknya sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan yang mengambil berat, Kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kehendak masyarakat semua lapisan sepanjang zaman. Tidak seperti pembangkang yang menanam tebu di tepi bibir, murah di mulut, mahal di timbangan. Hakikatnya, kebenaran bahawa kerajaan BN daripada pimpinan Tunku Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Razak semuanya membentangkan bajet yang bertunjangkan agenda ekonomi dan kemakmuran rakyat.

Saya memetik perenggan terakhir rencana saya sebelum ini: “Bajet 2017 yang diumumkan Oktober tahun lalu menyaksikan lebih 150 insentif digariskan demi membantu rakyat. Antara lain, kerajaan memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM200 manakala bagi meringankan beban sara hidup 57,000 nelayan, pemberian elaun RM200 hingga RM300 sebulan diteruskan. Ia termasuklah menambah kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia juga sebahagian daripada janji manifesto BN. Bermakna janji yang diberi dikotakan demi kelestarian kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.”

Sebagaimana telah diharapkan, Najib, yang juga Pengerusi BN telah membentangkan satu bajet yang bersifat menyeluruh kepada rakyat dan negara. Kemungkinan itu sebabnya beliau melabelkan ia sebagai ‘ibu segala bajet’. Harus difahami, bahawa bajet yang dilaksana oleh kerajaan seharusnya direncanakan mengikut situasi dan keadaan ekonomi semasa.

Semasa lawatan kerja ke Kedah baru-baru ini, Najib berkata, pembentangan Bajet 2018 oleh Kerajaan Pusat merupakan asas perancangan kepada hala tuju untuk menjadikan Malaysia terus maju dan berada dalam kalangan 20 negara terbaik dunia. Bajet 2018 dirangka dengan teliti untuk mencapai visi membentuk masa depan negara bagi tempoh 2020 hingga 2050 menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) di samping bersifat inklusif dan adil kepada semua golongan rakyat.

“Ini bukan bajet sandiwara. Ini bukan bajet parti pembangkang Ini bajet kerajaan Barisan Nasional yang telah lama memerintah,” kata beliau. Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, hasrat kerajaan itu boleh dilaksanakan kerana negara mempunyai sebuah kerajaan yang tahu mentadbir dan suasana yang aman.

“Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50” telah di­pilih sebagai tema Bajet 2018. Mewakili harapan rakyat kita telah meletakkan harapan Bajet 2018 akan memberi penekanan ke atas soal kemakmuran rakyat.

Dengan lapan petunjang, 50 sektor dan lebih 200 pelan tindakan, yang berbentuk kewa­ngan dan bukan kewangan, yang diturunkan oleh Najib, kita boleh meyakini Bajet 2018 yang sedang dibahaskan oleh Parlimen akan menjadi asas kepada usaha terus memakmurkan rakyat. Bajet Kerajaan Persekutuan memperlihatkan ciri-ciri ini, yang akan membawa kepada pelaksanaan pelan tindakan bagi mencapai agenda TN50 yang bakal di­umumkan dalam waktu.

Perlu diakui bahawa lapan petunjang teras dengan lebih 200 pelan tindakan merupakan satu aspek yang menyeluruh, yang dinanti-nantikan rakyat segenap lapisan. Dua daripada lapan tunjang adalah mengenai ‘Menuju Aspirasi TN50’ dan ‘Mempersiaga Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital’. Petunjang ‘Mengutamakan Kesejahteran Rak­yat dan Peluang Menjana Pendapatan’ juga menggambarkan wawasan jangka panjang Kerajaan Pusat dalam menjaga kepentingan rakyat sepanjang masa.

Sebelum ini Perdana Menteri pernah berkongsi pandangan bahawa sebahagian aspirasi yang diketengahkan oleh golongan muda melalui Dialog TN50 bakal diumumkan ketika pembenta­ngan Bajet 2018 untuk dilaksa­nakan. Banyak aspirasi yang te­lah disuarakan, antaranya menyentuh soal pendidikan dan alam sekitar tidak memerlukan masa yang terlalu panjang untuk dijadikan agenda kerajaan.

Ini terbukti dengan pengumuman dasar Memupuk Budaya Menyimpan Wang Generasi TN50, Pendidikan untuk Generasi TN50 - RM250j dan Kerjaya dan Bakat TN50. Melihat tentang penekanan kelestarian kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, Bajet 2018 telah menyertakan bersama kepentingan setiap lapisan anggota masyarakat secara langsung dan secara tidak langsung. Setiap pelan tindakan mempunyai jawapan kepada harapan rakyat yang inginkan strategi ke arah kemakmuran rakyat. Pelan tindakan yang ada dalam Bajet 2018 membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa bergerak ke depan dengan wawasan jangka panjang.

Daripada kanak-kanak yang baharu lahir sehingga kumpulan yang telah bersara. Daripada penduduk di utara Semenanjung sehinggalah mereka yang tinggal di penghujung Sabah. Kalau kita senaraikan satu pertiga dengan mengambil lebih 200 pelan tindakan yang diumumkan, ia akan menjadi saksi bahawa tema Bajet 2018 - mengambil kira keperluan dan kehendak semasa dan juga satu tempoh tiga dekad akan datang.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.