Soalan-soalan yang diajukan di atas memerlukan jawapan anda. Ketika ini, komitmen anda untuk sama-sama memperjuangkan nasib alam ini amat diperlukan. Ini kerana, sama ada anda sedar atau tidak, alam sekitar kita sebenarnya sedang ‘sakit’. Terlalu banyak kerosakan telah dilakukan oleh tangan manusia terhadap persekitaran ini. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, anda tidak mungkin dapat menikmati persekitaran bersih lagi.

Dalam negara mahupun dunia ketika ini, air dan udara bukan satu-satunya sumber yang tercemar. Terdapat pelbagai masalah alam sekitar lain. Pencemaran dan degradasi tanah, kepupusan flora dan fauna, penebangan hutan tanpa kawalan, pemanasan global dan perubahan iklim dunia menjadi antara contoh kebejatan yang me­nimpa alam sekitar kini.

Lebih menyedihkan, ramai yang tidak tahu akan hal ini. Malah, ramai juga yang tidak mahu sedar. Apabila anda tidak tahu dan tiada kesedaran, maka tiada tindakan pembetulan yang boleh dilakukan. Inilah punca kepada pelbagai masalah alam sekitar kini. Jika tiada kesedaran, apa jua usaha untuk menjaga alam ini menjadi tidak bermakna.

Langkah-langkah untuk melindungi alam sekitar se­perti dasar mengenai alam sekitar, undang-undang me­lindungi alam mahupun teknologi canggih untuk me­ngatasi masalah persekitaran menjadi tidak bermakna jika kita masih mengekalkan sikap sama iaitu sikap tidak tahu, tidak peduli dan tidak sedar.

Sekitar 2017 lepas, terdapat beberapa perkembangan positif berkaitan alam sekitar di negara ini. Antaranya, usaha untuk memperkenalkan subjek alam sekitar di sekolah bagi memastikan kesedaran dan tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar dapat dipupuk seawal mungkin. Malah, melalui pendidikan alam sekitar ini juga, kaedah betul untuk menjaga alam sekitar akan turut menjadi intipati utama subjek tersebut.

Selain itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar turut me­maklumkan bahawa beberapa undang-undang baharu berkaitan sumber air akan diperkenalkan. Undang-undang ini khusus untuk menyelaraskan pengurusan air di negara ini.

Dalam masa sama, terdapat juga cadangan untuk memperkenalkan peruntukan khusus berkenaan perlindungan laut dalam usaha memelihara ekosistem marin dan terumbu karang.

Selain itu, kerajaan dilaporkan sedang meneliti usaha untuk menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dengan satu undang-undang baharu bernama Akta Perlindungan Alam Sekeliling (Environmental Protection Act).

Undang-undang baharu ini dijangka menjadi lebih lengkap dengan beberapa penambahan peruntukan baharu untuk menangani masalah pencemaran seperti tumpahan minyak di laut dan darat, perancangan tapak kilang serta peraturan mengenai kilang haram.

Besarlah harapan semua rakyat Malaysia agar usaha-usaha yang dinyatakan di atas akan menjadi kenyataan. Bagi menjayakannya, semua rakyat di negara ini seharusnya memainkan peranan masing-masing. Pepatah Melayu menyatakan bahawa ‘sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit’. Usaha sedikit tetapi dilakukan dengan istiqamah, pasti membuahkan hasil lumayan.

Istiqamah menjadi tuntutan penting dalam Islam. Setiap Muslim dituntut beristiqamah dalam beribadat serta menjauhkan perbuatan mungkar. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat tentang perkara yang paling penting dalam Islam dan Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah aku telah beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap menjalankan perintah dan menjauhi larangan.” (Riwayat Tirmidzi).

Maka, semua rakyat Malaysia seharusnya memberikan komitmen dan beristiqamah dengan komitmen tersebut dalam apa sahaja usaha untuk memelihara alam sekitar ini. Jangan lupa, bergeraklah secara bersama dalam usaha-usaha memelihara khazanah bumi ini terutamanya dalam bentuk merealisasikan ga­ya hidup lestari.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).