SIDEK BABA
SIDEK BABA

Objektifnya adalah untuk ­melahirkan para huffaz, qurra’ (ahli qiraat) serta du’at (pendakwah) di negara ini. Sesungguhnya jasa Tunku Abdul Rahman dalam bidang pengajian al-Quran cukup besar. Usaha beliau ini telah membuka jalan ke arah memartabatkan lagi ilmu al-Quran sejajar dengan kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan.

Pada peringkat permulaan iaitu sekitar 1966 sehingga 1978, pengajian ini diwujudkan dalam bentuk kelas menghafaz al-Quran dan ilmu qiraat. Pengurusan kelas pengajian pula diletakkan di bawah kelolaan jawatankuasa tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Pada 1972, kelas pengajian ini ditukar nama kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat. Kemudian pada 1979 pengurusan maahad itu diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis), Jabatan Perdana Menteri sehingga 1980.

Pada 1997, maahad tersebut dinaik taraf menjadi Darul Quran dan seterusnya dijadikan sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun yang menjadi sedikit kekangan pada masa itu adalah ketiadaan kampus tetap.

Atas usaha kerajaan melalui penglibatan Jakim serta persetujuan kerajaan negeri Selangor ketika itu akhirnya, Darul Quran mempunyai kampus tetapnya yang terletak di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.

Kampus tetap tersebut mampu menempatkan 1,000 orang pelajar pada satu-satu masa dan mempunyai segala kemudahan yang diperlukan sebuah institusi bertaraf pengajian tinggi. Darul Quran mula beroperasi pada awal 1999.

Mengenai perkembangan program pengajian tahfiz al-Quran di negara ini, program berkenaan mula menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan apabila lulusan Sijil Pengajian Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai lulusan bertaraf diploma pada 16 April 1983.

Dengan pengiktirafan tersebut, lulusan Sijil Pengajian Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat layak memegang jawatan dalam kerajaan di bawah gred lulusan diploma. Pengiktirafan itu juga memboleh­kan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda sama ada di universiti tempatan mahupun luar negara.

Sejak itu, pengajian tahfiz dan al-Quran di Malaysia terus berkembang apatah lagi dengan adanya kampus tetap Darul Quran di Kuala Kubu Bharu. Sebagai contoh pada tahun 2000 Darul Quran meluaskan jaringan strategik bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi membolehkan pelajar-pelajar universiti berkenaan mengikuti pengajian di peringkat persijilan.

Program ini dikhususkan untuk pelajar-pelajar cemerlang. Selepas tamat pengajian di Darul Quran selama 18 bulan mereka kemudiannya akan mengikuti pengajian dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi, seni bina dan ekonomi di UIAM.

Darul Quran turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Cyberjaya University College of Medical Sciencs bagi menjalankan program Pensijilan Tahfiz a-Quran. Matlamatnya adalah untuk melahirkan graduan-graduan profesional yang hafaz al-Quran.

Darul Quran sete­rusnya menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2009 untuk tujuan pelaksanaan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah dengan kepujian.

Buat masa ini sebanyak empat jenis pengajian ditawarkan di Darul Quran iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah dengan kepujian melalui kerjasama dengan USIM; Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat; Pensijilan Tahfiz al-Quran Jakim-UIAM dan Sijil Asas Tahfiz al-Quran.

Dianggarkan ribuan pelajar termasuk pelajar dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand dan Kemboja pernah belajar di Darul Quran sejak ditubuhkan sehingga sekarang.

Melihatkan perkembangan Da­rul Quran yang begitu hebat dan manfaatnya kepada umat Islam di Malaysia, parti Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk menubuhkan pula sebuah universiti al-Quran yang dikatakan pertama di dunia. Langkah menubuhkan universiti itu turut terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Profesor Kuliyyah Pendidikan UIAM, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba berkata, hasrat untuk menubuhkan sebuah universiti al-Quran adalah satu usaha yang mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam khususnya di Malaysia.

“Lihat sahaja sarjana-sarjana Islam kita dahulu seperti ibnu Sina dan al-Khawarizmi. Mereka bukan sahaja hebat dalam bidang al-Quran tetapi juga hebat dalam bidang masing-masing seperti perubatan, astronomi dan matematik. Mereka adalah pencetus kepada penemuan ilmu sehingga diikuti oleh ilmuan Barat,” ujar­nya baru-baru ini.

Atas asas itu beliau berpandangan, kewujudan universiti al-Quran di Malaysia mampu melahirkan sekumpulan generasi al-Quran yang mampu menguasai bidang-bidang profesional pada masa akan datang lebih-lebih lagi ketika berlakunya proses pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

“Kita menyebut TN50 jenis manusia yang bagaimana kita mahu. Sebab Malaysia mampu membina acuan kita sendiri. Itulah acuan kita. Ini satu strategi bijaksana dalam manifesto yang umat Melayu harus difikirkan bagaimana nantinya sama-sama menyumbang,” katanya yang juga salah seorang Lembaga Darul Quran.