Ini, dakwanya, menyebabkan tugas dan tanggungjawab tidak dilaksanakan sepenuh hati, cincai malah dalam sesetengah kes diabaikan sepenuhnya.

Memandangkan rakan saya itu seorang ‘pejuang’ alam sekitar, amarahnya ditujukan terhadap agensi perlindu­ngan flora dan fauna negara khususnya dalam kes pembalakan, pemburu dan kilang haram, penyeludup haiwan terancam dan mencemar sungai.

Turut terkena tempiasnya adalah guru serta pensyarah yang dikatakan tiada jiwa mendidik, anggota pasukan beruniform tanpa jiwa menyelamat dan mana-mana pegawai kaunter hadapan dengan muka bengis.

Bagi Januari 2018, Jabatan Perangkaan Malaysia menca­tatkan 15.19 juta orang (68.2 peratus daripada rakyat Malaysia) yang berusia antara 15 hingga 64 tahun menyertai sektor pekerjaan dengan kadar pengangguran hanya 3.4 peratus.

Seramai 7.07 juta orang lagi direkodkan dalam kategori suri rumah, pelajar, pesara atau memang tidak berminat untuk bekerja.

Secara realistiknya, kita tidak boleh mengharapkan semua daripada lebih 15 juta pekerja ini ‘menjiwai’ tugas mereka tetapi boleh kiranya mahu menuntut amanah dan komitmen penuh khususnya dalam sektor kritikal seperti kesihatan, keselamatan serta pentadbiran.

Menurut rakan saya itu, golongan pekerja ‘makan gaji’ dibahagikan kepada jenis berminat dengan bidang pekerjaan mereka yang ‘menjamin’ kualiti kerja atau tidak minat dan ‘pasti’ teruk komitmennya terhadap tugas.

Saya merasakan orang yang menceburi bidang dimina­tinya memang bertuah kerana dibayar untuk melakukan tugas idaman, atau ringkasnya mencapai cita-cita mereka.

Namun, saya tidak merasakan pekerja yang gagal menceburi bidang diminati pasti buruk hasil kerjanya kerana secara logik, majoriti tenaga kerja di mana-mana negara sekalipun bukannya menceburi bidang ‘idaman’ mereka.

Kita perlu akui memang wujud, malah ramai pekerja yang betul-betul datang ke pejabat sekadar untuk meme­nuhi syarat bagi mendapat gaji pada hujung bulan tetapi ‘minat’ juga tidak menjamin hasil kerja.

Jika minat atau ‘jiwa’ itu kriteria utama hasil kerja, maka pincanglah semua sektor kerja khususnya bidang kerja yang kotor, panas dan memenatkan.

Lumrah menjadi pekerja mengejar ‘hasil’ dahulu sama ada nilai gaji, prospek dan manfaat kerja, suasana tempat kerja serta banyak perkara lebih penting daripada ‘minat’.

Jika semua orang bekerja dalam bidang diminati sahaja, maka tiada siapa akan menguruskan sampah, mencuci, bertukang, bertani atau apa jua bidang kerja di luar pejabat tanpa pendingin hawa.

Sejujurnya, jika seseorang bekerja kerana ‘minat’ semata-mata maka itu bukan lagi satu pekerjaan sebaliknya hobi masa lapang.

Bagi saya, tiada masalah jika pekerja ‘tiada jiwa’ selagi mereka berdisiplin memberi komitmen penuh terhadap tanggungjawab kerana perkataan ‘kerja’ itu sendiri membawa maksud ‘tugas serta usaha yang membawa kepada hasil atau sumber pendapatan’.

Ada masanya bidang kerja itu memang kena dengan minat sendiri, kadangkala semakin lama semakin diminati atau semakin dibenci dan ada juga langsung tidak diminati sehingga ke penghujung tempoh kerja.

Perkara paling penting adalah pelaksanaan tanggungjawab sama ada setimpal atau lebih daripada nilai gaji yang diterima setiap bulan kerana akhirnya ‘tahap halal’ gaji dibawa pulang untuk anak dan isteri itu ditentukan dengan kebertanggungjawaban terhadap tugas hakiki kita.

Jika tidak menjaga ‘halal’ gaji, itulah yang membawa kepada rasuah, ‘mencuri’, salahguna kuasa, kecuaian serta kesilapan besar sekalipun ada ‘minat’. Akhirnya, mereka akan hilang pekerjaan serta sumber rezeki untuk keluarga.

Sekiranya ada pekerja yang tidak menjaga disiplin, amanah dan tanggungjawab mereka, laporkan sahaja atau biarkan Si Luncai dengan labu-labunya, asalkan diri sendiri tidak makan gaji buta.

Kalau sudah sampai tahap ‘benci’ pekerjaan sendiri, pertimbangkan untuk berhijrah ke bidang atau tempat kerja lebih sesuai sebelum memudaratkan diri serta orang lain di sekeliling kita.