Sebagai Timbalan Menteri Luar, saya rasa terpanggil untuk menjawab beberapa kenyataan yang dibuat oleh beberapa pe­mimpin parti politik pembangkang, dengan niat untuk menjelaskan beberapa fakta dan pada masa sama mendidik mereka mengenai hal asas protokol diplomatik dan hubungan antarabangsa.

Setiap negara, termasuk Malaysia sendiri mempunyai pelbagai kategori dalam menerima lawatan pemimpin tertinggi asing. Bagi AS, hal ini dipe­cahkan kepada lima kategori iaitu lawatan negara, lawatan rasmi, lawatan kerja rasmi, lawatan kerja dan lawatan peribadi.

Sepertimana dijelaskan mene­rusi kenyataan akhbar oleh Kementerian Luar bertarikh 24 Ogos 2017, lawatan Perdana Menteri ke AS pada tarikh 11 hingga 13 September 2017 adalah lawatan kerja dan dibuat atas jemputan Pre­sidennya, Donald Trump. Oleh itu, sepatutnya tiada sebab mana-mana pihak untuk menyalahtafsirkan tujuan lawatan itu.

Malangnya, ada dalam kalangan ahli politik pembangkang dengan sengaja mengelirukan rakyat kononnya kerajaan cuba menggambarkan lawatan ber­ke­naan sebagai lawatan rasmi walhal merupakan lawatan ­pe­ribadi. Jika pembangkang me­lakukan lebih sedikit kajian, mereka sebenarnya akan sedar bahawa kerajaan Malaysia bersikap telus dan memperjelaskan status lawatan itu sejak awal lagi berita mengenainya tersebar.

Berdasarkan protokol sedia ada AS, presidennya berhak menjemput ketua negara atau ketua kerajaan untuk tujuan lawatan kerja rasmi atau lawatan kerja. Bentuk dan kandungan kedua-dua jenis lawatan ini dianggap sebagai berdasarkan visit-by-visit. Jemputan itu kebiasaannya diperuntukkan lebih untuk perbincangan terperinci dan dibezakan dengan elemen lawatan negara dan lawatan rasmi. Lawatan kerja membabitkan mesyuarat kerja dan penglibatan pihak media tidak diwajibkan.

Walau apapun mengenai lawatan ini, jemputan daripada Pre­siden AS juga memberi makna bahawa negara itu selaku tuan rumah telah mengiktiraf pembesar negara asing serta kepenti­ngan lawatan itu dalam konteks hubungan dua hala.

Sebaliknya, lawatan peribadi berlaku apabila ketua negara dan ketua kerajaan datang ke AS tanpa dijemput oleh Presiden negara itu. Lawatan peribadi juga membabitkan kunjungan ke White House. Sebaik sahaja tiba di fasiliti Tentera Udara AS Joint Base Andrews, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah melalui atur cara penuh mengikut peraturan lawatan kerja.

Semasa di White House, sebaik tiba Perdana Menteri disambut mesra oleh Trump sendiri. Kedua-dua pemimpin bertemu selama 20 minit di Pejabat Oval yang bersejarah dengan diiringi diplomat kanan masing-masing. Ini diikuti dengan mesyuarat delegasi di Bilik Kabinet selama 40 minit dengan lima minit daripadanya adalah sesi terbuka yang mendapat liputan media AS dan antarabangsa.

Wakil pentadbiran kanan dan berpengaruh dalam pentadbiran Trump juga hadir semasa mesyuarat delegasi tersebut antaranya Naib Presiden AS; Mike Pence, Setiausaha Negara AS; Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan AS; James Mattis, Ketua Kakitangan White House; John Kelly, Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS; HR McMaster, Pengarah Majlis Ekonomi Kebangsaan AS; Gary Cohn, Penasihat Kanan Presiden; Jared Kushner, dan Duta Besar AS ke Malaysia; Ka­mala Shirin Lakhdhir. Ini menunjukkan AS memberi penghormatan yang tinggi kepada Perdana Menteri bersama delegasi.

Sepanjang yang berlaku di Joint Base Andrews dan White House, ia menepati protokol lawatan kerja AS. Malah Perdana Menteri dihantar sendiri oleh Trump semasa meninggalkan White House selari dengan kata-kata Presiden itu sendiri. Ia adalah sesuatu yang berbeza daripada protokol yang mana pembangkang tidak mengambil kira mengenai nilai-nilai lawatan ini.

Dalam perkiraan yang sama, dakwaan pembangkang lawatan ini sebagai peribadi kerana Perdana Menteri tidak menginap di Blair House juga adalah mengelirukan. Blair House hanya disediakan oleh Presiden AS kepada pemimpin asing untuk tujuan lawatan negara, lawatan rasmi dan lawatan kerja rasmi.

Beberapa pemimpin asing sebelum ini juga enggan tinggal di situ semasa lawatan mereka atas pelbagai sebab, termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi, dan ada seorang juga pemimpin asing yang menginap di Hotel Trump International semasa lawatannya ke Washington DC pada awal tahun ini.

Datuk Seri Najib secara ­kon­­sisten mengukuhkan hubu­ngan AS-Malaysia sejak beliau menjadi Perdana Menteri tidak kira siapa pun yang menduduki White House. Perlu juga diingatkan, Presiden AS sebelum ini, Barack Obama telah dua kali melawat Malaysia. Lawatan terbaharu ini hanya berlaku tidak sampai setahun Trump memimpin negaranya sekali gus me­nggambarkan kepentingan ber­sama antara AS dan Malaysia serta kemesraan hubungan dua hala kita, berbeza daripada zaman bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Oleh itu, boleh disimpulkan tohmahan yang tidak wajar ter­hadap Perdana Menteri me­nunjukkan betapa ceteknya pemikiran mereka yang membuat tuduhan dengan hanya berdasarkan kefahaman mudah mereka mengenai hubungan dua hala Malaysia dan AS. Untuk masa akan datang, saya nasihatkan apa-apa komen dan pemerhatian bagaimana Perdana Menteri me­laksanakan dasar luar Malaysia dibuat mengikut fakta bukannya tekaan.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Timbalan Menteri Luar.