KPKU terletak di Nilai Square, mula beroperasi pada 10 April 2015 sebagai klinik swasta di bawah kendalian USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd. KPKU dilengkapi dengan peralatan ber­asaskan teknologi terkini yang diwakafkan oleh MAINS dan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran perubatan dan pergigian dengan harga lebih murah daripada klinik pakar lain.

KPKU memberikan perkhidmatan perubatan dan pergigian. Perkhidmatan kepakaran di sini dibantu oleh pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan pensyarah Fakulti Pergigian (FPG) USIM. Doktor-doktor pakar dari USIM ini memberikan perkhidmatan perubatan dan pergigian dengan mendukung konsep aqli dan naqli iaitu perubatan moden yang dibantu de­ngan ilmu bersumberkan al-Quran bagi membantu pesakit lebih bermotivasi dan positif.

Klinik ini terbuka kepada o­rang awam tidak mengira umur dan bangsa. Ia mempunyai doktor biasa dan doktor kepakaran perubatan keluarga, perubatan am (termasuk pakar neurologi, endokrin, gastro), pakar sakit puan dan ibu mengandung, pakar kanak-kanak, pakar mata, pakar hidung,telinga dan tekak, pakar psikiatri, pakar ortopedik dan pakar radiologi.

Klinik pakar ini juga mempunyai mesin x-ray, ultrasound dan ECG. Klinik ini mampu membuat detail scan untuk ibu me­ngandung dan medical check-up bagi tujuan saringan kesihatan, kerja dan sambung belajar. Rata-rata pesakit berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan dengan harga lebih murah.

Istimewanya klinik ini adalah ia satu contoh klinik berorientasikan wakaf yang menyediakan khidmat kepakaran perubatan untuk golongan kurang berkemampuan. KPKU memberi rawatan percuma kepada asnaf Negeri Sembilan, iaitu asnaf daripada golongan fakir miskin.

Beberapa program asnaf di sekitar Negeri Sembilan diadakan bermula Mac 2017 dengan bantuan Baitulmal dan MAINS bagi mencapai asnaf di kawasan yang jauh dari Nilai. Maybank Islamic pula telah menyumbang wang zakat mereka untuk membantu KPKU memberikan perkhidmatan kesihatan kepada para asnaf.

Bagi mereka yang kurang mampu tetapi bukan kategori asnaf, KPKU mempunyai Tabung Tabarru. Akan tetapi, penilaian segera akan dibuat supaya wang itu disalurkan dengan sebetulnya dan menurut matlamat asal penggunaannya.

Tabarru bermaksud derma ­ikhlas yang diberikan oleh satu pihak tanpa mengharapkan balasan. Selain pakar-pakar mewakafkan masa mereka di KPKU, mereka juga menyumbang 10 peratus wang perkhidmatan mereka ke ‘Tabung Tabarru’.

Setiap pesakit awam yang membayar untuk perkhidmatan kepakaran di sini akan turut menyumbang 10 peratus daripada bayaran itu ke Tabung Tabarru. Maknanya, pesakit yang mendapatkan perkhidmatan pakar akan bersedekah ke tabung ini.

Begitu indahnya Islam yang mana umatnya diajar untuk bersedekah dan ini membantu mewujudkan perasaan kasih sayang di antara satu sama lain. Malah wang dari Tabung Tabarru ini juga boleh digunakan untuk pesakit bukan Islam yang tidak berkemampuan menurut penilaian tetapi memerlukan perkhidmatan kesihatan. Di dalam al-Quran banyak ayat yang menyentuh perihal sedekah. Antaranya; “Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli pada­nya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang kafir, mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah:254)

Antara kelebihan lain, KPKU juga menyediakan perkhidmatan klinik pakar mata bergerak di sekitar Negeri Sembilan. Kenderaan yang dilengkapkan bersama peralatan pemeriksaan mata telah menyumbang bakti de­ngan membawa pakar-pakar mata USIM ke kawasan pedalaman Negeri Sembilan untuk membantu rakyat mendapat kemudahan pemeriksaan mata.

Klinik pakar mata ini turut dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meningkatkan status kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti yang kurang berkemampuan.

Selain itu, Pusat Hemodialysis USIM-MAINS dijangka beroperasi pada Julai 2018. Bangunan pusat ini diwakafkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pusat ini akan membantu asnaf untuk mendapat khidmat hemodialisis secara percuma dan juga terbuka kepada orang awam.

KPKU adalah entiti wakaf pertama sepertinya di Malaysia dan patut menjadi contoh bagi membantu golongan kurang bernasib baik untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

DR. FATHIMA BEGUM SYED MOHIDEEN ialah Timbalan Pengarah Klinik Pakar Kesihatan USIM, Pakar Perubatan Keluarga dan juga Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Kesihatan USIM.