Persembahan pada malam itu memukau jutaan penonton di stadium dan mereka yang menyaksikan siaran langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil. Semua menyifatkannya sebagai satu persembahan menakjubkan!

Pengarah filem terkenal, Saw Teong Hin yang bertindak sebagai Pengarah Kreatif membawa penonton menyelusuri keunikan hidup, budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum Malaysia menerusi persembahan penuh ­kreatif menggunakan kecanggihan teknologi digital terkini.

Setelah lapan hari berlangsung, prestasi kontinjen Malaysia amat memberangsangkan. Malaysia masih mendahului dari segi pungutan pingat emas. ­Prestasi cemerlang ini ­diharapkan berkekalan sehingga hari terakhir temasya. Berdasarkan prestasi semasa, sasaran 111 pingat emas mungkin dapat dicapai dalam beberapa hari lagi.

Prestasi yang sama boleh dikatakan ditunjukkan dalam semua acara. Semua atlet bersungguh-sungguh bertanding walaupun sebahagiannya tewas. Salah satu acara yang menjadi tumpuan ramai ialah acara bola sepak. Pasukan negara tidak pernah kalah dalam perlawanan peringkat kumpulan. Malam ini, mereka akan bertemu Indonesia pada perlawanan separuh akhir. Khabarnya, tiket untuk perlawanan malam ini sudah habis dijual. Semoga prestasi cemerlang ini dapat diteruskan hingga ke perlawanan akhir dan membawa pulang pingat emas idaman dalam acara bola sepak.

Selaku tuan rumah, semangat atlet negara dalam kebanyakan acara benar-benar ‘semacam.’ Mereka bagaikan ‘dirasuk.’ Lihatlah prestasi pasukan bola jaring dan ragbi negara. Mereka berjuang sehingga ke titisan darah terakhir dari peringkat awal sehingga ke perlawanan akhir demi meraih emas. Kejayaan mereka amat membanggakan sekali gus menjadi pendorong dan memacu motivasi kepada atlet lain.

Sebagaimana temasya yang lepas-lepas akan muncul perso­naliti atau ‘darling’ baharu Sukan SEA. Kali ini beberapa atlet berjaya menjadi ‘bintang pujaan’ dan mencuri tumpuan antaranya anak raja dari Brunei Darussalam, Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah yang bermain sukan polo dan perenang muda negara yang memenangi dua pingat emas, Welson Sim. Mereka menjadi kegilaan para peminat sukan terutama dalam kalangan wanita. Perkara yang sama turut dirasai oleh pemain bola jaring negara An Najwa Azizan yang turut mencetuskan fenomena setelah pasukan kebangsaan memenangi pingat emas menewaskan Singapura.

Temasya Kuala Lumpur 2017 (KL2017) memberi banyak kelainan. Para pemenang pingat selain diberikan kalungan pingat dan patung maskot, turut dihadiahkan sebatang anak pokok daripada tiga spesies iaitu syzygium polyanthum (Salam), garcinia hombroniana (Bruas) dan syzygium malaccense (Jambu) sesuai dengan program ‘Satu Pingat, Satu Pokok.’ Pihak penganjur menyediakan sejumlah 5,249 batang anak pokok. Hanya anak pokok pemenang pingat emas atlet Malaysia sahaja akan ditanam selepas tamat KL2017 di Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan mengimbangi pelepasan karbon sepanjang temasya berlangsung selain meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan pemulihan hutan bagi pemuliharaan biodiversiti. Menariknya, kesedaran ini bukan hanya dapat dilihat dalam kalangan penganjur sahaja, para penonton turut ‘menyambut’ usaha murni ini. Di beberapa venue pertandingan seperti di stadium bola sepak, penonton mengambil inisiatif dengan membawa beg plastik masing-masing. Mereka mengutip sampah sarap di sekitar tempat duduk sebelum meninggalkan stadium. Amalan ini sudah dipraktikkan oleh penonton di temasya atau kejohanan sukan besar dunia sebelum ini.

Acara sukan besar di mana-mana sahaja di dunia ini tidak lepas daripada insiden yang tidak diingini serta kritikan. Temasya KL2017 tidak terkecuali. Beberapa kejadian pergaduhan kecil antara penyokong sehingga mengakibatkan kecederaan dilaporkan berlaku selepas perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia dan Myanmar. Media-media sosial melaporkan secara meluas kejadian itu selain beberapa insiden dan ge­lagat segelintir penonton yang menggunakan bahasa kasar, lucah dan tidak beradab ketika mencerca pasukan lain. Insiden seperti ini pernah berlaku dahulu dan sewajarnya sudah tidak berulang lagi.

Acara sukan sepatutnya menjadi simbol perpaduan dan penyatuan tanpa mengenal warna kulit dan asal usul. Semangat kesukanan yang tinggi dapat memperkukuhkan hubungan sesama atlet. Kalah dan menang dalam pertandingan apatah lagi dalam satu temasya besar sebegini memberi kesan besar kepada setiap atlet atau pasukan bertanding. Bagaimanapun kemenangan sebenar atlet, pasukan yang bertanding serta penyokong ialah apabila setiap mereka dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.

Temasya ini juga tidak terhindar daripada dicela dan dikritik oleh individu atau kumpulan yang selama ini dikenali sebagai ‘pengkritik tegar’ sukan negara. Apa sahaja yang dilakukan oleh penganjur ada sahaja yang tidak kena. Orang kenamaan yang menjadi atlet negara dan bertanding dalam beberapa acara turut dikecam dan dikritik.

Kepada yang terlibat, buang dan sangkut baju politik masing-masing di luar pagar sebelum masuk ke stadium. Lupakan seketika pegangan politik dan rasa dengki, jaki dan khianat dalam diri. Be­rilah sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet yang bertanding khususnya atlet negara. Mereka bukan masuk sebagai atlet bidang terjun. Mereka sudah bersiap sedia menjalani latihan keras sejak dua tahun lalu demi kecintaan kepada sukan dan maruah negara. Mereka adalah ‘anak jantan negara.’ Sokonglah mereka!