Bantahan Jakarta dianggap signifikan bukan sahaja kerana mempunyai penduduk Islam paling ramai tetapi juga kerana faktor banyak berdagang dengan Australia. Bantahan Jakarta bukan sekadar bantahan tetapi diikuti dengan arahan memberhentikan rundingan perjanjian perdagangan bebas dua negara itu yang sedang berlangsung.

Morrison yang baharu sahaja menggantikan Malcom Turnbull sebagai Perdana Menteri dalam rebutan kuasa dalaman parti pemerintah Liberal, telah membuat cadangan perpindahan ketika parti itu menghadapi pilihan raya kecil di Sydney yang mempunyai pengundi berbangsa Yahudi yang agak ramai. Tidak syak lagi pengumuman tersebut berkait dengan strategi meraih simpati pengundi golongan yang bersimpati terhadap Israel.

Walaupun menerima kecaman, Morrison tidak pernah menarik balik cadangan tersebut malah pada Ahad lepas telah membuat satu lagi kejutan dengan membuat kenyataan bahawa Australia mengiktiraf Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu kota Israel. Walaupun kenyataan tersebut tidak disusuli dengan tindakan memindahkan pejabat kedutaan seperti yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) pada Mei lepas, tetapi pejabat agensi yang mengurus hal pertahanan dan perdagangan Australia-Israel akan ditempatkan di Baitulmuqaddis Barat.

Liga Arab yang mengadakan perjumpaan khas di Kaherah Selasa lepas ekoran kenyataan terkini Morrison telah menggesa Canberra mengkaji semula pendirian mengenai Baitulmuqaddis kerana status bandar tersebut mengikut resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) hanya boleh diputuskan oleh kedua negara yang bersengketa iaitu Palestin dan Israel dan bukannya pihak ketiga seperti Australia.

Kenyataan Liga Arab itu dinilai tidak sekeras seperti yang diharapkan memandangkan status Baitulmuqaddis adalah antara faktor penentuan kejayaan rundingan damai kemelut yang berlanjutan lebih dari tujuh dekad. Malah negara yang mewakili Liga Arab berdagang sekitar AS$17 bilion setahun dengan Australia dan sepatutnya senjata ini digunakan untuk mengeluarkan kenyataan yang lebih signifikan.

Tidak menghairankan apabila ditanya mengenai pandangan masyarakat antarabangsa terhadap keputusan beliau, Morrison menjawab kebanyakan kritikan tersebut adalah berpadanan dengan situasi semasa, yakni beliau tidak gusar akan kesan yang bakal dihadapi.

Berbanding dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Arab, reaksi Wisma Putra dianggap lebih berisi kerana Kuala Lumpur tanpa berselindung atau berlapik dengan bahasa diplomatik telah menentang sekerasnya keputusan Canberra. Kenyataan tersebut juga menegaskan keputusan Canberra itu sebagai satu penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin yang menuntut sebuah negara merdeka.

Wisma Putra juga bagai mempersoalkan motif sebenar Morrison apabila membuat keputusan sedemikian rupa yang dianggap terlalu awal kerana Palestin dan Israel masih belum mencapai kata persetujuan mengenai status Baitulmuqaddis seperti yang dikehendaki dalam beberapa resolusi UNSC.

Kenyataan Wisma Putra adalah konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini bahawa penyelesaian dua negara perlu dicapai, di mana rakyat Palestin dan Israel hidup berdampingan berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967.

Apabila Presiden AS, Donald Trump membuat keputusan untuk memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis pada Disember lepas, keputusan tersebut adalah untuk meraih manfaat politik Trump yang sedang menghadapi beberapa tuduhan salah laku. Begitu jua dengan Morrison, walaupun beliau akur keputusan Canberra tidak memberi nilai tambah kepada penyelesaian dua negara Palestin Israel, Morrison tetap berdegil kerana memikirkan manfaat politik beliau yang bakal diperolehi.

Sebab itu kritikal bagi negara Islam terutama sekali yang bukan berada dalam dunia Liga Arab supaya terus menerus menyuarakan bantahan terhadap ketidakadilan dan sikap berat sebelah yang dipamerkan oleh kuasa besar seperti AS apabila berhadapan kemelut ini. Walaupun pada ketika ini hanya Australia, Brazil dan Guatemala telah menzahirkan sokongan dan tindakan kepada keputusan Trump untuk memindahkan pejabat kedutaan ke Baitulmuqaddis, negara lain yang pro Israel hanya memerhatikan masa yang sesuai untuk mengikut jejak langkah AS.