Hal-hal yang berkaitan de­ngan akidah tauhid dan implikasi terhadap kehidupan salah satu dari­nya. Kunci yang memberi kekuatan kepada kehidupan seorang Mukmin ialah memahami aspek tauhid dan implikasi terhadap kehidupan.

Mengapa dikatakan berfikir aras tinggi terhubung dengan Allah sebagai Pencipta. Allah ciptakan manusia dengan maksud menjadikannya sebagai ibadullah (ahli ibadah). Maksud ibadah di sini sangat luas. Ia tidak saja merujuk kepada ibadah khususiyyah seperti solat dan siyam semata tetapi ibadah ammah (umum) yang terkait dengan kehidupan. Matlamat akhir yang ingin dicapai oleh manusia dalam beribadah supaya sifat ubudiyyah (kepatuhan) yang tinggi terhadap Pencipta terbina.

Sifat ubudiyyah ini sangat pen­ting bagi ibadullah dan ibadurrahman kerana ia meletakkan diri insan dalam tautan akidah yang kental dengan Allah. Berfikir tentang penciptaan umpamanya terkait dengan Allah. Berzikir tentang Allah terhubung dengan Allah sebagai pemberi rahmah dan nikmah. Allah berada di puncak segala-gala.

Dalam melakukan tadabbur (ka­jian dan telitian) Allah menjadi sumber rujukan dan sandaran. Al-Quran adalah sumber petunjuk di mana manusia menerima makna darinya. Konsep makna tidak hanya dalam batas yang literal (luaran) tetapi konsep makna menganjurkan kepada manusia hal-hal yang nyata dan kaitannya dengan perkara-perkara yang ghaib.

Sifat akidah yang merentasi ialah dalam mengharungi kehidupan semua aspek darinya terkait dengan Allah. Adanya bumi dan langit terkait dengan Allah. Ada­nya rahmah dan nikmah yang diciptakan memberi hikmah kepada manusia datangnya dari Allah. Allah sebagai Pencipta dan Mengurus Atas Segala terhubung dengan Nya.

Manusia diberi akal untuk berfikir. Berfikir adalah jalan untuk menjana ilmu. Berfikir saja tidak memadai kerana pemikiran manusia adalah terbatas. Al-Quran terkandung ilmu dan sumber maklumat yang terhubung de­ngan hal-hal yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Integrasi akliah dan nakliah ini menjadikan tasawwur terbina.

Berfikir aras tinggi tidak si­fatnya kognitif semata tetapi memiliki perenungan yang mendalam mengenai kejadian dan penciptaan yang terkait dengan Allah dan hikmah di sebaliknya. Ilmuwan silam sering menghubungkan apa yang ditemui dengan kebesaran Allah.

Hidrogen, oksigen dan helium umpamanya sifatnya ghaib tetapi wujud di muka bumi. Ia­nya penting bagi kehidupan. Walau sifatnya ghaib tetapi wujud dalam ruang dan memberi kesan kepada kehidupan.

Syurga dan neraka merupakan faktor ghaibiyyat dan diungkapkan dalam al-Quran. Ianya terkait dengan amalan dalam kehidupan supaya manusia dipandu untuk melakukan amal soleh. Amal soleh ini penting supaya kemak­rufan menjadi nyata dan kemungkaran dapat dihindari.

Berfikir aras tinggi membim­bing manusia kepada kebenaran yang hakiki. Pemikiran biasa yang dimiliki oleh manusia sifatnya terhad. Hal-hal yang dicakupi sifatnya luaran tidak ke dalaman. Berfikir aras tinggi dipandu oleh al-Quran dan menyebabkan faktor ghaibiyyah dan batini memandu.

Panduan ini penting supaya pemikiran sebenarnya ialah ilmu yang benar dan bermanfaat. Melihat alam dengan segala mani­festasinya adalah perkara biasa. Tetapi melihat alam sebagai buah ciptaan Allah menghubungkan manusia dengan kebesaran-Nya.

Rahmah dan nikmah hasil ciptaan Allah dikagumi dan disyu­kuri kerana semua itu tidak terjadi dan bergerak sendiri melainkan dengan pedoman sunnatullah. Darinya orang yang beriman membina kepercayaan dan keyakinan bahawa alam ini dicipta dan diurus dengan tertib oleh Allah bukan terjadinya secara kebetulan (by accident) atau terjadi sendiri (by nature).

Berfikir aras tinggi membawa kepada sifat ubudiyyah kepada Allah dan menyebabkan mereka yang beriman yakin bahawa tanpa-Nya alam ini tidak terjadi dan perjalanan cakerawala tidak akan terurus. Al-Quran memberi pedoman kepada hakikat ini mengenai ayat-ayat pembinaan alam (suwarjagat), bumi dan juga manusia. Ayat-ayat itu selari dengan kajian saintifik sejak dulu sehingga kini. Tasawwur berfikir aras tinggi menjadikan kedekatan manusia dengan Allah berlaku dan menjadikan manusia memiliki rasa kehambaan dan kekhalifahan yang tinggi dan jiwa taddabbur yang menghubungkan faktor nakliah dan akliah.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).