Tetapi simpulan bahasa ini paling popular digunakan untuk pelajar yang tidak tahu menjawab soalan dalam peperiksaan. Maka, main hentam kromo sajalah menjawab. Asalkan kertas kosong itu berjaya diisi dengan harapan jawapan yang semberono itu sekurang-kurangnya mendapat setengah markah kasihan daripada pemeriksa. Yalah, ada yang berfikir setengah markah itu adalah lebih baik daripada mendapat markah kosong!

Hakikatnya, dalam kehidupan seharian kita, hari-hari boleh saja diperhatikan sikap hentam kromo ini yang mungkin bagi sesetengah orang menganggapnya satu perkara yang ringan, tidak perlu difikir-fikirkan sangat tetapi sebenarnya jika dilakukan secara berterusan atau konsisten akan menjadi satu budaya.

Kalau sudah jadi satu budaya, maknanya hentam kromo boleh diterima oleh semua orang dan tidak salah pun untuk melakukannya. Sudah jadi budayalah katakan.

Hentam kromo boleh dilihat dalam tindakan atau percakapan. Contohnya, ada yang bekerja secara hentam kromo. Buat saja kerja tanpa berfikir atau ambil mudah. Hasil kerjanya, tidak payah ambil peduli. Salah atau tidak nanti, adalah orang lain yang akan betulkan atau selesaikan. Cukup masa bekerja, baliklah. Dan itu dijadikan rutin setiap hari, hanya tolak waktu cuti rehat dan cuti umum saja.

Sedangkan, diri sendiri kononnya sentiasa menyanjungi amalan dan sikap-sikap murni. Melaung-laungkan atau memuat naik status dalam akaun laman sosial, kalau melakukan sesuatu biarlah dibuat dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik. Terbaik itu. Terbaik ini. Tetapi kerja sendiri pun dibuat secara hentam kromo. Inilah yang entah apa-apanya.

Ketika bercakap pun begitu juga. Ramai yang main hentam kromo. Sebab itulah, fitnah dan maki hamun sudah jadi biasa dalam laman sosial. Ini sudah biasa sangat kita bercakap mengenainya. Saya pun tidak mahu sentuh panjang lebar pasal ini. Sudah banyak kali ia ditulis. Tetapi macam biasa jugalah, fitnah dan kenyataan yang ikut sedap mulut ini tetap juga bertebaran. Tiada surutnya pun.

Ini dilakukan oleh semua orang dari pemimpin parti politik, pemimpin NGO, selebriti, orang perseorangan sehinggalah budak-budak. Semuanya main hentam kromo sahaja beri pendapat dan komen. Itu tidak dikira lagi hentam kromo ejaan yang tunggang-langgang yang apabila kita baca terus hilang mood untuk terus membacanya kerana ­banyak kesalahan ejaan di sana sini.

Ketika makan pun begitu juga. Ada peniaga yang hentam kromo menyediakan masakan. Ada sup yang kita pesan, rasanya seperti air masak. Ada daging yang kita makan, keras mengalahkan batu. Kalau kita tanya kepada pekerja atau tauke kedai, ini daging, kayu atau batu? Kita pula yang dimarah atau dijeling-jeling.

Peniaga ini mahu wang orang ramai, tetapi menyediakan makanan yang tidak setimpal dengan harga yang dibayar itu. Itu belum masuk lagi bab kira, esok harga makanan yang sama dimakan lain pula dengan harga semalam. Ini mengira dengan hentam kromo.

Ketika berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, terutamanya melalui panggilan telefon pun begitu juga. Bukan semua tetapi masih ada yang mengamalkan ­layanan ala kadar. Setakat mahu angkat telefon tetapi tidak membantu, disambung ke sana ke sini dengan jawapan yang tidak pasti dan bercakap ikut hentam kromo yang ­akhirnya orang ramai menjadi malas, kecewa dan fobia untuk berurusan dengan agensi itu lagi.

Banyak lagi yang boleh disentuh tentang hentam kromo ini. Hakikatnya, sikap ini menyusahkan orang lain. Jika pelakunya sahaja yang menerima tempiasnya itu tidak mengapa. Dan jika kita sudah terbiasa dengan hentam kromo ini, yang membabitkan setiap aspek kehidupan termasuk hal-hal kerja, rezeki dan hubungan kita dengan orang lain, nampaknya akal yang dikurniakan Tuhan itu semacam tiada fungsinya.