Ini kerana keputusan itu dilihat tidak selari dengan kehendak syarak apabila anak kecil yang terlibat dalam kes rayuan tersebut lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan ibu bapanya. Berdasarkan fakta kes, anak itu lahir lima bulan dan 24 hari atau lima bulan dan 27 hari mengikut takwim Islam.

Untuk makluman, Muzakarah Jawatankuasa Fat­wa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kali ke-44 yang bersidang pada 25 Jun 1998 telah memutuskan bahawa anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah perlu dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna.

Apa pun keputusan telah dibuat dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah mengambil langkah seterusnya dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan menerusi Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan itu.

Berbalik kepada isu pokok, sewajarnya pihak-pihak berkepen­tingan mengambil langkah lebih proaktif bagi memastikan kejadian serupa tidak lagi berlaku.

Kita tentu cukup maklum persoalan tentang nasab dalam Islam adalah sesuatu yang amat pen­ting kerana melibatkan banyak hukum seperti perwalian, pembahagian harta pusaka, pergaulan (dari segi aurat), perkahwinan dan nafkah.

Sekiranya berlaku sesuatu yang bertentangan dengan syarak sebagai contoh dalam kes perwalian dan pembahagian harga pusaka sudah pasti ada kesannya terhadap anak yang tidak bersalah itu gara-gara dosa yang dilakukan kedua ibu bapa mereka.

Sebab itu, salah satu Maqasid Syariah ialah memelihara nasab selain memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal dan memelihara harta. Atas asas itu juga (memelihara nasab) Allah mengharamkan zina. Malah mereka yang melakukan perbuatan haram itu wajib menjalani hukuman seperti mana ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 32:”Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kerosakan.”

Ayat al-Quran ini jelas menunjukkan bahawa zina bukan sahaja satu perbuatan keji bahkan akan menyebabkan kerosakan kepada mereka yang melakukannya.

Justeru, isu melibatkan nasab ini tidak boleh dipandang remeh disebabkan wujudnya faktor-faktor tertentu kerana implikasinya akan berterusan sehingga gene­rasi mendatang.

Bayangkan sekiranya perwalian dalam satu perkahwinan itu tidak sah semata-mata mahu menutup malu.

Begitu juga dengan isu pembahagian harta pusaka kepada anak yang statusnya tidak sah taraf. Ibu bapa dalam hal ini perlu ­lebih jujur demi kebahagiaan anak mereka dan bukannya menutup sejarah hitam masing-masing.

“Sebenarnya kita terlepas pandang. Kita mungkin tidak sedar bahawa terdapat kelompangan dalam akta ini lebih-lebih lagi apabila membabitkan kepenti­ngan Islam dan orang Islam.

“Seharusnya keadaan ini diperbetulkan segera agar tidak lagi timbul perkara berbangkit pada masa akan datang,” kata Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, usaha itu penting supaya pemeliharaan nasab dan keturunan seperti mana yang dikehendaki oleh syarak turut dijamin dalam akta berkenaan dan kaedah terbaik adalah dengan meminda Seksyen 13A (2) akta tersebut.

“Melalui pindaan itu, pihak kerajaan boleh menge­cualikan pemakaian peruntukan seksyen berkenaan terhadap orang Islam sebaliknya pemakaian ha­nya tertakluk kepada orang bukan Islam. Perlu ada perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam dalam seksyen ini demi untuk memelihara nasab keturunan se­perti mana yang ditentukan oleh syarak,” katanya lagi.

Pandangan yang sama turut di­suarakan oleh Presiden Persa­tuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz ketika diminta mengulas isu itu sebelum ini.

Mereka mahu Seksyen 13A(2) akta itu dipinda agar kepentingan orang Islam khususnya berkaitan dengan pemeliharaan nasab serta keturunan sentiasa terjamin.

Usa­ha itu juga bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak kurang juga pihak yang berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu mempu­nyai hikmah dan penulis sendiri tidak menafikannya. Setidak-tidaknya keputusan tersebut mem­buka mata banyak pihak bahawa masih terdapat seksyen tertentu seperti Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang jelas menimbulkan polemik apabila peruntukan itu tidak selari de­ngan hukum syarak.

Oleh itu, disyorkan supaya pihak Jabatan Peguam Negara menubuhkan satu pasukan khas untuk membuat semakan semula terhadap mana-mana peruntukan serta seksyen dalam akta sedia ada yang didapati bertenta­ngan dengan hukum syarak.

Walaupun cadangan ini nampak agak rumit atas faktor jumlah akta sedia ada yang terlalu banyak, namun cadangan tersebut perlu dipertimbangkan demi memelihara maslahah umum selain menghormati kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan negara ini.