Macron mencatat sejarah sebagai Presiden Perancis paling muda. Ketika mengangkat sumpah jawatan Ahad lalu, beliau baru berusia 39 tahun.

Namun bukan sebab usianya yang masih muda sudah bergelar Presiden sebuah negara kuasa besar dunia, yang membuatkan warga siber sibuk hendak ambil tahu tentang Presiden Perancis yang baharu ini.

Ramai yang tidak ambil peduli pun pasal itu. Mereka juga tidak hairan sangat dengan pencapaian Macron sebagai ketua negara dan pemegang kuasa tertinggi eksekutif paling muda dalam sejarah Perancis.

Kisah bagaimana beliau mendaki tangga kejayaan sehingga mencapai kedudukan yang mungkin tidak terba­yangkan oleh lelaki lain seusianya, tidak menarik minat masyarakat dunia terutama di alam siber.

Sebaliknya apa yang lebih menarik perhatian ialah kisah peribadi Presiden Perancis yang baharu itu. Lebih khusus lagi, namanya tular di media sosial dan menjadi bahan obsesi pengguna Facebook dan Twitter gara-gara isterinya, Brigitte Trogneux.

Presiden Macron belum mencecah usia 40 tahun manakala isterinya kini berumur 64 tahun.

Macron berkahwin dengan Briggite yang merupakan bekas guru dramanya 10 tahun lalu. Beliau jatuh cinta dengan gurunya itu ketika berusia 15 tahun. Anak pe­rempuan isterinya pernah menjadi rakan sekelasnya.

Ketika pasangan ini berkahwin pada 2007, Macron berusia 30 tahun manakala isterinya mencecah 55 tahun.

Memang kita biasa mendengar ungkapan, cinta tak kenal usia. Usia hanya sekadar angka dan tidak boleh menjadi penghalang cinta. Tidak ada peliknya cinta pasangan yang berbeza usia. Begitu juga tidak ada peliknya kisah cinta cikgu dengan anak murid. Ramai yang jatuh cinta dengan cikgu atau anak murid sendiri sehingga membawa ke jenjang pelamin.

Teman penulis sendiri berkahwin dengan cikgu sekolah kami. Ketika itu dia baru berusia 17 tahun, baru habis menduduki pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala cikgu tersebut berusia 30 tahun. Beza umur mereka 13 tahun.

Dalam kalangan orang ternama dan selebriti popular juga kita biasa menemui kisah cinta pasangan de­ngan jurang usia yang besar.

Presiden Donald Trump tua 24 tahun daripada iste­rinya sekarang, Melania Knauss. Presiden Amerika Syarikat itu kini berusia 71 tahun manakala isterinya itu baru bulan lalu menyam­but hari jadi ke-47.

Di negara kita, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza berkahwin ketika berusia 27 tahun, dengan suaminya Datuk K yang 20 tahun lebih tua.

Walaupun perkahwinan mereka agak ‘hingar’, itu bukan sangat kerana jarak usia tetapi faktor lain berkaitan status Siti sebagai penyanyi paling popular dan Datuk K seorang duda.

Banyak lagilah pasangan dengan jurang usia besar tetapi diterima sebagai perkara biasa sahaja. Tidak kecoh satu dunia macam Macron-Briggite. Tidak ada yang sibuk-sibuk hendak ‘share’ di Facebook dan media sosial lain, sebaliknya dianggap sesuatu yang normal.

Kenapa agaknya? Adakah kerana rata-ratanya pasang­an lelaki yang lebih tua? Kenapa kalau lelaki berkahwin dengan perempuan jauh lebih muda diterima dengan dada terbuka tetapi sebaliknya kalau lelakinya yang lebih muda, pasangan perempuan itu dipandang sinis seolah-olah ‘tua tak sedar diri’?

Hakikatnya, walaupun dunia sudah melangkah ke era baharu alaf ke-21, masyarakat termasuk di negara-negara maju yang mendabik dada mengamalkan hak asasi manusia paling advance atau sempurna pun masih tetap memandang wanita dari kacamata seksis.

Taraf wanita tetap tidak sama jika tidak pun lebih rendah daripada lelaki.

Maka timbullah di media barat, berita-berita mempersoal cinta Macron-Briggite. Sehinggakan Presiden Perancis itu terpaksa ‘bersilat’ menepis tuduhan kononnya dia seorang gay yang cuba menyelindungkan kehidupan homoseksualnya di sebalik perkahwinan dengan pasangan yang jauh lebih tua.

Fakta bahawa cinta Macron semenjak usianya masih remaja bukan cinta monyet tetapi cinta sejati yang dibawa hingga cukup umur untuk berkahwin dengan guru yang dicintainya, bagaikan enggan diterima sebagai realiti.

Jelas sekali masyarakat menilai daripada kacamata berbeza mengikut jantina. Kita semua seksis.

Soal pasangan dan perkahwinan hanyalah contoh kecil daripada banyak lagi remarks atau kenyataan seksis yang kita lemparkan atau kita relakan dibuat terhadap mereka yang berbeza jantina.

Andai ada yang mencebik mengatakan keadaan itu hanya boleh terjadi di barat dan tidak mungkin berlaku di Malaysia, mungkin elok jika menyusur sirah junjung­an. Mungkin kita lupa Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Siti Khadijah ketika baginda berumur 25 tahun manakala isterinya itu berusia 40 tahun.

Justeru tidak ada peliknya pasangan lelaki muda de­ngan perempuan lebih tua. Yang menganggap pelik dan melihat jelik hanyalah mereka yang berfikiran seksis, yang menganggap wanita lebih rendah darjatnya daripada lelaki. Pemikiran yang berundur jauh ke belakang seperti di zaman jahiliah ketika bayi perempuan tidak diraikan kelahiran mereka.

Bagi penulis, jika ada pun yang pelik dalam kisah cinta Macron ialah bagaimana Presiden Perancis itu masih setia dengan cintanya sejak zaman remaja. Di zaman sekarang di mana sukar mencari yang setia, lelaki berpangkat mengejar pasangan wanita muda yang glamor, yang peliknya Macron memilih setia dengan cintanya yang mungkin cinta pertama. Itu yang pelik dan pada masa sama mengagumkan.

Umpama kisah dalam novel romantis, Macron menghidupkan semangat ramai lelaki dan wanita bujang di luar sana, yang masih belum bertemu jodoh supaya jangan bimbang dan khuatir kerana mungkin sahaja pasangan mereka masih bayi atau belum lagi melihat dunia.

Senyum dan bersabarlah...