Yang seronoknya, di restoran mamak yang kami bersembang sehingga larut malam itu, adalah restoran yang biasa kami kunjungi semasa belajar di ITM dulu. Cepat betul masa berlalu atau orang putih kata - how time flies.

Dan semasa saya menulis ini, saya teringat kembali, tiada seorang pun kawan yang saya rasa sudah berjaya dalam kerjaya masing-masing itu, berbual dalam bahasa Inggeris. Kami selesa bersembang dalam bahasa ibunda. Antara kawan saya itu, bergelar Datuk tetapi dia pun elok saja bercakap Melayu, sesekali terkeluar loghat Negeri Sembilannya.

“Kau hendak aku tulis pasal isu apa?’’ tanya salah seorang kawan saya itu.

“Bolehkah tulis? Dalam bahasa Melayulah. Aku kerja dengan surat khabar Melayu tau,” kata saya.

“Eh, adakah orang Melayu yang tak tahu menulis dalam bahasa Melayu? Jangan mengada-ngadalah,’’ katanya.

Saya menulis hal ini kerana ada juga golongan profesional yang saya jemput menulis dalam akhbar ini, keberatan untuk menulis. Bukan kerana tidak mahu tetapi bahasa jadi kekangan. Terkejut juga sebab yang memberikan alasan lebih selesa menulis dalam bahasa Inggeris itu adalah orang Melayu. “Bahasa Melayu I sangat teruk,’’ kata orang itu.

Saya terima setiap penolakan. Itu perkara biasa. Tetapi agak terkesan juga dalam hati saya ini, apabila orang Melayu tidak pandai menulis dan bercakap bahasa ibunda sendiri. Agaknya berapa tahun dia sudah duduk dalam negara ini? Takkan lahir saja terus duduk di luar negara dan belajar di sana. Boleh jadi juga begitu? Entahlah.

Cerita pasal hendak mengangkat bahasa Melayu ini dah banyak kali keluar. Mungkin orang sudah malas nak ambil kisah. Tetapi pejuang bahasa Melayu yang tulen dan bukan bermusim tidak pernah mengalah mengetengahkannya.

Banyak pihak termasuk pemimpin negara dan masyarakat suka bercakap pasal memartabatkan bahasa Melayu. Konon kita diminta mencontohi Korea dan Jepun yang rakyatnya bangga dengan bahasa mereka. Peduli apa pelancong tanya mereka dalam bahasa Inggeris, mereka akan jawab dalam bahasa mereka juga.

Tetapi itulah, cakap tak serupa bikin. Pergi mana-mana pun pemimpin-pemimpin ini bercakap bahasa Inggeris. Rasmi mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dalam sekolah itu rata-ratanya orang Melayu pun, dia bantai cakap bahasa Inggeris juga.

Kadang-kadang bila ber­campur dengan golongan ibu, terdengar juga cerita pasal pencapaian akademik anak-anak mereka. Biasalah orang perempuan cukup suka cerita pasal anak mere­ka pandai. Kalau anak kurang dalam akademik, mereka diam-diam saja. Tak pula cerita.

Saya pernah dengar dialog ini, tidak lama dulu - “Anak aku dapat A+ dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dia pula C,’’ cerita seorang ibu dengan nada agak bangga. Katanya, dia cukup risau kalau anaknya tidak bagus dalam Bahasa Inggeris. Kalau dapat B, dia akan mencarikan guru tiusyen untuk anaknya.

Dalam hati saya, kenapa tak cari guru tiusyen dalam Bahasa Melayu sekali? Memang­lah bahasa Inggeris itu penting. Bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa tetapi kenapa macam memper­lekeh bahasa sendiri? Kalau bercakap bahasa Melayu, tak ada kelaslah?

Atau mungkin tak suka dan malu dikaitkan apa-apa dengan Melayu? Iya lah, Melayukan sering dikata malas atau janji orang Melayu - kata nak datang pukul 2 petang tetapi muncul 6 petang atau tak datang-datang langsung. Macam itu agaknya.