MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN sewaktu membentangkan kertas kerja di Universiti Muhammad ke-5, Rabat, Maghribi, baru-baru ini. - UTUSAN

Hal itu diucapkan oleh Pe­ngerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Muhammad Fuad Kamaludin sewaktu pembentangan kertas kerja di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Muhammad ke-5, Rabat, Maghribi, Jumaat lalu.

Kertas kerja bertajuk Peranan Ulama Maghribi dalam bidang ilmu dan dakwah Islam itu me­ngupas banyak hal berkaitan ketokohan para ilmuwan Islam dari Maghribi dan kaitannya dalam pembangunan rohani umat Islam merentasi zaman sehingga ke hari ini.

Kata Muhammad Fuad, negara Maghribi itu menjadi mulia kerana lahir di sana generasi ulama dan kekasih Allah yang telah menggapai puncak tertinggi dalam arena keilmuan dan keinsanan.

Daripada zuriat pengasas negara Maghribi melalui jalur Hasan bin Ali bin Abi Talib ini juga lahirnya keluarga-keluarga yang tersebar di timur.

Mereka adalah jaguh-jaguh di lapangan yang menyebarkan kefahaman Islam sahih, dan antara mereka ialah Imam Ahmad bin Idris al Maghribi al Hasani yang terkesan dengan manhaj Abu Hasan al Syazuli dan gurunya Abdul Salam bin Masyish.

Kelahiran imam agung ini ialah pada tahun 1163 Hijrah di wilayah Mizoura, Fez. Beliau membesar di bawah didikan dua orang abang­nya selepas kewafatan bapa mereka dengan menghafaz al-Quran dan mantan-mantan ilmu.

Selepas usianya mencecah 20 tahun, beliau berpindah ke Kota Fez dan masuk ke Universiti al Qarawiyyin. Beliau tinggal di sana untuk menuntut ilmu pada permulaannya, kemudian me­ngajar di sana selama 30 tahun secara berterusan. Dalam tempoh itu juga, beliau keluar untuk mengambil ilmu daripada syeikh-syeikh besar di daerah-daerah jajahan Fez.

Tidak ada seorang pun syeikh muktabar yang hidup sezaman dengannya melainkan beliau telah mengambil ilmu daripada mereka. Justeru, kedudukannya amatlah tinggi di timur negara Islam sehinggakan sejumlah murid dan zuriatnya menyaingi ulama-ulama besar dalam bidang ilmu al-Quran, syariat dan hakikat.

Muhammad Fuad dalam kertas kerja itu menjelaskan, Sayyid Ahmad al Syarif al Sanusi menyebut dalam kitabnya al Fuyudhat al Rabbaniyyah bahawa Imam Ahmad telah mengambil ilmu di Maghribi daripada syeikh-syeikh yang berusia panjang, pemilik rahsia-rahsia menakjubkan dan kehebatan seperti Syeikh Muhammad al Tawudi bin Saudah, Syeikh Abdul Karim bin Ali al Yazighi, al ‘Allamah Abdul Qadir bin Syaqrun dan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi yang adalah murid kepada Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh, wali besar yang ­disemadikan di bawah kubah berkat di Bab al Futuh, Fez.

Imam Ahmad juga adalah seorang tokoh yang memberikan perhatian tinggi terhadap ilmu-ilmu moden. Beliau telah mempelajari ilmu moden pelbagai, antaranya ilmu perubatan daripada gurunya di Maghribi Muhammad bin Syaqrun, seorang pakar ilmu perubatan yang telah mengarang nazam syair tentang perubatan.

Sebahagian sumber juga merekodkan bahawa Ahmad telah mempelajari ilmu yang luas dan mendalam daripada ulama-ulama besar zamannya dari al-Quran, hadis, usul fiqh dan banyak lagi. Penulisannya turut menunjukkan bahawa beliau memiliki pengetahuan luas dalam ilmu pelbagai sehingga mencapai tahap membanggakan.

Antara kelebihan Imam Ahmad ialah lahir dari madrasahnya gerakan Islam dan tokoh patriotik dan pembaharuan yang peranannya dimainkan oleh murid-muridnya yang utama seperti Muhammad bin Ali al Sanusi dan Muhammad bin Uthman al Mirghani. Kedua-duanya adalah murid beliau di Mekah al Mukarramah.

Sesungguhnya al Sanusi dan al Mirghani ini telah memainkan peranan penting dengan berkelana demi menyeru manusia kepada Allah dan meneguhkan madrasah gurunya Ahmad. 
Mereka juga mengasaskan sejumlah besar masjid dan maahad Islam di serata negara Libya dan Sudan yang dikenali dengan nama Zawiyah dan Khalwah.

Daripada zuriat Ahmad pula lahirnya Abdul Aali al Idrisi yang dilahirkan di Sabya, Yaman. Beliau telah keluar menuju ke pedalaman Mesir untuk berdakwah dan menyebarkan manhaj bapanya.

Beliau dan zuriatnya juga mengasaskan banyak masjid dan maahad Islam di pedalaman Mesir dan Sudan yang kekal dimakmurkan dengan pengajaran ilmu pelbagai, dakwah dan zikrullah sehingga ke hari ini. Demikian juga dari madrasah imam agung ini lahirnya tokoh Raja Muhammad Idris al Sanusi yang adalah cucu kepada Imam Muhammad bin Ali al Sanusi.

Ulasan Muhammad Fuad antaranya menyatakan bahawa Muhammad bin Idris al Sanusi telah menghabiskan usia mudanya demi membebaskan negaranya daripada pencerobohan dan penjajahan Itali, lalu memimpin rakyatnya ke arah kegemilangan dan kemuliaan sehinggalah negaranya mencapai kemerdekaan.

Beliau juga mengusahakan gabungan tiga buah wilayah besar iaitu Barqa, Tarablus dan Fezzan serta menyatupadukan kabilah-kabilah yang pelbagai di bawah lembayung kesatuan negara Libya baharu. Kemudian mereka te­lah menabalkannya sebagai Raja Kerajaan Libya pertama.

Demikian juga para pengkaji moden di timur dan barat dunia telah memberikan perhatian tinggi terhadap imam penjulang panji pembaharuan agung itu.

Mereka turut membicarakan dan menulis mengenai keistimewaan madrasah dan metode beliau dalam buku-buku dan tesis kajian yang banyak dan dibentangkan dalam seminar akademik dan institusi pengajian tinggi. – UTUSAN