Yang terbaharu hinggap di te­linga ini kisah seorang pelajar Maahad Tahfiz yang baru pertama kali naik kapalterbang.

Dia tak pernah ke negara orang. Asal dari kampung dan kehidupan susahnya bersama keluarga hanya berlegar dalam kampung dan sesekali ke pekan berhampiran.

Suatu hari, dia didatangi seseorang yang menawarkan satu pekerjaan mudah. Upahnya lumayan iaitu cuma membawa sekaton air mineral ke Jakarta dan berlepas balik sebaik sahaja tiba di lapangan terbang di sana.

Pada hari malang itu, setiba sahaja di lapangan terbang, dia ditahan.

Tumpang lalu dimaklumkan pihak Imigresen di Indonesia curiga kerana tiket pelajar itu untuk berlepas pulang hanya berbeza setengah jam sahaja dengan waktu ketibaannya.

Mengapa tidak bermalam atau setidak-tidaknya singgah empat lima jam di Jakarta? Setelah diperiksanya, rupa-rupanya air mineral yang dibawa mengan­dungi syabu cecair. Dadah sintetik itu membawanya dihukum penjara 12 tahun.

Kisah sedihnya sampai ke pengetahuan ibu dan ayahnya yang tidak dapat tidur malam sehingga dipanjangkan ke sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk dirundingkan dengan pihak berkuasa di sana. Sekurang-kurangnya dia dibenarkan menjalani hukuman di penjara negara ini. Tapi agak payah.

Syabu atau nama lainnya Metha­phetamine memang sangat ter­kenal dalam kalangan sebila­ngan remaja. Pada 90-an, dadah ini cuma digunakan oleh orang kaya sahaja. Kini tidak lagi. Anak kepada petani kecil pun boleh terjebak dengannya. Di jalanan, orang menggelar syabu sebagai ice, ais, ataupun batu kerana bentuknya seperti kristal ais.

Kisah malang pelajar maahad tahfiz itu harus diambil iktibar oleh anak muda negara ini.

Macam-macam taktik digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk menjadikan anak muda ‘keldai peliharaan’ mereka. Tahun lalu, hanya kerana mengejar upah RM500 bagi setiap beg berisi ‘kopi segera’ dan ‘biskut’ yang dibawa, kira-kira 21 rakyat Malaysia yang menjadi ‘keldai dadah’ di sempadan Malaysia-Thailand meringkuk dalam penjara.

Banyak kisah ‘keldai dadah’ boleh diambil iktibar. Antaranya kisah pemain dram kumpulan Fotograf, Sham Ahmad atau le­bih dikenali sebagai Ringgo yang pernah meringkuk dalam penjara di Caracas, Venezuela kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah.

Dalam perbualan dengan seorang pegawai kedutaan di Caracas yang ditugaskan sementara di New York tahun lalu, Tumpang lalu diberitahu, Ringgo dianiaya. Di dalam penjara, baik pekerti Ringgo begitu di­senangi ramai banduan sehinggalah hari dia dibebaskan.

Banyak kisah teladan boleh dikutip. Juga cerita seorang warga Malaysia di­kenali Anita yang ditahan di La­pang­an Terbang Antarabangsa Jorge Chavez pada 12 Jun 2007 kerana membawa dadah jenis kokain seberat lima kilogram dan dijatuhkan hu­kuman penjara enam tahun empat bulan.

Pesan Tumpang lalu: “Anak muda dalam harungi arus hidup hari ini hati-hatilah dengan orang yang baru anda kenali. Jangan terlampau mengejar kemewahan, kelak diri tersadung dipenjara. Masa depan hancur lebur. Menyesal tidak berguna.”

 

Anak muda perlukan idola...

HAMPIR tak kenal Tumpang lalu dengan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal yang penampilannya berbeza dengan biasanya berserban dan berjubah di kaca televisyen.

Ustaz Don Daniyal
Ustaz Don Daniyal

Orangnya masih muda dan berpakaian macam anak muda moden masa ini -  ringkas berbaju T dan berseluar jeans.

Kata Ustaz Don: “Orang muda adalah golongan yang sangat berharga sehinggakan dalam setiap sejarah perjalanan para nabi ada tersurat Pemuda di dalamnya.   

 “Gambaran dalam al-Quran tentang orang muda ialah mereka menjadi sahabat kepada Nabi Musa. Disebut mengenai Yusha’ bin Nun, pemuda yang menemani Nabi Musa dalam perjalanan ketika mencari Nabi Khidir.   

“Kenapa Allah jadikan Yusha’ mengiringi Nabi Musa, kenapa  tidak orang tua sahaja  jadi pemandu? Rupa-rupanya sejarah ma­cam ini bukan kali pertama. Rasulullah SAW juga berhijrah dengan Saidina Abu Bakar yang lebih muda tiga atau empat tahun,” kata ustaz itu kepada Tumpang lalu di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini.

Disuakan dengan pertanyaan mengapa orang muda mudah diperdaya sehingga menjadi mang­sa diperlakukan macam ‘keldai dadah’, kata Ustaz Don:
“Bila kita kata dadah musuh negara, kita fokus pada dadah, bukan pada orang muda yang hisap dadah.

“Untuk dekati orang muda, idola adalah komponen yang kuat sebab kekuatan mereka ialah meniru gaya orang lain.

Hari ini, kata Ustaz Don, akhlak menjadi suatu  elemen yang harus ada dalam semua perkara. Contoh dalam mesyuarat, semasa makan, masuk tandas, dalam masjid serta kelas.

“Contoh hari ini, ada guru tunaikan janji kepada pelajarnya dengan cara melompat dari tingkat 1 sekolah. Pada pandangan orang, guru itu telah tepati janjinya, tetapi pokok sebenar adalah kenapa guru terbabit berkelakuan macam itu? Sebab nak ambil hati orang muda?
“Rasulullah nak ambil hati orang muda, baginda tidak menjadi orang muda.

“Nak tambat orang muda, bukan bermakna kena transform diri kita jadi muda. Berapa ramai yang berpura-pura  nak jadi orang muda sehingga orang muda meluat,” kata Ustaz Don lagi.