Namun, teka-teki dan persoalan yang bermain di fikiran rakyat Malaysia akhirnya terjawab. Laporan akhbar menjelaskan kebanyakan hutang RM8 bilion yang ditanggung Felda sebenarnya dipinjamkan kepada peneroka.

Ia juga telah digunakan oleh peneroka sebagai keperluan untuk penanaman semula, pembinaan atau pembesaran rumah serta digunakan untuk pendidikan anak-anak peneroka. Wah, ramai yang menarik nafas lega membaca laporan ini lebih-lebih lagi yang berada di dalam Felda sendiri.

Kita juga bersimpati apabila peneroka mengeluh kerana tiada usaha serius dilakukan untuk mening­katkan pendapatan, kemudahan sosial serta pendidikan warga Felda.

Antara masalah dibangkitkan adalah kelewatan bayaran sara hidup yang menyaksikan mereka menghadapi tekanan hidup sukar ke­rana tiada wang untuk membayar bil elektrik dan air serta membeli barangan keperluan.

PENEROKA TERHIMPIT

Pada 26 Februari 2019, harga sawit mentah berada pada RM2,257 (per tan) manakala harga getah SMR20 berada pada RM582.50 (sen/kg) berbanding RM2,529.50 (per tan) pada 26 Februari 2018 manakala harga getah SMR20 berada pada RM563.14 (sen/kg).

Ini bermakna harga sawit mentah semakin menurun berbanding harga getah yang semakin menaik. Kesan penurunan harga sawit ini juga antara punca pengurangan pendapatan peneroka Felda.

Malah apabila kita melihat sendiri keadaan peneroka pada hari ini, bolehlah dikatakan kehidupan mereka ini semakin terhimpit akibat pelaksanaan dasar tidak mesra peneroka di tambah dengan isu kejatuhan harga kelapa sawit.

Keadaan ini berlaku rentetan penurunan harga kelapa sawit dunia yang telah menjejaskan pendapatan peneroka. Sekiranya mereka hanya bergantung kepada satu punca pendapatan maka keadaan ekonomi mereka pada waktu ini benar-benar meruncing.

Mengimbau sejarah Penubuhan Felda itu sendiri, nama Felda adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan yang telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956.

Fungsi Felda yang diperuntukkan di bawah Akta (Pindaan 1991) adalah menjalankan dan melaksanakan projek pembangunan tanah. Selain itu adalah untuk memaju, memudah dan melaksanakan pembangunan, pengurusan dan perkhidmatan ekonomi, sosial, pertanian, penempatan, perindustrian dan komersial.

Felda tidak ketinggalan untuk melaksanakan kegiatan yang boleh membantu memodenkan sektor pertanian di kawasan yang termasuk dalam pentadbiran Felda menerusi sebarang kegiatan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil keluaran pertanian dan ternakan.

Felda sedia membantu, membimbing, menasihati, mengurus dan menyelaras semua kegiatan sosial penempatan, pertanian, industri dan komersial dalam kawasan Felda.

AGENDA FELDA

Antara agenda di bawah Jabatan Pembangunan Usahawan Felda adalah melahirkan usahawan berdaya maju dalam kalangan warga peneroka dan generasi baharu Felda. Dengan berpaksikan moto Warga Peneroka Menjadi Golongan Berpendapatan Tinggi Menjelang Tahun 2020, aktiviti keusahawanan yang dilaksanakan merupakan aktiviti non farm untuk terus menjana pendapatan warga peneroka selain daripada hasil kebun iaitu getah dan sawit.

Pelbagai program dan latihan bimbingan keusahawanan dianjurkan untuk terus memperkukuhkan jalinan sinergi di samping meningkatkan kemahiran usahawan sedia ada dan bakal usahawan.

Jabatan ini juga mengambil inisiatif memasarkan produk keluaran usahawan Felda ke pasaran domestik dan antarabangsa melalui Outlet Sawari Felda, Hypermarket Tempatan dan Program Eksport (EIBU).

Pengeluaran dan perniagaan utama Felda adalah kelapa sawit di samping getah. Kesemua aktiviti dalam memaksimumkan produktiviti kebun dilaksana selaras dengan visi Felda iaitu sebagai peneraju industri sawit dan warga peneroka berpendapatan tinggi.

Pemindahan teknologi pertanian dan mekanisasi turut dilaksana dalam usaha meningkat produktiviti sawit dan getah. Jabatan Perladangan bertanggungjawab dalam pembangunan projek baharu iaitu Projek Felda Limbang dan pemantauan kemajuan Projek Laka Temin dan Kalabakan.

Projek Agropolitan merupakan projek di bawah seliaan jabatan ini di mana Felda telah dilantik menjadi agen pelaksana oleh East Coast Economic Region (ECER).

‘HILANG’ KEUNTUNGAN?

Terdapat juga kekeliruan dalam masyarakat yang tidak dapat membezakan antara Felda dan juga Felda Global Ventures (FGV). Felda dan FGV sudah tentulah merupakan dua entiti yang berbeza.

Felda merupakan sebuah badan kerajaan ditubuhkan di bawah Land Development Ordinance 1956. FGV pula merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Felda merupakan pemegang saham terbesar FGV dengan pegangan (direct dan indirect) sebanyak 39.5%.

Ramai yang tidak mengetahui Felda sebelum penyenaraian FGV pada 2012 adalah badan kerajaan yang self-sustainable di mana mereka mempunyai syarikat cash-cow yang dipanggil Felda Global Venture Holding (FGVH).

Bahagian perladangan inilah telah berjaya menyumbang lebih kurang RM1.1 bilion keuntungan setahun kepada Felda. Benarlah perniagaan kelapa sawit ini mendatangkan pulangan yang tinggi kepada Felda.

Dari keuntungan inilah Felda mampu menjalankan kerja-kerja sosio-ekonomi dan kebajikan kepada lebih 100,000 peneroka. Segala aktiviti membina rumah, membina jalan, memberi biasiswa, memberi pinjaman, memberi pelbagai bentuk bantuan, membayar bonus, dan sebagainya telah dilaksanakan tanpa perlu bergantung kepada dana kerajaan.

Bagaimanapun, apabila cash-cow Felda ini mula disenaraikan di Bursa Malaysia, Felda telahpun ‘kehilangan’ keuntungan RM 1.1 bilion setahun. Sesungguhnya, ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk Felda.

Bagi mengatasi dan mengurangkan impak kehilangan pendapatan, Felda telahpun menandatangani Land-lease Agreement (LLA) dengan FGV di mana ladang-ladang kelapa sawit seluas 270,000 hektar milik Felda ‘dipajakkan’ kepada FGV. Melalui LLA ini, FGV membayar secara tetap sebanyak RM250 juta setahun termasuk 15% keuntungan perladangan kepada Felda.

Ini bagi memboleh Felda menjalankan semua aktiviti yang dirancang untuk peneroka.

FGV menjalankan perniagaan manakala Felda menjalankan kerja amal. FGV menjalankan bisnes perladangan menggunakan tanah Felda manakala Felda menguruskan kerja-kerja berkaitan peneroka dan perniagaan non-plantation.

Peruntukan sebanyak RM6 bilion yang telah diberikan oleh FGV kepada Felda sebagai ‘dividen khas’ selepas penyenaraian di Bursa Malaysia bertindak sebagai seed capital dan juga ‘ganti rugi’.

Ganti rugi ini perlu kerana Felda telah melepaskan aset berharga manakala seed capital diperlukan untuk mencari aset berharga yang baru.

Sebanyak RM1.45 bilion daripada RM6 bilion itu telah diperuntukkan kepada Felda Investment Corporation (FIC) yang ditubuhkan untuk menjadi agensi pelaburan Felda. Sebanyak RM1.7 bilion pula telah digunakan sebagai saguhati kepada peneroka.

Selebihnya digunakan untuk operasi dan pengurusan. Ini termasuk mengurus hal-hal berkaitan peneroka dan perniagaan non-palm oil lain yang mahal kosnya.

Semenjak tahun 2011 sehinggalah tahun 2015, perbelanjaan yang diperlukan Felda adalah sekitar RM2.2 bilion setahun. Satu angka yang tinggi namun ia amat perlu diperuntukkan bagi memastikan kelangsungan perniagaan Felda.

GELI HATI, TERTAWA

Apabila seorang peneroka Felda mengatakan harga sawit lebih rendah daripada harga belacan, ramai yang berasa geli hati dan tertawa sendiri.

Namun tahukah anda, pada ketika ini ramai antara mereka yang sedang menjalani kehidupan ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tidak mudah melaluinya namun mereka terus tabah dan sentiasa bersemangat menempuh masa hadapan yang tidak pasti.

Justeru, kita berharap akan ada langkah lebih positif dan proaktif diambil untuk mengatasi masalah ini. Perkara paling utama dan perlu diberi perhatian adalah memastikan harga komoditi kelapa sawit dan getah lebih stabil untuk hari esok dan seterusnya.

Semoga akan ada sinar untuk rakyat yang memerlukan sokongan dan dokongan kita untuk menempuh kehidupan pada hari-hari mendatang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang.