Kalau tidak salah, 17 Ahli Parlimen UMNO telah keluar parti. Itu tidak termasuk ADUN. Kalau ditelah muka setiap pemimpin UMNO yang keluar parti itu, macam tidak percaya. Yalah, ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu merekalah paling jaguh. Pantang orang lain usik UMNO terutama jika libatkan pemimpin utamanya, mereka inilah yang akan ke depan.

Jangan lupa, kesenangan hidup yang mereka nikmati sekarang juga sedikit sebanyak adalah hasil daripada penglibatan dalam UMNO. Jangan nafikan fakta ini. Apatah lagi jika ada yang memegang jawatan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

Sungguhpun begitu ada juga pemimpin UMNO yang sudah sedia kaya sebelum terlibat dalam politik atas nama bisnes.

Tidak apalah, itu rezeki masing-masing. Mereka berhak mendapat imbuhan tersebut berdasarkan jawatan yang dipegang. Yang penting halal. Cuma yang dikesalkan di saat parti berada dalam kesusahan, mereka bertindak keluar parti. Sepatutnya mereka berkorban. Ini bukan soal membalas budi tetapi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli dan pemimpin yang setia.

Mungkin pemimpin-pemimpin jenis ini tidak sedar bahawa masih terdapat penyokong tegar UMNO yang berada di kampung-kampung. Mereka sentiasa menghargai setiap jasa yang dicurahkan oleh UMNO.

Tolonglah jadi pemimpin yang bermaruah. Di saat ini seharusnya semua pemimpin UMNO perkukuhkan lagi ikatan dan bukannya mencari dahan baharu demi kelangsungan politik mereka.

Berikanlah sokongan padu kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. Yakinlah, dengan ikatan yang kukuh, kita mampu menghadapi sebarang cabaran yang mendatang walaupun sebesar gunung.

Jangan jadikan keputusan PRU-14 sebagai penamat segala-galanya, sebaliknya jadikanlah takdir Allah itu sebagai permulaan untuk UMNO bangkit semula terutama bagi menghadapi saingan PRU-15. Tidak dinafikan UMNO pernah tergelincir daripada landasan atas faktor harta dan kuasa tetapi itu bukan bermakna perjuangan parti harus terkubur.

Tatkala terdapat pihak yang begitu berani mengganggu-gugat kepentingan Melayu dan Islam seperti mana gerakan oleh pihak tertentu yang mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), UMNO mempunyai tanggungjawab untuk menentang gerakan itu. Ini amanah yang wajib ditunaikan.

Lebih-lebih lagi dengan kesediaan Pas untuk bekerjasama dengan UMNO atas nama kepentingan Islam dan Melayu. Saya percaya Allah SWT mahu menunjukkan sesuatu demi ukhwah Islamiah.

Apapun kepada pemimpin UMNO yang keluar parti penulis ucapkan selamat maju jaya. Tetapi ada pula yang mendakwa, mereka yang keluar ini akan membentuk satu gagasan baharu pemimpin Melayu dalam kerajaan Pakatan Harapan. Betulkah? Wallahuaklam.