Sesiapa yang pernah menonton filem atau teater Sri Mersing pasti teringat akan ungkapan yang dilafazkan oleh Damak. Kisah Damak, seorang anak muda yang singgah di sebuah perkampungan lalu bertemu dengan anak gadis Pak Malau yang bernama Sri menjadi filem yang masih diingati sehingga ke hari ini.

Menurut penduduk tempatan, Jamil Abu Bakar, cerita percintaan terhalang antara Damak dan Sri itu sebenarnya diadaptasi dari kisah yang benar-benar terjadi di Mersing. Namun sehingga kini tiada bukti fizikal iaitu kubur mereka ditemui di sekitar Mersing.

“Betul wujud orang bernama Pak Malau. Menurut cerita orang-orang tua yang saya sendiri ‘jejaki’, Pak Malau telah lari daripada buruan British lalu menukar namanya. Dari kisah inilah telah dijadikan sebuah filem yang meruntun hati, Sri Mersing itu,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya ketika kecil, Jamil berkata, dahulu, dia dan keluarga tinggal di sebuah kampung di Pulau Setindan yang terletak kira-kira satu kilometer dari bandar Mersing.

Katanya, sewaktu kecil, dia sering berjalan kaki berulang-alik dari Mersing ke pulau itu untuk ke sekolah. Bukan sesuatu yang menghairankan apabila menyebut orang Mersing berjalan kaki ke Pulau Setindan. Ini kerana air laut yang surut membolehkan sesiapa sahaja berjalan kaki untuk sampai ke situ.

“Itu kenangan saya ketika kecil. Sungguh seronok ketika itu kerana saya bermain bersama rakan-rakan lain sewaktu berjalan untuk pulang ke pulau itu. Tetapi kini sudah tiada rumah lagi di pulau itu kerana mereka telah berpindah ke Mersing,” katanya.

Kenangan sama turut diceritakan Mariam Arim, 60, yang pernah berjalan kaki ke pulau itu sewaktu zaman persekolahannya. Katanya, dia dan rakan-rakan sering berjalan sewaktu air laut surut dan sebelum air pasang semula, mereka akan berjalan semula pulang ke Mersing.

“Kami ke pulau itu untuk menikmati pemandangan pantai dan pulau. Di situ, ada sebuah perkampungan yang mengandungi 50 buah rumah,” katanya.

Sehingga hari ini, pulau itu masih boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki apabila air laut surut.