Bukanlah promosi filem yang ingin diuar-uarkan tetapi menarik untuk dihayati kerana penceritaannya yang sa­ngat dekat untuk menggambarkan kehidupan kita kini dan di masa hadapan. Hal ini kerana dengan adanya Revolusi Industri 4.0 yang mana penggunaan teknologi yang me­ningkat serta transformasi digital yang berlaku.

Bermula daripada Revolusi Industri 1.0 pada 1784 yang mana berfokus pada pengurangan tenaga manusia, ia di­ikuti pula dengan Revolusi Industri 2.0 pada 1870 yang menampakkan kemunculan penggunaan tenaga elektrik dan motor pembakaran. Setelah 99 tahun, Revolusi Industri 3.0 mengambil alih pada 1969 dengan memberi keutamaan kepada penggunaan elektronik yang mana secara tidak langsung memendekkan jurang ruang dan masa sehinggalah peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 kini.

Lebih bertemakan digital dan sistem pengkomputeran, ia melibatkan teknologi baharu seperti automasi, Internet untuk segalanya (IoT), analisis dan data raya, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan pengkomputeran awan atau lebih dikenali sebagai cloud.

Setiap tema ini sebenar­nya sudah pun diterjemahkan dalam dunia kini. Jika ada yang masih terasa jauh, fikirkan semula kewujudan robot dalam menggantikan tugas manusia seperti dalam bidang pembersihan, perubatan dan juga yang paling mendapat perhatian dunia adalah terciptanya manusia robot bernama Sofia. Penggunaan drone dan juga Google assistant pula merupakan contoh kepada Kepintaran Buatan (Intelligence Artificial) manakala data raya (big data) dan juga pengkomputeran awan lebih menjurus kepada pengumpulan dan jejak data secara besar-besaran yang mana sudah pun digunakan dengan meluas.

Penghasilan kereta dengan pemanduan automatik atau lebih dikenali dengan kereta tanpa pemandu pula boleh dilihat dengan kajian yang telah dilakukan oleh pengeluar automatif terkemuka Audi. Model prototaip Audi A7 yang diberi nama Jack ini telah pun dipandu uji pada 2015 di atas jalan raya sejauh 900 kilometer dengan kelajuan maksimum 110km/h. Malah untuk model prototaip Audi A9 pula mencapai 130km/jam, mampu menukar haluan dan boleh memecut dan juga memperlahankan kenderaan.

Dengan segala yang telah wujud kini, Revolusi Industri 4.0 bukanlah lagi sesuatu yang jauh, malah setiap hari membawa dunia lebih hampir dengannya. Namun sejauh manakah kita bersedia menerima kedatangan revolusi ini kerana menurut jangkaan yang dinyatakan dalam World Economic Forum, 65 peratus kanak-kanak yang memasuki pendidikan rendah hari ini akan bertemu dengan pekerjaan yang masih belum wujud lagi.

Bukan itu sahaja, 44 peratus daripada jumlah pekerjaan juga akan dilakukan secara automatik dalam jangka masa 10 tahun mendatang. Dan mengikut kaji selidik dari Universiti Oxford pada 2013 pula, kemasukan data, juruteknik dan kerani adalah antara tiga daripada 12 pekerjaan yang berpeluang digantikan mesin sepenuhnya di masa hadapan.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, 
UiTM Cawangan Johor.