Lelaki berusia 41 tahun ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun
Lelaki berusia 41 tahun ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 1 Ogos lalu kerana jenayah
merogol anaknya. – GAMBAR HIASAN

Penulis percaya ramai dalam kalangan masyarakat berpe­rasaan sama - amat terganggu de­ngan pembongkaran perbuatan haruan makan anak yang paling keji dalam sejarah negara kita.

Lazimnya dalam ruangan Coretan Marhaen, penulis seboleh mungkin mengelak daripada menyentuh kisah-kisah sebegini hanya kerana enggan ‘mencemarkan’ imej suci institusi keluarga. Namun kisah yang satu ini tidak dapat dikesampingkan begitu sahaja.

Impaknya cukup mendalam. Kesannya langsung menyentuh emosi membuatkan penulis resah dan bungkam.

Sepanjang minggu penulis serabut memikirkan nasib mang­sa. Betapa terseksa dan tertekan emosi anak gadis itu yang terpaksa menanggung bersendirian perlakuan tidak berperikemanusiaan oleh seorang yang dipanggil bapa.

Bapa - orang yang sepatutnya melindungi anak-anak. Namun dalam kes ini menjadi pemusnah hidup anak gadisnya.

Sebagai orang media, pelbagai kisah pelik pernah penulis baca dan ikuti sehinggakan banyak berita yang dianggap ganjil dan luar biasa tidak lagi mengejutkan.

Namun kisah bapa durjana ini memang lain daripada yang lain. Tahap kedurjanaan yang dilakukan - termasuk melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri di tanah suci - tidak tercapai dek akal fikiran penulis.

Dan penulis yakin ramai orang yang waras di luar sana turut berkongsi rasa yang sama.

Bahkan ada yang tidak sanggup pun membaca dan mengikuti kisah ini, dek perasaan jijik dan malu berbaur.

Sesungguhnya si durjana itu tidak layak langsung digelar bapa.

Minggu lalu mahkamah telah pun menjatuhkan hukuman 48 tahun penjara dan sejumlah sebatan ke atasnya. Sama ada hukuman itu setimpal de­ngan perbuatan terkutuk dan keji yang dilakukan itu tidak perlu dipersoalkan.

Ini hanya mah­ka­mah dunia.

Persoalan yang lebih mendesak untuk kita fikirkan ialah nasib dan masa depan mangsa.

Bagaimana anak semuda itu mampu menanggung seberat-berat ujian di hadapannya? Trauma tahap apakah yang dideritainya?

Doa penulis, anak ini terus diberi kekuatan oleh Yang Maha Esa untuk meneruskan kehidupan.

Insya-Allah hari-hari mendatang yang bakal ditempuhnya walaupun penuh pancaroba, pasti jauh lebih baik daripada episod hitam semalam.

Doa penulis juga buat mangsa lain di luar sana agar Allah selamatkan mereka.

Sungguhpun penulis mengharapkan tidak berlaku lagi kes seumpamanya, namun penulis insaf itu hanyalah khayalan ke­rana dunia yang penuh kebejatan ini nampaknya sarat menanggung dosa manusia.

Penulis ingin membantu mengubahnya namun tidak tahu bagaimana. Lebih-lebih lagi ma­salah yang berlaku dalam keluarga, sifatnya peribadi.

Bukan sewenang-wenangnya dapat orang luar menerjah masuk kecuali ada orang dalam sendiri yang membuka pintu mempelawa bantuan dan mendedahkan pekungnya.

Bagi penulis, apa yang terdaya dilakukan ialah menulis.

Mudah-mudahan mata pena ini setajam pedang yang mampu menggertak hati sesiapa sahaja yang membaca coretan ini agar bersama-sama bangkit mengenyahkan kedurjanaan dan kese­rakahan.

Mudah-mudahan juga gurisan mata pena ini dapat mengalirkan kesedaran ke dalam hati setiap yang bergelar ibu dan bapa untuk mengasihi anak sebagaimana yang diamanahkan Allah.

Berkahwin bukan hanya untuk berseronok. Ikatan itu datang dengan amanah.

Mudah-mudahan kita tidak diketemukan lagi dengan kisah manusia berperangai haruan.