Bagi yang membida, ceritanya mereka telah meletakkan harga bidaan di paras paling minimum tetapi tetap gagal mendapatkan tender. Mereka tewas kepada syarikat yang bukan sahaja membida lagi rendah tetapi serba-serbi penuh teka-teki – misalnya, bagaimana syarikat itu hendak memperoleh margin atau syarikat tiada pengalaman atau dimiliki oleh seseorang yang dituduh rapat dengan orang tertentu.

Kes yang memberi kertas cadangan projek, ceritanya pun kena tolak. Beberapa ketika kemudian syarikat yang menolak dulu, muncul dengan projek 'inovasi’. Oleh sebab anda yang menciptanya, tidak tidur bermalam-malam menyiapkan kiraan, dengan pantas anda dapat menangkap butiran projek itu diplagiat daripada kertas projek anda.

Kes seumpamanya dinyatakan secara mendalam oleh kolumnis Utusanbiz, Azleen Abdul Rahim mengenai sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal di Malaysia secara diam-diam telah mengambil kertas cadangan yang dihantar oleh pelanggan beliau dan memberikannya kepada syarikat lain.

Syarikat pesaing ini kemudiannya memberikan pakej yang jauh lebih murah berbanding apa yang ditawarkan oleh pelanggan beliau. Selepas itu, dengan proses yang agak pantas mereka telah diberikan pesanan belian rasmi oleh syarikat telekomunikasi ini.

Selang beberapa hari, pesaing itu mengeluarkan pesanan belian rasmi kepada pengeluar produk yang berpusat di Amerika Syarikat.

Di sinilah salah laku syarikat telekomunikasi dengan entiti kroninya terbongkar. Syarikat pengeluar tersebut telah menolak pesanan belian yang diberikan. Ini kerana syarikat ini tadi bukan pengedar yang berdaftar khusus. Untuk urus niaga lain boleh tetapi bukan untuk transaksi ini.

Pengedar yang berdaftar dan sah untuk berurus niaga untuk transaksi ini sebenarnya ialah pelanggan Azleen. Mengikut prosedur, mana-mana pengedar yang mempunyai potensi pembeli perlu mendaftar nama pelanggan tersebut terlebih dahulu.

Apabila nama telah didaftarkan, syarikat pengeluar tersebut akan memberikan kelulusan untuk meneruskan urus niaga itu ataupun tidak boleh sekiranya nama pelanggan itu telah didaftarkan oleh pengedar lain terlebih dahulu.

Setelah pesanan belian ditolak, pesaing tadi terus panik. Pelbagai usaha untuk mengubah keputusan ini dibuat tetapi gagal.

Keesokan harinya pengeluar produk itu membuat panggilan telefon kepada syarikat telekomunikasi yang terkenal ini dan memberitahu bahawa cara pembelian yang dilakukan adalah tidak sah dan tidak mengikut prosedur rasmi serta tidak adil.

Mereka juga memberitahu bahawa pengedar yang sah sepatutnya menerima pesanan belian ini ialah pelanggan Azleen yang turut mempunyai surat rasmi daripada mereka khusus untuk urus niaga ini.

Pesaing tersebut bukan sahaja tidak mempunyai surat rasmi, malah tidak pernah mendapatkan apa-apa sebut harga pun daripada syarikat pengeluar. Tiba-tiba sahaja terus ingin membuat pembelian. Sehingga hari ini, drama ini masih berlarutan.

Itu sedutan inti pati cerita benar yang ditulis oleh Azleen dalam kolum Perspektif di Utusanbiz setiap Selasa dan diperturunkan semula dalam ruangan Merrepak hari ini.

Pengajaran

Apakah pengajaran yang boleh digarap daripada kisah benar di atas? Amalan kronisme masih wujud dalam kalangan sektor korporat Malaysia?

Kalau cenderung kepada sesebuah syarikat dibuat atas faktor merit kerana ia berkemampuan dari segi dana dan kemahiran, mungkin boleh lagi dimaafkan. Sebaliknya, projek diserah kepada syarikat yang tiada pengetahuan dan kelayakan, bukankah ini mendatangkan kemungkinan wujudnya unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Pendedahan itu juga amat memalukan Malaysia. Ini kerana ia membabitkan syarikat pengeluar di negara asing. Mesti Malaysia masuk dalam senarai negara yang tebal sikap 'sailang-menyailang’ atau potong memotong dan paling berat, negara korup.

Setiap masa badan penguat kuasa dan kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan banyak lagi, berusaha menyerapkan budaya tadbir urus baik dalam kalangan sektor swasta negara ini.

Berdasarkan laporan tahunan, rata-rata sektor korporat mematuhi peraturan. Masing-masing tahu betapa berat hukuman menanti jika 'kantoi’. Belum lagi dikira bila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk sama menyiasat.

Malangnya, masih wujud segelintir yang menganggap diri mereka 'bila hujan, badan tidak basah; bila taufan, nyawa tidak melayang’. Mungkin mereka menganggap proses bidaan dan kertas cadangan adalah tahap di mana mereka adalah 'raja’.

Mereka berhak menerima dan menolak sesiapa sahaja, apatah lagi dana projek itu datang daripada mereka. Apa hak anda hendak persoal kekuasaan mereka, sedangkan anda yang datang melutut menyembah meminta projek daripada mereka? Itu macamkah?

Sahabat-handai yang terlibat dalam bidang perniagaan mengakui ketika ditanya, mereka tidak pernah tahu apa proses dilalui selepas tender atau kertas cadangan dikemukakan.

Ini berlaku kepada swasta dan kerajaan. Hendak tahu perkembangan, kena tanya 'orang dalam’. Dialah yang akan beritahu bila panel akan bermesyuarat, tahap minimum berapa dan percayalah, khidmat 'orang dalam’ ini bukan khidmat masyarakat. Ia khidmat berbayar.

Jadi bagaimana hendak tahu sama ada kertas cadangan atau tender anda disenarai pendek? Kalau menang atau dipilih, maka dapatlah pemberitahuan rasmi.

Mengapa susah sangatkah kita hendak mengubah sistem zaman kolonial iaitu semua urusan mesti dirahsiakan, kepada ketelusan mutlak. Nama pembida dipaparkan dalam laman web agar semua boleh menilai pesaing masing-masing, sekurang-kurangnya dapat menghapuskan fitnah atau cemburu buta.

Tetapi paling mustahak ialah kaedah telus sedemikian, boleh menghapuskan kemungkinan risiko penyelewengan kuasa, rasuah dan kronisme seperti diceritakan di atas.

Sekarang tahun 2017. Apahal masih ada ketirisan dibiar terus tiris? Kasi tutuplah.