Lebih-lebih lagi bagi kawasan hutan simpan yang berada di tengah-tengah bandar, sendiri dan terasing daripada liputan hutan lainnya.

Banyak yang terhimpit dengan kemajuan dan pembangunan di sekelilingnya, seolah-olah tidak membawa sebarang manfaat.

Walhal katanya, ruang hijau yang sekangkang kera itulah menyalurkan sebahagian oksigen buat warga kota serta menyerap sebahagian besar karbon dioksida yang dilepaskan.

Kini hutan-hutan tersebut diancam dengan penuh rakus oleh mereka yang memandang kepentingan pembangunan melebihi segala-galanya.

Hutan bandar jika menurut definisinya adalah sekumpulan pokok yang tumbuh di bandar, pekan atau sub bandar.

Hutan Simpan Bukit Cherakah antara yang tidak terlepas daripada ancaman pembangunan dan baru-baru ini sekumpulan penduduk berdekatan kawasan hutan tersebut mula menyatakan bantahan mereka terhadap pembangunan yang sedang dijalankan sekitarnya.

Kata mereka, Hutan Simpan Bukit Cherakah suatu ketika dahulu meliputi kawasan Bukit Cherakah, Damansara hingga ke Kepong di mana Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berada sekarang. Namun kini semakin mengecil akibat pembangunan dan yang tinggal hanyalah sebahagian kecil yang begitu sensitif.

Tidak seperti Hutan Simpan Bukit Nenas yang betul-betul berada di tengah-tengah Kuala Lumpur, Hutan Simpan Bukit Cherakah masih memiliki pelbagai hidupan liar besar dan penting seperti kera, lotong, tapir dan beruang matahari selain pelbagai spesies burung.

Penduduk berhampiran hutan tersebut dikatakan tidak berpuas hati dan mendesak pembangunan sekitarnya dihentikan segera agar segala hidupan liar yang menetap di situ tidak terganggu.

Tambah mereka, pembangunan yang tidak terkawal di kawasan sama juga akan menyebabkan pemencilan hutan, ha­kisan serta mengganggu aliran air yang boleh memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Rasanya ramai yang tahu perancangan pembangunan berdekatan kawasan hijau seperti itu sebenarnya bertujuan membantu melariskan jualan bangunan sama ada perumahan mahupun pejabat yang dibina.

Jika dibenarkan sekalipun pembangunan dilaksanakan di kawasan sensitif sedemikian, pihak yang berkenaan sepatutnya menjalankan kajian kesan sosial serta peni­laian ke atas nilai perkhidmatan ekosistem bagi memanfaatkan seluruh penghuni sekitar Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Hutan Simpan Bukit Cherakah antara hutan tanah rendah yang masih tersisa di Selangor. Sebagai kawasan yang sensitif dari segi alam sekitar, ia patut dipelihara demi menjaga kepelbagaian biologinya selain memiliki nilai yang tinggi terhadap manusia.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad ada mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor mewartakan sahaja hutan tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Sebagai sebuah hutan bandar, Hutan Simpan Bukit Che­rakah sangat berguna bukan sahaja sebagai kawasan hijau semula jadi tetapi dapat memberikan perkhidmatan ekosistem kepada masyarakat sekitar dari segi nilai kehijauan, sumber udara bersih, air dan pengawalan cuaca.

“Kawasan hutan ini boleh dilaksanakan aktiviti pendidikan, penyelidikan dan eko pelancongan, jika terus dibangunkan maka kita akan hilang buat selamanya hutan semula jadi sekali gus menimbulkan masalah alam sekitar kepada ge­nerasi akan datang,” katanya.