Rata-rata orang tidak tahu di mana England bermula dan Britain atau United Kingdom berakhir. Apa pun, ia adalah bekas penjajah sekian lama.

Pada 1952 King George VI meninggal dan puterinya Queen Elizabeth II menaiki takhta hingga kini. King Farouk (Mesir) turun takhta akibat rampasan kuasa di bawah Jeneral Naguib dan Gamal Nasser.

Dalam keadaan tegang, Farouk sempat berhumor. Katanya: yang kekal akhirnya ialah King daun pakau dan King of England.

Menyedari berpuluh kereta mewah dalam garaj istimewa Farouk, paling banyak dalam kalangan istana di dunia, rakyat amat marah. Lebih teruk apabila pembaziran itu dibanding dengan kesukaran hidup rakyat Mesir waktu itu.

Gurauan Farouk tentang keabadian King of England itu memberikan pengertian yang luas dan mendalam.

Sistem monarki England melalui telah ujian pahit maung, turun naik, sejak King Egbert, lebih 1,200 tahun dulu, hingga ke Queen Elizabeth kini, seramai 66 orang.

Untuk sekian lama semuanya memerintah secara muktamad atau absolute dalam erti kata pada diri King atau Queen terletaknya kuasa eksekutif, kuasa penentuan keadilan, ketenteraan, agama, dan ragaman kehidupan rakyat, malah berkuasa dalam semua lapangan.

Namun pada awal 1600, eksperimen mengadakan Parlimen agar suara rakyat didengari telah dientengkan oleh King Charles I.

Tercetuslah penentangan dari ahli-ahli Parlimen yang dipimpin Oliver Cromwell. Charles dipancung dan Cromwell menjadi Lord Protector. Bermulalah satu pemerintahan baru.

Disebabkan konsep ‘republik’ belum wujud dan berkembang, maka Cromwell gagal memperlihatkan satu alternatif yang teguh kepada sistem monarki.

Cemburu dan dengki dalam kalangan tokoh-tokoh pejuang akhirnya menumbangkan Cromwell. Dan Charles II dijemput menaiki takhta atas kaedah Raja Berperlembagaan, 11 tahun selepas Charles I pergi.

Untuk sekian lama selepas itu, persefahaman Monarki Berperlembagaan dipatuhi dengan baik antara pihak Parlimen dengan istana.

Sehingga sekarang Queen Elizabeth hanya boleh menjejak kaki di Parlimen atas jemputan, baik untuk majlis negara atau sidang Parlimen.

Jawatan Speaker diwujudkan untuk maksud menjadi jurucakap antara Parlimen dengan King Charles II sebelum konsep ‘monarki berperlembagaan’ diterima kedua-dua pihak.

Bagaimanapun 100 tahun selepas King Charles II, seramai tujuh raja berikutnya, King George III, akibat mental tidak stabil, telah mencetus huru-hara di koloni England di Amerika utara (kini AS). Pecahlah Perang Kemerdekaan pimpinan George Washington mencapai kejayaan pada 1776.

Muncullah konsep ‘republik’. Ia dihayati dan diterima. Presiden yang dipilih mengganti King sebagai ketua negara. Kekaburan jenis pemerintahan alternatif yang dihadapi Cromwell 100 tahun terdahulu di England sudah menjadi jelas dan terbukti boleh diamalkan.

Kenapa King Farouk bergurau secara positif terhadap King of England boleh dihayati. Selepas petaka King George III itu, King dan Queen of England telah menampilkan satu model Raja Berperlembagaan yang sangat dikasihi rakyat.

Serba serbi teratur dan tiada kerenah sumbang, jauh sekali terlibat dalam politik dan persaingan dengan rakyat dalam perdagangan.

Saya pernah berkunjung ke Istana Windsor dekat London. Lebih 20 tahun dahulu, istana ini telah terbakar. Ia memerlukan kos membaiki yang mahal.

Pihak istana akur apabila rakyat menyuarakan agar jangan digunakan wang pembayar cukai (rakyat) untuk maksud itu. Justeru istana bersetuju agar tiket digunakan untuk mendapat kutipan dari para pengunjung untuk membaiki dan menyelenggara istana itu.

Monarki England menyumbangkan contoh yang baik kepada semua King dan Queen di seluruh dunia, mengilhamkan daulat di semua takhta. Di negara Thai, takhtanya akur sebagai Raja Berperlembagaan apabila satu penentangan rakyat berlaku pada tahun 1932. Lihatlah kini betapa kasihnya rakyat Thai kepada Rajanya.

Kasihan King Farouk kecewa menghayati kasih sayang begitu . Bagaimana kalau beliau sedar dahulu dan ikut cara keperlembagaan King of England?

TAN SRI ADAM KADIR ialah 
bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.