AHMAD MUA'ADZAM SHAH YA'AKOP

Catchy tapi mengandungi fakta yang digarap tahap tinggi. Menusuk terus ke jiwa. Bukan setakat tuju ke kepala.

Kalau dimulakan jawapan de­ngan angka, statistik dan peratusan, itu ada kalanya meraban juga untuk diproses otak kerana angka sebenarnya boleh digunakan sebagai penguat hujah - bukannya mendominasi topik penjelasan.

Cuba tengok ‘badut-badut politik’ yang ‘cekap’ bermain ‘sarkas’ tohmahan dan fitnah antaranya, Ahli Parlimen DAP dari Taiping, Nga Kor Ming dan seorang lagi dari Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Kalau didengar sekali...wow! Boleh menggoncang pendirian. Tetapi apabila disemak dan diteliti sedalamnya, akan terjawablah segala auta kedua-duanya.

Tumpang lalu kadang-kala ketawa besar, ada kalanya ketawa kecil…macam ini hehehe...mendengar atau membaca ungkapan dan celoteh ‘spesies’ mereka ini dalam menegakkan hujah atau berlegar-legar dengan auta.

Namun, kena akur dan respect jugalah kepada mereka ini kerana ‘kelebihan’ seperti ini tidak ba­nyak ada dalam jentera pilihan raya di pihak kerajaan - kerana politik, dalam menentukan tujahan terakhir yang melekat di fikiran sebilangan rakyat adalah bagaimana kebolehan seseorang melenyapkan persepsi.

Baru-baru ini ketika Tum­pang lalu sembang santai dengan Se­tiausaha Pemuda UMNO Se­la­ngor, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop, beliau menceritakan pengalamannya berdepan dengan individu-individu sarcastic yang di fikiran mereka sudah ada jawapan atau pendirian politik mereka.

“Dalam satu perjumpaan, saya di­tanya...Mua’adzam, saya me­nyampah betul dengan orang ini...dia ni boleh jadi penyebab ke­kalahan BN.

“Saya pun tanya dia balik...saudara, mengapa saudara berkata demikian...dia jawab, saya me­nyampahlah sebab kawan-kawan pun kata macam itu.

“Lantas saya katakan kepadanya, kalau saya kata saya menyampah tengok abang saudara macam mana? Kata dia, eh! kenalkah Mua’adzam pada abang saya. Ya!...saya tak pernah jumpa dia, tapi saya menyampah…dan samalah menjawab pertanyaan saudara, anda tak pernah jumpa orang ini, tak pernah bersembang dengannya, macam mana saudara kata sudah menyampah…lantas dia angguk-anggukkan ke­pala...tanda faham dan berterima kasih pada saya,” demikian jelas Mua’adzam.

Mengulas mengenai Kor Ming, kata Mua’adzam: “Dia nak bercakap pasal rakyat marhaen tapi hidupnya penuh kemewahan...plat kereta-kereta mewahnya pun seragam.

“Rakyat biasa memang tidak mampu beli kereta sebegini mewah. Tapi Alhamdulillah atas kemakmuran dan perkembangan ekonomi Malaysia yang semakin meningkat, ahli parlimen dari DAP pun mampu hidup mewah de­ngan mempunyai rumah ba­nglo yang besar dan kereta berharga hampir setengah juta ringgit.”

Ahmad Mua’adzam menarik perhatian bagaimana Pakatan Ha­rapan - dulu­nya dipanggil pakatan rakyat dan sebelumnya en­­tah apa lagi na­manya - be­gitu ge­­markan ‘komestik’. Kelebihan mereka bermain isu yang se­galanya serba tak kena pada ke­rajaan.

“Mereka ini nak menang se­bab itu perangai jadi begitu. Track record pertembungan BN-Pembangkang dari 2008-2013, mereka (pembangkang) mendominasi media sosial. Tapi sekarang, tidak lagi, sudah merudum ke­rana rakyat semakin matang dan bijak membezakan mana satu fakta, mana satu auta.”

Dalam menjawab dakyah pem­bangkang sehingga tergamak mengatakan Malaysia bakal bankrap, Ahmad Mua’adzam meminta mereka lihat apa yang ada di depan mata sahaja, antaranya:

“Ringgit kukuh autakah? Eh! Ini dunia punya rating. Hari ini kita dengar ramai yang pergi umrah berbanding dulu. Jangan cerita KLIA, tengok sahaja dulu klia2, bukan sahaja penuh de­ngan kedatangan pelancong asing, tapi dibanjiri orang kita yang nak ke luar negara.”

Dan sekali lagi Tumpang lalu ketawa kecil ketika coretan pojok ini tiba ke penghujung­nya kerana teringat gelagat dua ‘badut’ tadi, Kor Ming dan Rafizi. Mereka ini fitnah orang ini, tohmah orang itu sehinggakan kedua-duanya pernah minta maaflah dengan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun selepas itu buat bodoh dan selamba juga fitnah sini, spin sana.

Juga, Tumpang lalu ada kala­nya terhibur dan ‘terpana’ juga dengan sentuhan tindak balas antara netizen ketika memperkatakan topik “Mitos pakatan: pelabur lebih percaya Dr. Mahathir berbanding Najib?” dalam Facebook milik seorang rakan baru-baru ini.

Antaranya (ejaan Tumpang lalu telah perkemaskan):

Kata si A: Kilang pun banyak tutup.

Balas si B: Man, kilang tutup kat Bangi memang ada tapi tak banyak...diganti dengan kedai fesyen besar-besar seperti Jakel, Ariani, Fareeda, (telekung) Siti Khadijah...di situ sahaja...(ada) pasar raya baharu seperti Parkson Evo Mall, hospital swasta baharu seperti Hospital Pakar An-Nur Hasanah, hotel baharu seperti Tenera dan Sherwood Gateway Hotel Bangi yang menyediakan peluang-peluang kerja...(cuma) nak dengan tak nak kerja saja Man...”

Apalah lagi nak Tumpang lalu katakan dengan ‘peluru’ si B itu - awesome.