Sejarah turut terpahat pada edisi ke-21 apabila Malaysia menjadi juara keseluruhan buat kali pertama sejak temasya sukan dwi tahunan ini diperkenalkan.

Namun selepas 16 tahun, Kuala Lumpur sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah dan sudah semestinya gelaran juara keseluruhan bagi edisi ke-29 ini menjadi dambaan seluruh rakyat Malaysia.

Jika dilihat dari sudut ke­lebihan sebagai tuan rumah, Malaysia sememangnya memiliki aura sang juara. Bukan sahaja kita mempunyai ke­lebihan dari sudut memilih senarai sukan yang dipertan­dingkan, malah para atlet juga dapat menyesuaikan diri dengan lokasi pertandingan lebih awal berbanding atlet dari negara ASEAN yang lain.

Ditambah dengan semangat bulan kemerdekaan ketika berlangsungnya temasya KL2017 kali ini, sememangnya para atlet yang bertanding akan lebih membara dalam memburu pingat emas untuk dihadiahkan kepada negara dan rakyat Malaysia.

Namun ramuan tambahan untuk bergelar sang juara adalah seluruh rakyat Malaysia. Kita adalah tonik tambahan kepada para atlet yang bertanding untuk lebih bersemangat jika mereka melihat kelibat rakyat Malaysia yang hadir sebagai penyokong di lokasi-lokasi pertandingan.

Para atlet yang mewakili negara telah menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan Jalur Gemilang dapat dikibarkan sebanyak 111 kali seperti sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Tetapi jika rakyat Malaysia turut hadir sebagai penyokong yang membawa kibaran Jalur Gemilang untuk membakar semangat para atlet yang berjuang, sudah pasti mereka akan lebih bermotivasi dalam memburu kilauan emas.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya dapat meluangkan sedikit masa dan tunjukkan sokongan untuk hadir bersama sebagai penyokong dan tulang belakang kepada para atlet negara.

Rancanglah sedikit cuti dan bawalah ahli keluarga untuk menyaksikan pertandingan secara langsung di depan mata. Ambillah kesempatan untuk cuti-cuti Malaysia sambil memberikan sokongan kepada para atlet yang bertanding.

Janganlah hanya sekadar mem­beri komen negatif ketika menyaksikan siaran langsung di kaca televisyen atau merungut serta mengkritik para atlet yang gagal dalam acara-acara sukan dipertandingkan. Tetapi hadir bersama mereka dan memberi jiwa kepada para atlet agar keha­diran kita dapat merangsang aura sang juara dalam diri para atlet yang bertanding.

Bangkitlah bersama supaya dapat dijelmakan semangat kita juara dalam memastikan cita-cita seluruh rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan Kuala Lumpur menjadi juara keseluruhan pada edisi KL2017. Semoga sedikit usaha daripada setiap rakyat Malaysia boleh membuahkan kejayaan yang bermakna untuk kita kenang dan banggakan.

PENULIS ialah Setiausaha Agung Persatuan Alumni Pe­mimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI).