Sesetengah pesakit mental boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa. Inilah risiko kepada masyarakat, keluarga, pihak syarikat, jabatan kerajaan apabila ada individu dalam kalangan mereka mengalami masalah mental.

Beberapa kes yang kita baca di akhbar atau media sosial tentang pembunuhan kanak-kanak, kes buli di sekolah, vandalisme, bekas kekasih mengamuk, samseng jalan raya, dan penculikan menunjukkan tanda-tanda sakit mental.

Kesannya, ia mendatangkan bahaya terhadap diri pesakit sendiri dan terhadap orang lain, komuniti dan masyarakat. Bahaya bukan setakat membunuh diri tetapi membunuh orang lain.

Yang merisaukan kita sekarang, bukan sahaja sakit mental berpunca daripada stres dan simptom yang biasa kita dengar, tetapi kesan daripada pengambilan dadah.

Penyeludupan dan pengedaran pelbagai jenis dadah di negara kita begitu membimbangkan. Makin keras hukuman terhadap salah guna dadah, makin menjadi-jadi ancamannya kepada masyarakat kita dalam pelbagai bentuk jenayah.

Kini kalangan pesakit mental yang disebabkan oleh pengambilan dadah semakin meningkat setiap tahun dan golongan remaja dan dewasa yang paling banyak menghidapnya.

Kesan dadah bukan setakat meningkatkan rasa ghairah dan khayal tetapi sudah ke tahap boleh menyebabkan gila atau psikosis (gejala seperti halusinasi). Ada orang kata mengambil ganja secara suka-suka itu tidak memudaratkan tetapi inilah yang menyebabkan ada yang terjebak ke kancah dadah.

Dadah boleh menyebabkan semua jenis penyakit mental. Daripada pengamatan saya, kian ramai remaja yang jadi ‘gila’ disebabkan ganja dan dadah sintetik, baik di bandar mahupun luar bandar. Golongan berpendidikan tinggi pun turut terbabit.

Akal fikiran mereka bercelaru kerana dadah yang diambil telah merosakkan otak berfungsi dengan betul. Kerosakan otak diterjemahkan dengan tingkah laku pelik dan berbahaya.

Mengikut fakta perubatan, risiko seseorang mendapat penyakit mental kekal adalah tinggi jika menggunakan dadah jenis perangsang seperti syabu, ekstasi, kanabis dan pil kuda pada usia muda.

Hal ini barangkali boleh dikaitkan dengan insiden anak yang menagih dadah jenis syabu sanggup mengancam keselamatan keluarga, malah ada yang membunuh kejam ibu atau bapa sendiri kerana gagal mendapat wang untuk membeli dadah.

Walaupun belum ada statisik terbaharu tentang bilangan pesakit mental di negara ini, tetapi bertambahnya bilangan kes ganas dan jenayah bunuh, membimbangkan kita tentang golongan yang ada potensi terhadap sakit mental ini.

Jika mengikut laporan media pada 2015, bi–langan pesakit yang dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berpunca daripada da­dah, menunjukkan aliran meningkat dalam tem­poh tiga tahun sebelum itu. Seramai 357 pesakit mental akibat dadah dirawat di hospital itu pada 2014 dan meningkat kepada 395 orang (2015) dan 441 orang (2016).

Peningkatan pesakit mental akibat dadah ini berpunca daripada peng–gunaan banyak dadah sin­tetik sekarang yang bo­leh mengakibatkan pe­nagihnya mengalami psi­kosis (gejala seperti ha­lusinasi).

Kajian pada 2015 juga menunjukkan 30 pe­ratus rakyat Malaysia me­ngalami masalah men­tal dan ia merupakan pe­nyakit kedua tertinggi di negara ini selepas penyakit yang ada kaitan dengan jantung.

Kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelak lebih banyak kes keganasan, kejadian bunuh diri dan lebih ramai orang menjadi mangsa gangguan pesakit mental.

Gangguan psikiatri dan penyakit mental boleh mendorong kepada keganasan. Kesan masalah kesihatan mental terhadap pesakit dan keluarga mereka serta masyarakat secara keseluruhannya adalah besar dan perlu ditangani.

Masalah masyarakat kita dalam menangani gejala kesihatan mental ialah stigma harga diri. Sukar untuk sesebuah keluarga mengaku dalam keluarganya ada orang sakit mental. Malah ada individu yang bermasalah begini sanggup berpura-pura sihat, kerana tidak mahu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Puncanya mereka malu, tidak mahu diasingkan dalam keluarga, tidak mahu didiskriminasi di tempat kerja, tidak mahu cemuhan atau gangguan emosi dan fizikal.

Masalahnya apabila tidak menerima rawatan yang sepatutnya, mereka akan menghadapi masalah kemurungan. Bahayanya seperti akhir-akhir ini banyak akhbar melaporkan kes bunuh diri, terjun bangunan, mencederakan diri atau orang lain.

Kes ancaman gejala kesihatan mental ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat kita. Sebab itu bukan pelik apabila masyarakat kita tidak kira Melayu, Cina, India atau kaum-kaum lain memilih mendapatkan rawatan secara tradisional.

Inilah cabaran besar yang terpaksa dihadapi pakar perunding psikiatri khususnya di negara kita kerana budaya masyarakat kita yang lebih terpengaruh dengan kepercayaan mistik yang banyak dikaitkan dengan penyakit mental.

Mereka bukan saja gagal memulihkan pesakit malah terpaksa menghabiskan ribuan ringgit bagi membayar perkhidmatan dan rawatan bomoh memulihkan penyakit yang didakwa berpunca daripada ‘gangguan luar’.

Kita lupa bahawa jika membawa pesakit mental lebih awal ke hospital, sekurang-kurang kita dapat membantu peringkat awal diagnosis, pengambilan ubat dan rawatan yang sewajarnya untuk proses pemulihan.

Jika ibu bapa melihat perubahan tingkah laku anak terutama yang diketahui mengambil dadah, segeralah bawa berjumpa doktor supaya boleh dirawat. Pesakit yang mendapat rawatan awal boleh menjalani kehidupan seperti orang lain berbanding mereka yang dibiarkan begitu sahaja yang boleh membahayakan nyawa orang di sekeliling.

Jika ada ahli keluarga kita terlibat dengan dadah, segera bawa dia ke klinik untuk rawatan sebelum kita sendiri menjadi mangsanya.