Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Khabar gembira kepada pengguna perkhidmatan rel

SATU khabar gembira ter­utama kepada warga ibu kota atau di Lembah Klang apabila mulai 16 September ini, pengguna pengangkutan awam yang dikendalikan oleh Kumpulan Pra­­sarana akan menikmati kadar tambang diskaun 50 peratus. Dianggarkan kira-kira 30,000 pengguna dijangka menggunakan pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan Bas Rapid Transit (BRT). Syaratnya, yang pertama, ubahlah corak perjalanan iaitu keluar lebih awal untuk menggunakan perkhidmatan itu pada pukul 6 hingga 7 pagi. Kedua, diskaun hanya ditawarkan kepada pengguna yang menggunakan mod pembayaran tanpa tunai. Mereka ialah pengguna Touch ‘n Go, Kad MyRapid, MyRapid Smart 7, MyRapid Smart 30, warga emas, pelajar dan orang kelainan upaya dengan pemegang kad konsesi. Kepada yang masih membeli tiket harian, eloklah beralih kepada pembayaran tanpa tunai.

 

Ketika ini kira-kira 66 peratus pengguna LRT dan monorel meng­­gunakan kaedah pembayaran tanpa tunai. Lebih mudah dan cepat. Entah kenapa masih ramai yang tidak berminat menggunakan sistem kad seperti Touch ‘n Go. Lihat sahaja di plaza tol. Masih ramai yang sanggup beratur untuk membayar secara tunai. Akhirnya pengendali lebuh raya ‘memaksa’ pengguna menggunakan kad Touch ‘n Go. Mahu tidak mahu, setiap kenderaan perlu memiliki kad berkenaan. Matlamat pemberian diskaun ini adalah bagi menggalakkan orang ramai terutama golongan pekerja menggunakan pengangkutan awam lebih awal daripada waktu biasa atau waktu puncak. Langkah ini akan membantu mengurangkan kese­sakan pada waktu puncak mulai 7 pagi hingga 9 pagi seba­nyak 134 peratus penggunaan.

Sejauh mana tawaran diskaun ini akan membantu mengurangkan kesesakan? Apakah lebih ramai pengguna yang selama ini menggunakan kenderaan sendiri akan beralih kepada pengangkutan awam? Prasarana yang cekap dan lengkap akan membantu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutama pengangkutan rel. Ketika ini di beberapa lokasi, telah tersedia tempat letak kereta bertingkat bagi memudahkan pengguna. Diharapkan, kadar caj parkir juga tidak membebankan. Kadang-kadang disebabkan caj yang tinggi, ada yang memikirkan tidak berbaloi menggunakan pengangkutan awam dan lebih baik mengharungi kesesakan di atas jalan raya. Jika sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘menawarkan’ kadar baharu caj parkir dengan kenaikan sehingga 150 peratus, kini jalan keluar kepada kenaikan itu ialah menggunakan pengangkutan awam. Cuma persoalannya bagaimana jika kedudukan pejabat atau tempat kerja itu jauh daripada stesen atau perhentian bas? Sudah tentu, pengguna memerlukan perkhidmatan sokongan sama ada teksi, bas henti-henti atau kini GrabCar atau Uber. Perkhidmatan ini juga perlu cekap dan tepat pada masanya supaya pengguna sampai ke destinasi pada waktu yang ditetapkan. Jika tidak ada pilihan, mungkin akhirnya berkongsi kereta untuk masuk ke Kuala Lumpur. Bayangkan masa yang perlu dihabiskan untuk berada di atas jalan raya sama ada pada sebelah pagi ketika mahu masuk pejabat atau waktu petang semasa pulang.

Pemberian diskaun tambang dan kenaikan caj parkir diharap mendorong orang ramai menggunakan pengangkutan awam ke kawasan bandar. Secara tidak langsung akan mengurangkan kemasukan kenderaan ke kawasan kesesakan tinggi. Setiap hari, kira-kira tiga juta kenderaan memasuki ibu kota dan angka itu perlu dikurangkan. Difahamkan sebanyak 70 peratus daripada 3.5 juta kenderaan yang memasuki ibu negara terdiri daripada pemandu solo. Jika pemandu solo beralih kepada pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan, langkah ini akan mengurangkan jumlah kenderaan ke pusat bandar.

Memang sukar untuk mengu­bah tabiat orang ramai supaya memilih pengangkutan awam. Selagi tempat letak kereta itu masih wujud, tidak timbul soal membayar caj tinggi. Lebih-lebih lagi, ketika ini banyak bangunan yang menyediakan ruang tempat letak kereta bertingkat. Malahan ada yang berkata, sesiapa yang mempunyai sebidang tanah dan dibangunkan dengan tempat letak kereta, ia pasti akan peroleh keuntungan. Begitulah bisnes tempat letak kereta di ibu negara. Mungkin untuk masa depan, tidak ada lagi sebarang kelulusan untuk membina bangunan khusus untuk meletak kenderaan kecuali di kawasan berhampiran pengangkutan rel ini. Sememang­nya warga Lembah Klang amat bertuah kerana mempunyai sistem pengangkutan rel yang semakin meluas. Kehadiran Mass Rapid Transit (MRT) akan menambah lagi keselesaan perhubungan pengangkutan awam ini. Khabar­nya, ketika waktu puncak, selang waktu antara tren cuma 3.5 minit. Ketika ini kemajuan projek laluan Sungai Buloh dan Kajang (SBK) mencapai 89 peratus dan fasa pertama (Sungai Buloh ke Semantan) akan beroperasi hujung tahun ini manakala bakinya akan siap pada Julai 2017.

Bagaimanapun sesuatu yang masih menghantui sesetengah peng­guna pengangkutan rel ini ialah perkhidmatan komuter. Selepas kehadiran koc yang lebih baik dan pengenalan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS), pengguna komuter masih mengharapkan perkhidmatan yang lebih cekap. Tempoh menunggu kembali kepada asal iaitu 45 minit hingga satu jam. Perkhidmatan komuter seolah-olah berundur ke belakang. Memang masalah yang dihadapi sekarang adalah untuk kebaikan pada masa hadapan tetapi jangka masa menunggu yang ada kini adalah terlalu lama. Akibat perubahan jadual itu, ada ketikanya, perkhidmatan komuter sesak dengan penumpang. Satu perkara lagi yang harus diberi perhatian ialah tempat letak kereta yang selesa dan selamat.

Di sesetengah kawasan telah tersedia bangunan letak kereta yang baik tetapi di sesetengah tempat tidak memuaskan. Terdapat juga kawasan letak kereta yang menghalang kenderaan untuk menurun dan mengambil penumpang di stesen komuter. Lebih mendukacitakan, ada pengendali tempat letak kereta ini mengenakan caj terhadap kenderaan yang hanya menghantar penumpang. Mungkin caj itu boleh dikenakan jika di luar tempat letak kereta itu masih ada ruang kosong untuk menurun dan mengambil penumpang tanpa mengganggu lalu lintas. Sebaliknya jika tidak ada ruang yang sesuai sehingga boleh menimbulkan masalah atau kemalangan, eloklah pengendali parkir lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab menjaga keselamatan pengguna. Pihak KTM Berhad perlu memberi perhatian terhadap masalah ini. Jangan ‘tutup mata’ atau terlalu mengejar wang sehingga kebajikan pengguna terabai!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain