Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kewangan Islam di mata rakyat kita

PENULIS tertarik dengan satu laporan akhbar Utusan Malaysia berkaitan dengan kewangan Islam di Malaysia, baru-baru ini. Dengan tajuk yang agak menarik, �Kewangan Islam kurang menjadi?�, artikel tersebut mengulas mengenai sejauh mana pencapaian hebat kewangan Islam memberi manfaat kepada orang Islam di negara kita.

Secara peribadi penulis bersetuju dan tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana untuk mengatakan kewangan Islam di Malaysia gagal sepenuhnya adalah kurang tepat.

Hal ini kerana banyak kejayaan yang dicapai oleh sektor ini di dalam mahupun di luar negara. Namun penulis bersetuju jika dikatakan bahawa kewangan Islam di Malaysia mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Dalam konteks pertumbuhan kewangan Islam sama ada di dunia mahupun di Malaysia, tiada pihak berani menafikan apa yang telah dikecapi oleh sektor ini. Rekod statistik telah membuktikannya.

Sehingga kini aset kewangan Islam dunia bernilai lebih AS$2 trilion (RM6.2 trilion). Kewangan Islam telah berkembang di lebih 50 negara di dunia dengan Malaysia menjadi hab utama.

Namun, secara realitinya ada banyak perkara lagi yang boleh diperhalusi bagi terus memperkasakan kewangan Islam di negara ini.

Pada tahun lepas, penulis berpeluang mengikuti persidangan mengenai kewangan Islam di sebuah hotel di ibu negara. Ahli-ahli panel yang dijemput bukan calang-calang orang. Mereka ialah pakar dan pengamal kewangan Islam.

Bagaimanapun, agak malang apabila ucapan dan visi mereka dalam membawa kewangan dan perakaunan Islam ke satu tahap yang lebih baik dari sekarang agak mendukacitakan. Malah mereka lebih bersetuju dengan sistem konvensional sedia ada kerana bagi mereka jika ada dua sistem dalam negara akan menimbulkan masalah kepada para pelabur luar negara.

Pemahaman seperti ini mungkin wajar diperhalusi kembali sedalam-dalamnya.

Ada juga kalangan pengamal kewangan Islam melihat bahawa matlamat kewangan Islam adalah sama seperti kewangan konvensional. Objektif utama sesebuah institusi kewangan ialah untung dan institusi kewangan Islam juga tidak terkecuali.

Lebih menyedihkan apabila ada kalangan pengamal kewangan Islam gagal memahami ayat al-Quran berkenaan pengharaman riba.

Penulis tidak mahu menunding jari kepada sesiapa. Cuma apa yang menjadi harapan ialah kita perlu berhati-hati apabila ingin mengeluarkan sesuatu kenyataan mengenai kewangan Islam.

Ini kerana matlamat kewangan Islam tentulah berbeza dengan kewangan konvensional. Tidak akan berlaku penindasan sesama manusia dan keuntungan bukanlah satu-satunya matlamat dalam sistem kewangan Islam yang sebenar.

Apa yang penting, kita sebagai orang Islam wajib mencari yang halal. Kewangan Islam adalah halal berbanding kewangan konvensional. Walaupun ada beberapa kelemahan, kita tetap wajib memilih kewangan Islam.

Ada rakan penulis membuat permohonan pinjaman kenderaan daripada sebuah bank Islam dalam negara. Dia seorang peniaga dan mempunyai pendapatan yang agak baik namun tidak menentu. Dia menunggu lama untuk mengetahui keputusan permohonannya daripada bank tersebut, namun akhirnya dimaklumkan bahawa dia tidak berjaya.

Berbekalkan akaun perniagaan yang sama, dia membuat permohonan kepada bank konvensional. Apa yang mengejutkan, dengan mudah bank tersebut meluluskan permohonannya malah pegawai bank memaklumkan dia layak membuat pinjaman lebih daripada apa yang dipohon. Kadar faedah yang dikenakan juga lebih kompetitif berbanding bank Islam tadi.

Satu lagi contoh, seorang rakan membuat permohonan pembiayaan membeli rumah. Rakan penulis ini agak berumur dan berat badannya juga berlebihan. Dia memohon dari sebuah bank Islam dan bank menetapkan bahawa insurans perlu dipohon kepada hanya tiga syarikat takaful sahaja.

Apabila permohonannya berjaya, dia diarahkan membayar kos insurans yang ditetapkan. Malang berlaku apabila ketiga-tiga syarikat takaful di bawah bank tersebut tidak meluluskan permohonannya kerana faktor umur dan berat badan. Dia berseloroh mungkin syarikat tersebut menolak kerana menjangkakan orang berbadan besar berisiko untuk mati cepat.

Oleh kerana tidak mempunyai insurans, dia disuruh mencari sendiri daripada syarikat lain. Masalah timbul apabila ada syarikat insurans yang mahu melindunginya namun tidak diluluskan bank tersebut. Ini menyukarkan rakan penulis itu untuk mendapat perlindungan takaful bagi pembiayaan tersebut. Sehingga sekarang, pinjamannya tidak dilindungi oleh mana-mana syarikat takaful.

Dua kes ini adalah antara contoh rungutan terhadap institusi kewangan Islam. Ia ada asasnya. Jika tidak mana mungkin ramai peniaga Islam tidak memilih perbankan Islam.

Halal Industry Development Corporation (HDC) mendakwa daripada 4,400 syarikat yang berdaftar dengan agensinya, hanya sekitar 10 peratus sahaja menggunakan perkhidmatan perbankan Islam.

Penulis merasakan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah melihat kembali prosedur dan produk kewangan yang ditawarkan oleh kewangan Islam agar ia benar-benar selari dengan kehendak syarak. Apa yang mungkin menjadi kesilapan kewangan Islam pada masa sekarang ialah mencipta produk kewangan terlebih dahulu sebelum meminta pandangan panel syariah untuk memperakui produk tersebut dari sudut syariah.

Mungkin cara ini perlu ditukar dengan memahami terlebih dahulu konsep dan hukum-hakam berkaitan produk kewangan sedia ada. Kemudian barulah sesuatu produk dicipta agar ia selari dengan kehendak syariah.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain