Bagi yang menunaikan umrah, adakalanya sukar untuk kita masuk ke dalam masjidilharam kerana ruangan di dataran putih masjid itu dipenuhi oleh jemaah. Sangkaan kita di dalam masjidilharam sudah penuh tetapi sebenarnya golongan berkenaan memang suka solat di luar masjid.

Hal ini mesti diper­betulkan. Daripada Abu Hu­rairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang ber­maksud: Seandainya manu­sia mengetahui (kebaikan) apa yang terdapat pada panggilan solat dan saf pertama lalu mereka tidak dapat meraihnya melainkan dengan mengundi tentulah mereka akan mengundinya... (Riwayat Bukhari)

Kalau hari Jumaat, ramai yang keluar awal ke masjid sekitar jam 12.30 tengah hari. Datang awal itu memang sudah bagus malangnya, sampai ke masjid tidak masuk terus ke dalam. Ada yang berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka. Sesungguhnya Nabi SAW menyatakan bahawa sesiapa yang sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW melihat ada sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).

Sepakat para fuqaha bahawa saf yang afdal bagi lelaki sama ada bersama mereka kanak-kanak atau perempuan adalah saf yang pertama. Begitu juga bagi perempuan yang tidak bersama mereka makmum lelaki atau berjemaah bersama lelaki tetapi ada penghalang atau tabir antara keduanya, maka yang afdalnya di saf yang pertama. Namun, jika perempuan itu berjemaah bersama lelaki tanpa ada penghalang atau tabir, maka yang afdal bagi wanita itu saf yang terakhir.

Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang pertama dan sejelik-jeliknya ialah saf yang terakhir. Sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang paling belakang, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang pertama. (Riwayat Muslim)

Bab menjaga saf dan merapatkannya di dalam solat adalah permasalahan yang kian terabai. Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita. Saf-saf solat kelihatan renggang dan tidak sekata. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, ia amat diberi perhatian kesempurnaannya.

Jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman. Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)