Kecenderungan demikian bagaimanapun bukan pendirian utama para ilmuwan ternama dalam tradisi keilmuan Islam. Yang jelas, ilmuwan-ilmuwan tersebut pada amnya bersepakat dalam menegaskan satu ciri pen­ting agama Islam iaitu perihal wujudnya kemuafakatan antara apa yang merupakan tanggapan akal murni dan apa yang sahih dinaqalkan (atau diriwayatkan) daripada sumber asli Islam.

Pengiktirafan terhadap kemuafakatan sedemikian jelas terjelma pada tajuk dan isi kandungan kitab-kitab utama para ulama Islam seperti: Ibn Rushd (wafat 594-5H/1198M) lewat karyanya Fasl al-Maqal fi ma bayn al-Hikmah wa al-Shariah min al-Ittisal (Kata putus perihal hubungan antara llmu falsafah dan ilmu syariat) dan Ibn Taimiyyah (wafat 728H/1328M) menerusi kitabnya Dar’ Taarud al-Aql wa al-Naql (Penafian pertentangan antara akal dan naqal) yang turut dikenali de­ngan tajuk Muwafaqat Sahih al-Manqul li Sarih al-Maqul (Kemuafakatan perkhabaran yang sahih dengan tanggapan akal murni).

Kemuafakatan ini justeru membentuk satu hubungan kesalingan dinamis antara akal dan naqal yang merupakan lanjutan daripada semangat Islam yang bersifat tauhid (bersepadu-bersatu) serta adil beradab.

Juga merangkum pendekatan terhadap pelbagai cabang ilmu, baik yang syarie (iaitu yang bersumberkan syarak) mahupun yang aqli (yakni yang berpuncakan akal).

Hubungan yang bercirikan kemuafakatan tersebut pernah suatu ketika diringkaskan oleh Hujjatul Islam, Imam Abu Hamid Muhammad al-Ghazzali (wafat 505H/1111M) lewat per­nyataan beliau dalam karya terkenalnya, Ihya’ Ulum al-Din: 'Majoriti ilmu-ilmu syarak, menurut yang tahu tentangnya, bersifat aqli manakala sebahagian terbesar ilmu-ilmu aqli, menurut yang arif tentangnya, bersifat syarie’ (wa-akthar al-ulum al-shariyyah aqliyyah ind alimiha wa-akthar al-ulum al-aqliyyah shariyyah ind arifiha).

Malah, dalam karyanya yang lain, Maarij al-Quds fi Madarij Marifat al-Nafs, Imam al-Ghazzali turut memberikan empat kiasan yang menjelaskan kaitan rapat antara akal (iaitu punca ilmu-ilmu aqli) dan syarak (yakni sumber ilmu-ilmu naqli). Kedua-duanya sentiasa berpasangan dalam agama Islam, yang satu tidak dapat berpisah daripada yang lainnya.

Pertama, akal itu laksana tapak binaan manakala syarak itu seperti bangunan.

Kedua, akal itu umpama penglihatan sedangkan syarak itu bagai cahaya yang meneranginya.

Ketiga, akal itu serupa dengan nyalaan pelita sementara syarak itu seperti mi­nyak yang menghidupkannya.

Keempat, syarak itu akal daripada luar diri manakala akal itu syarak daripada dalam diri.

Perkara yang serupa turut dibahaskan oleh Imam al-Ghazzali dalam Qanun al-Ta’wil iaitu sebuah monograf berkenaan dengan peraturan dan kaedah takwil yang menyepadukan antara al-maqul dan al-manqul.

Justeru, dalam mengemudi kehidupan mereka ke arah meneruskan dan memperkasakan peradaban Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam, amat penting sekali untuk umat Islam kembali memberikan perhatian kepada tunjuk ajar para sarjana dan ilmuwan Islam tersohor di atas, sekali gus benar-benar memanfaatkannya.

DR. MOHD. ZAIDI ISMAIL ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefa­haman Islam Malaysia (IKIM).