Adalah penting untuk menerima hakikat bahawa manusia sebagai penghuni bumi telah banyak memusnahkan kepelbagaian alam semula jadi yang sangat diperlukan untuk kestabilan ekosistem dan kelangsungan hidup generasi akan datang. Malangnya, tidak ramai yang mahu melakukan muhasabah diri pada hari ini.

Aspek kemanusiaan kini berada pada kedudukan yang agak aneh. Walaupun manusia dari seluruh pelosok bumi berteriak untuk melindungi alam sekitar namun adalah mustahil untuk mencapainya jika permasalahan di peringkat akar umbi tidak ditangani.

Kita telah berhadapan dengan banyak kejadian banjir kilat dan tanah runtuh namun bencana tersebut seolah-olah tidak memberikan sebarang pengajaran.

Sebagai pemegang amanah sumber dan kepelbagaian geologi-biologi bumi, kita perlu berusaha untuk menggunakan sumber semula jadi dengan cara yang mampu memastikan kelangsu­ngan hidup. Sebagai pemegang amanah, adalah perlu untuk kita mengamalkan kesederhanaan dan mengekalkan keseimbangan.

Pemuliharaan alam sekitar yang mampan tidak boleh dilihat sebagai komitmen yang hanya bergantung kepada budi bicara dan dinilai berdasarkan kepentingan ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, kita perlu menilai semula diri kita dan kepercayaan kita. Pemuliharaan alam sekitar yang mampan harus menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh setiap orang. Kita mesti melihat ia sebagai sebahagian asas perkembangan rohani serta kelangsungan hidup kita.

Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk melindungi kepelbagaian biologi di planet ini. Bagaimanapun, jika kita hanya meletakkan nilai ekonomi ke atas kepelbagaian biologi, maka kita tidak akan menghargainya

Kita memerlukan segala kemahiran dan pengetahuan bagi memenuhi cabaran untuk meninggalkan bumi dalam keadaan yang selamat dan indah untuk generasi akan datang.

Berlakunya pelbagai tragedi alam sekitar di negara kita seperti di Cameron Highlands membuktikan bahawa jika kita tidak berdamai dengan alam sekitar, kemusnahan akan menjadi lebih besar pada masa akan datang.

Oleh kerana keprihatinan terhadap alam sekitar dalam sektor perniagaan semakin diberi tumpuan di seluruh dunia, pengauditan alam sekitar harus menjadi bahagian penting dalam pengurusan korporat.

Dengan adanya ‘budaya korporat hijau’, terdapat keperluan bagi perniagaan untuk mengambil berat isu-isu alam sekitar. Syarikat swasta perlu  sedar mereka akan mendapat lebih banyak pulangan dengan memelihara alam sekitar.

Masalah berkaitan penerokaan tanah secara haram, penebangan hutan dan lambakan sisa industri berbahaya oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab sering didedahkan pihak media.

Jika  isu-isu ini tidak ditangani, mereka bukan sahaja perlu berhadapan tindakan undang-undang tetapi akhirnya akan tewas di peringkat global kerana pelbagai halangan perdagangan.

Seperti yang dapat diperhatikan pada masa ini, terdapat trend dalam kalangan syarikat terutamanya di peringkat antarabangsa untuk berkongsi maklumat me­ngenai dasar, objektif dan program alam sekitar kepada orang ramai.

Oleh itu syarikat Malaysia perlu memperbaiki sistem perakaunan alam sekitar mereka berdasarkan kesedaran bahawa trend ini bakal menjadi amalan korporat di seluruh dunia dan akan mengawal keputusan pelaburan.

Pelaksanaan perakaunan alam sekitar oleh pihak syarikat akan membawa kepada perubahan dalam pemikiran pengurusan a­tasan mengenai isu alam sekitar.

Usaha untuk mengekalkan keuntungan  sesebuah syarikat tidak sepatutnya mengorbankan alam sekitar kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk memaklumkan pihak berkepen­tingan tentang impak perniagaan mereka terhadap alam sekitar.

Syarikat dan pelabur asing perlu mengamalkan pemantauan dan penguatkuasaan kendiri selain memberi tumpuan kepada projek lestari dan teknologi hijau.

Mereka yang melakukan kemusnahan alam sekitar juga perlu bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya.

Kita semua berkongsi rumah yang sama dan kehidupan kita berkait rapat dengan kehidupan semua penghuni lain di bumi.

Sekiranya setiap individu mengingati tanggungjawab sivik mereka dan sentiasa memastikan pencemaran alam sekitar di tahap minimum dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama, maka secara kolektif impaknya akan menjadi hebat.

Sejarah memberikan pengajaran penting bagi manusia bahawa sesuatu tamadun boleh dimusnahkan jika ia tidak berdamai dengan alam sekitar. Tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan alam sekitar terhadap sesuatu  tamadun itu.

Bolehkah sesuatu dilakukan un­tuk menyelesaikan masalah degradasi alam sekitar? Bolehkah kita mempunyai paradigma pembangunan baru yang mampu berdamai dengan bumi kita?

Sebagai pemimpin politik, sebagai pemimpin masyarakat dan sebagai rakyat kita boleh dan kita mesti melakukannya!

Tidak ada gunanya kita melaungkan kepentingan untuk melakukan perubahan jika kita sendiri enggan berubah demi menjaga kelestarian alam semula jadi.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.