Antaranya, keadaan anak-anak yatim dan asnaf di bawah na­ungan rumah kebajikan tertentu ‘sampai tidak cukup makan’ atau kemudahan dalam premis yang begitu daif.

Bagaimanapun Kelab Sahabat YM Tengku Mohamed tidak begitu pergerakannya.

Pertubuhan amal ini lebih ter­arah menjalin kerjasama atau bersekutu dengan syarikat-sya­rikat yang pelbagai orientasi cabangnya termasuk korporat. Dan hasil perniagaan dengan syarikat-syarikat terbabit, dana­nya dimanfaatkan pula oleh kelab untuk melaksana atau menaja program-program kebajikan.

“Bukannya kami bermaksud cara atau pendekatan pertubuhan-pertubuhan amal atau ru­mah kebajikan sedia ada ini salah, cuma kelab kami ini tidak berpegang kepada prinsip sebegitu,” kata Timbalan Presiden Kelab YM Tengku Mohamed, Datin Seri Kasmah Abdul Latif kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ditemui di ibu pejabat kelab itu di No. 17-4, Jalan 10/23A, Medan Makmur off Jalan Usahawan, Setapak di ibu negara, Kasmah, 47, memberitahu, Kelab Sahabat YM Tengku Mohamed ditubuhkan pada 7 Ogos tahun lalu oleh Tengku Mohamed yang merupakan anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong keenam, Almarhum Sultan Yahya Petra Sultan Ibrahim.

“Tengku menceritakan Almar­hum memang berhajat mahu me­nubuhkan sebuah yayasan un­tuk menjalankan program keba­jikan. Cuma waktu itu belum diizinkan, sehinggalah tahun lalu hasrat itu dicetuskan dan terlaksana,” kata beliau lagi.

Menurutnya, Kelab YM Tengku Mohamed ketika ini menjalankan satu program usaha sama de­ngan Rumah Bakti Darussalam di Taman Gombak, Batu Caves yang turut dijadikan anak angkat kelab.

“Terdapat sejumlah 250 anak yatim dan asnaf bernaung di bawah kelab. Di rumah bakti ini, keluarga yang kurang bernasib baik diberi keperluan asas berupa dana dan beras. Kami juga membekalkan anak-anak yatim ini dengan ilmu pengajian al-Quran secara percuma.

“Insya-Allah pada November nanti, kelab akan memiliki dua unit rumah di Taman Gombak untuk dijadikan penempatan as­rama anak-anak lelaki dan pe­rempuan.

Tengku Mohamed selaku pe­naung kelab, kata Kasmah, aktif menganjurkan program-program kebajikan dengan perancangan akan datang menganjurkan majlis makan malam dengan Menteri Besar Selangor. Dan hasil daripada dana akan digunakan untuk menggerakkan pusat kebajikan tersebut.

Ditanya bentuk kerjasama de­ngan sesebuah syarikat, kata Kasmah:

“Jalinan ini dibuat dengan syarikat tempatan dan luar negara. Secara khusus, kami ada banyak cabang untuk bergerak sebagai pusat kebajikan dan kelab lebih bertindak sebagai pemudah cara, Sebagai contoh, ada satu syarikat A ini hendak buka kedai dobi layan diri di seluruh negara, jadi, di setiap kedai dobi akan dipaparkan logo kelab dan pemiliknya akan mempromosikan logo berkenaan.

“Kedai-kedai dobi ini kelak akan perlukan rangkaian kelab, maka impaknya nanti sebahagian hasil pendapatan kedai dobi berkenaan akan disalurkan kepada kelab untuk menaja program-program kebajikan.

“Itu salah satu contoh, ada banyak lagi. Akan datang Insya-Allah, kami juga akan terlibat dengan projek-projek pembinaan, tender dan selepas itu kontraktor-kontraktor atas faktor komitmen, akan menyumbang kepada kelab,” katanya.

Mengenai perkembangan kehidupan anak-anak yatim di bawah kendalian kelab itu, kata Kasmah, ketenangan jelas terlihat pada wajah mereka.

“Semasa majlis perasmian kelab tahun lalu, kami bawa anak-anak yatim meramaikan majlis, Alhamdulillah, mereka seronok, apatah lagi dapat makan bersama dengan kerabat diraja.

“Sasaran kelab ini bukan sekadar nak bantu mereka setakat tingkatan lima atau sampai masuk universiti, bahkan kami akan pantau perkemba­ngan mereka untuk jangka masa panjang sehingga bergelar gra­duan.

“Kemungkinan juga kami akan menyediakan peluang pekerjaan buat mereka, antaranya program-program berbentuk kemahiran seperti membaiki pendingin hawa dan pendawaian,” kata beliau.

Kata Kasmah, Kelab Sahabat YM Tengku Mohamed semakin dikenali. Program terakhir melibatkan kerjasama kelab adalah dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu persembahan Don’t Waste Food The Concert 2018 di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa di ibu negara, 22 Julai lalu.

Penganjuran konsert anjuran Z.A.P. Productions itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pembaziran makanan yang sering berlaku dalam kehidupan harian.

“Banyak pihak menawarkan program bersama kami. Cuma, kami akan masukkan dalam senarai dan putuskan mana yang akan dipilih,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, Kelab Sahabat YM Tengku Mohamed boleh dihubungi di talian hotline 03-4144 4414 atau menghubungi Setiausaha Agung kelab, Mohd. Pitry Bahrim di talian 019-309 7360.