Ia diadakan dalam suasana gilang-gemilang dan melibatkan pelbagai istiadat termasuk merisik, meminang, meletak kerja, berinai, menerima hantaran, bersanding dan merenjis serta bersiram.

Kemuncaknya ialah istiadat persandingan yang berlangsung serentak dengan majlis santapan malam di mana kedua-dua mempelai diraja akan bersanding di atas peterana (pelamin persandingan).

Sultan-sultan dan permaisuri- permaisuri negeri-negeri akan turut merenjis dan menepung tawar kedua pasangan mempelai diraja itu.

Bagaimanapun, masih ramai termasuk rakyat negeri Kedah sendiri yang tidak mengetahui tentang adat istiadat perkahwinan diraja itu yang menjadi salah satu warisan yang perlu dipelihara untuk tatapan generasi muda.

Oleh itu, bagi mereka yang mahu mendalami adat istiadat perkahwinan diraja Kedah itu, Seri Panglima Sdn.Bhd. (SPSB) akan menganjurkan Karnival Kahwin-Kahwin Kedah (4K) pada 6 hingga 8 April ini bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, Alor Setar.

Pada karnival itu, satu replika persandingan diraja akan dibina dengan kerjasama Muzim Negeri Kedah dan foto-foto perkahwinan diraja akan dipamerkan bagi membolehkan rakyat negeri itu melihat sendiri warisan perkahwinan kerabat diraja.

Menurut Pengerusi SPSB, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, tujuan penganjuran karnival itu untuk memperkenalkan dan juga mengenengahkan pengusaha-pengusaha produk perkahwinan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ini juga merupakan satu platform kepada pengusaha yang mengusahakan produk perkahwinan. Selain itu ia akan menjadi satu destinasi perjumpaan dan perniagaan pilihan seisi keluarga khususnya bagi golongan yang akan melangkah ke gerbang perkahwinan.

"Pengunjung sasaran ialah berumur antara 20-an hingga 30-an serta pengunjung tidak mengira umur bagi mendapatkan persiapan perkahwinan mahupun produk serta khidmat professional," kata beliau baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPSB, Wan Ahmad Muazam memberitahu, pihaknya menjangka kira-kira 5,000 orang pengunjung akan menjengah ke karnival itu yang akan dibuka bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Ujarnya, karnival tersebut diharap bukan sahaja memperkenalkan produk-produk perkahwinan, malah ia merupakan satu platform kepada para pengunjung sebagai pusat sehenti bagi persiapan perkahwinan.

Pada karnival yang bertemakan Termeterailah Cinta Abadi itu, Wan Ahmad Muazzam berkata, pihak SPSB bukan sahaja mensasarkan para pengusaha produk perkahwinan, malah ia juga sesuai kepada lain-lain produk yang berkaitan dengannya.

"Karnival ini bukan sahaja mensasarkan para pengusaha produk perkahwinan, malah ia juga sesuai kepada produk lain yang berkaitan dengannya.

"Contohnya butik fesyen, kesihatan dan kecantikan, kek, katering, gubahan bunga, produk-produk hotel yang menyediakan pakej percutian dan juga berbulan madu, perumahan, produk perbankan yang boleh menawarkan pinjaman kepada orang ramai, cenderamata, hadiah serta produk-produk yang berkaitan.

"Selain itu, pengusaha produk fotografi dan videografi juga bersesuaian untuk turut serta," katanya.

Tambahnya, bagi memeriahkan lagi acara di karnival itu, pelbagai pertandingan diadakan antaranya pertandingan andaman pengantin, gubahan hantaran dan sirih junjung, gubahan bunga, pertandingan pengiring kanak-kanak (flower girl), pertandingan Karaoke 4k Idol dan juga pertandingan fotografi yang terbuka kepada pengunjung.

Jelasnya, pada pertandingan fotografi bertemakan sehari bersama putera atau a day with the princess itu para peserta hanya perlu mengambil gambar Tunku Puteri Intan Safinaz yang akan hadir merasmikan karnival pada 7 April. Foto yang terbaik akan dipilih sebagai pemenang.

"Selain itu, para pengunjung juga akan dihiburkan oleh artis-artis tempatan dan juga pelbagai hadiah-hadiah untuk cabutan bertuah yang bernilai lebih RM20,000.

"Salah satu aktiviti menarik bagi karnival ini adalah pertandingan Karaoke 4K Idol akan bermula pada 24 dan 25 Mac lalu bertempat di Star Parade, Alor Setar.

"Mereka yang terpilih akan meneruskan pertandingan ke peringkat akhir pada hari karnival bermula," jelasnya.

Wan Ahmad Muazzam berkata, karnival yang julung kali diadakan itu juga merupakan kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Sehingga kini sebanyak 49 ruang pameran telah diisi dan masih ada beberapa ruang yang masih kosong.

"Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan gerai anda boleh berhubung terus ke Seri Panglima Sdn. Bhd. di talian 04-772 3838 / 3939 dan anda juga boleh melayari laman sesawang rasmi penganjur www.seripanglima.com.my dan Facebook Karnival Kahwin-Kahwin Kedah," katanya.