Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dipahatkan dalam sejarah Malaysia bukan saja kerana peralihan kuasa yang berlaku buat pertama kali tetapi juga kerana keunikan proses pemilihan ahli-ahli politik sebagai pucuk pimpinan negara. Di beberapa tempat, kita boleh lihat bagaimana Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih adalah berbeza parti gabungan dengan Ahli Parlimen yang diundi.

Contohnya di Kedah, di bawah kerusi Parlimen P012 Jerai, terdapat tiga kerusi DUN dan setiap satu diisi dengan calon daripada parti-parti gabungan yang berbeza. Walaupun kerusi Parlimen P012 dimenangi calon daripada Gagasan Sejahtera (GS), namun hanya kerusi DUN N20 Sungai Limau saja yang turut diwakili daripada GS. Selebihnya kerusi DUN N21 Guar Chempedak telah dimenangi wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan DUN N22 Gurun telah mengangkat calon daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai ahli DUN.

Ini menunjukkan kematangan pengundi di ketiga-tiga DUN yang tidak memilih calon-calon semata-mata berdasarkan keinginan melihat parti gabungan sebagai pemegang tampuk pimpinan negara di Parlimen. Sebalik­nya, kebanyakan mereka telah memilih calon berdasarkan keupayaan calon-calon itu.

Dalam hari-hari menuju PRU14, penulis dihujani dengan soalan yang sama daripada kawan dan keluarga: bagaimana harus kita memilih calon untuk diletakkan amanah dalam bentuk kertas undian ma­sing-masing?

Persoalan ini menunjukkan bahawa sudah se­makin ramai rakyat Ma­laysia yang beralih daripada trend memilih wakil rakyat hanya berdasarkan parti gabungan yang mereka wakili. Ini turut dibuktikan apabila P. Prabakaran yang bertanding sebagai wakil Bebas berjaya merebut kerusi Parlimen P115 Batu dengan memperoleh majoriti 24,438 undi dan diangkat sebagai Ahli Parlimen termuda di Malaysia.

Dalam pada kita menyuarakan keterujaan kita melihat kelangsungan proses demokrasi matang ini, penulis melihat kerisauan yang timbul daripada segi ketirisan kepimpinan. Tidak dapat dinafikan, biarpun semakin ramai yang sudah bijak memilih berdasarkan keperibadian calon-calon yang bertanding, tetapi masih wujud feno­mena yang mana pemilih mengundi berdasarkan bendera parti yang diwakili calon.

Untuk itu, kita masih melihat beberapa orang Ahli Parlimen yang dipilih semula mewakili suara rakyat di Parlimen sedangkan umum tahu mereka tidak mempunyai rekod prestasi kepimpinan yang baik. Mereka kini menggalas tugas yang lebih berat sebagai pemerhati bagi mengimbangi proses demokrasi dalam Parlimen.

Ini merisaukan lebih-lebih lagi melihatkan bagaimana ramai juga wakil rakyat yang muda berjaya menakluki kerusi Parlimen selepas bertanding buat pertama kali. Kendatipun suara muda semakin luas diangkat, namun kebolehan mereka untuk menjaga kebajikan rakyat yang mereka wakili masih belum diuji. Lebih membimbangkan apabila ramai ahli politik yang berwibawa, bijaksana dalam mengimbangi karier politik dan amanah berbakti kepada rakyat tidak pula diangkat untuk sama-sama berjasa dalam Parlimen.

Karier politik mereka terbantut dalam PRU-14 sedangkan mereka mempunyai rekod prestasi yang sangat baik dalam PRU-13. Mereka ialah ahli politik yang fokus mencurah bakti kepada rakyat tanpa perlu memainkan politik kotor dalam bertanding. Namun, sebaik mana pun prestasi mereka, mereka kecundang. Sedangkan ahli-ahli politik yang tersohor dengan kelakuan tidak beradab dalam Parlimen dalam penggal-penggal sebelum ini masih diangkat sebagai wakil rakyat.

Jika kita, sebagai masyarakat negara yang matang, masih memilih calon hanya berdasarkan warna bendera yang mereka wakili, kita tidak akan mencapai matlamat melihat perkembangan negara yang sihat. Sebaliknya, kita tetap akan disajikan dengan politik kotor yang menjelikkan dalam Parlimen. Jika kita terus memilih berdasarkan mainan politik, walaupun gah sejarah yang tercipta tetapi kita masih akan mengalami ketirisan ke­pimpinan.

Penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil rakyat penggal terdahulu yang sudah menjalankan amanat sebaik mungkin dan berharap ahli-ahli Parlimen penggal ini akan menunaikan janji manis yang ditabur sepanjang tempoh berkempen, di samping menjauhkan kebimbangan yang telah disuarakan ramai.

PENULIS ialah pengamal undang-undang.