Lee Kuan Yew iaitu nama yang sinonim dengan Singapura dianggap sebagai Perdana Menteri yang sukar dicari ganti. Pada awal 80an ketika timbul desas-desus bahawa pengganti beliau sedang dicari, ramai yang sukar mempercayai bahawa perkara ini akan berlaku.

Apabila diumumkan secara rasmi pada 1985 bahawa Goh Chok Tong akan mengambil alih kepimpinan dari Kuan Yew, ramai juga yang masih sangsi kerana ketika itu anaknya iaitu Lee Hsien Loong dikatakan mempunyai sokongan untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Perancangan Kuan Yew mengambil masa 10 tahun untuk berjaya dilaksanakan walaupun pelbagai rintangan dan tohmahan dihadapi kerana akhirnya pada 1990 Chok Tong dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura kedua selepas melalui PRU 1988 di mana PAP memenangi 80 dari 81 kerusi yang dipertandingkan.

Ramai yang menjangka Chok Tong tidak kekal lama dalam jawatan tersebut kerana ada andaian Hsien Loong akan ambil alih secepat mungkin. Tetapi Chok Tong kekal sebagai Perdana Menteri selama 14 tahun sehingga Hsien Loong ambil alih pada 2004 dan sekali lagi ketertiban peralihan kuasa berjalan dengan perancangan yang agak teliti dan tersusun.

Terkini, rakyat Singapura bakal menyaksikan peralihan kuasa besar kemungkinan selepas PRU yang mesti diadakan selewat-lewatnya April 2021. Hsien Loong, 67 tahun sudah berkali-kali menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan pada umur 70 tahun dan memberi peluang kepada barisan kepimpinan generasi keempat yang dikenali sebagai kumpulan pemimpin 4G.

Keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP yang berlangsung minggu lepas adalah petunjuk awal jangkaan siapakah pengganti Hsien Loong. Beberapa hari selepas itu CEC membuat keputusan untuk melantik Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP. Sudah begitu jelas Swee Keat telah direncanakan oleh CEC PAP bakal pengganti Hsien Loong sebagai Setiausaha Agung parti dan seterusnya sebagai Perdana Menteri.

Sebenarnya peralihan kuasa telah lama dirancang Hsien Loong iaitu sebaik sahaja tamat PRU 2015 dengan PAP memperoleh undi majoriti 69.9 peratus iaitu keputusan jauh lebih baik berbanding PRU 2011 yang pada ketika itu PAP meraih 60.1 peratus undi majoriti. Walaupun keputusan tersebut memihak kepada Hsien Loong tetapi beliau berpendapat ketika itu adalah paling sesuai untuk membentuk kepimpinan baharu demi membawa Singapura ke arah yang lebih cemerlang.

“Saya mempunyai tanggung-jawab untuk membentuk kumpulan pelapis sebagai persediaan mengambil alih pucuk pimpinan berkemungkinan selepas PRU akan datang” tegas Hsien Loong dua minggu selepas memperoleh mandat yang lebih besar dari rakyat Singapura pada 2015.

Menjadi tradisi PAP bermula dari Kuan Yew dan diikuti Chok Tong dan sekarang Hsien Loong untuk membuat persediaan awal sebelum menyerah kuasa kepada kepimpinan baharu yang lazimnya berusia lebih muda berbanding pemimpin terdahulu. Bermula dengan Kuan Yew yang dianggap barisan pemimpin generasi pertama sehinggalah kepada barisan pemimpin yang bakal menggantikan era Hsien Loong adalah terdiri daripada generasi keempat.

Sebagai memenuhi kelaziman peralihan kuasa PAP, Swee Keat yang berumur 57 tahun juga dijangka diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang. Rakyat Singapura telah menyaksikan dua kali peralihan kuasa secara terancang dan apabila mereka menghadapi PRU tidak lama lagi, pengundi akan ketahui lebih awal jika PAP kembali berkuasa, siapakah yang bakal menjawat jawatan Perdana Menteri.

Mungkin ada yang menilai politik Singapura sebagai membosankan dan sesuatu yang dijangkakan tanpa kejutan, tetapi hakikatnya kaedah sebegini telah menjamin PAP berkuasa buat sekian lama kerana rakyat Singapura sudah pasti tidak akan mencuba sesuatu yang belum teruji.