Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ketepikan perbezaan fahaman politik

SOLAT Jumaat di masjid menunjukkan umat Islam bersatu dalam menunaikan
SOLAT Jumaat di masjid menunjukkan umat Islam bersatu dalam menunaikan ibadah itu dan semangat perpaduan berkenaan seharusnya turut melibatkan ahli politik Muslim daripada parti berbeza. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

POLITIK adalah salah satu cara membentuk sebuah kerajaan bagi mengendalikan urusan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Umat Islam tidak boleh mengabaikan urusan berkaitan politik sebagai satu aktivi­ti yang penting dalam menentukan kekuatan dan kelemahan negara dan masyarakat Islam. Allah mewajibkan umat Islam supaya membentuk kerajaan, memerintah dan mentadbir masyarakat berasaskan keadilan dan kesaksamaan.

Keadilan dan kesaksamaan tidak mungkin dapat diwujudkan tanpa berasaskan prinsip yang digariskan oleh Allah dan Rasulullah SAW. Tiga prinsip sistem politik Islam yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. Pertama, Tauhid (Tuhan Yang Maha Esa) yang mana Allah SWT adalah Pencipta dan Pemilik semesta alam yang memiliki kuasa yang mutlak. Oleh itu, setiap pemerintah dan pemimpin perlu memahami bahawa mereka ialah wakil kepada rakyat untuk memerintah dan memimpin negara bukan memiliki status setaraf dengan Allah.

Kedua, mempercayai bahawa Rasulullah SAW adalah utusan Allah yang menerima wahyu dan perundangan daripada Allah (Syariah) untuk umat manusia. Baginda juga adalah model kepada umat Islam dalam mengendalikan urusan kehidupan seharian dan juga aspek berkaitan pemerintahan dan pentadbiran negara dan masyarakat. Oleh itu, setiap pemerintah dan pemimpin perlu mengikuti corak pemerintahan dan kepimpinan Rasulullah SAW.

Ketiga ialah prinsip sebagai khalifah Allah di muka bumi yang mana setiap individu yang dilantik mengendalikan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan perlu me­numpukan perhatian kepada kegiatan kemasyarakatan dan negara, terutama berkaitan perkhidmatan awam seperti pembinaan sekolah, hospital, masjid, jalan raya, penyediaan sumber air dan elektrik, membina rangkaian industri, pertanian, sains dan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat.

Kerajaan juga perlu memper­kukuhkan institusi tentera, polis dan seumpamanya bagi menjamin keselamatan dan keharmonian kehidupan rakyat. Institusi kehakiman atau mahkamah perlu berdasarkan kepada konsep keadilan universal tanpa mengira latar belakang dan status individu supaya rakyat merasai bahwa mereka mempunyai institusi yang boleh membela diri dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan.

Seperti mana firman Allah SWT dalam Surah 4 (al-Nisa’): 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia maka hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada mu.”

Setiap individu Islam mempunyai peranan masing-masing dalam melaksanakan amanah Allah di muka bumi ini. Individu yang tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan politik sepatutnya menumpukan perhatian kepada kegiatan yang boleh memperkukuhkan kekuatan Islam sepertimana berganding bahu menentang kemungkaran dan melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan seumpamanya secara sukarela.

Perbezaan parti politik tidak sepatutnya mempengaruhi umat Islam supaya bermusuhan sesama sendiri sehingga memusnahkan konsep ukhuwah atau persaudaraan sesama Islam. Setiap ahli parti politik yang diterajui oleh umat Islam patut berusaha untuk menjadikan syariah Islam sebagai perundangan negara mengikut strategi masing-masing.

Solat berjemaah di masjid terutamanya pada hari Jumaat menunjukkan bahawa umat Islam bersatu dalam menunaikan ibadah. Jika kesatuan ini dijadikan sebagai konsep ukhuwah Islam maka perselisihan dan pertelingkahan dalam arena politik tidak sampai ke tahap permusuhan yang boleh menggugat kekuatan umat Islam.

Kekuatan parti politik sering dikaitkan dengan kecemerlang­an para pemimpin dan pentadbir dalam mengendalikan urusan rakyat dan negara. Jika konsep ini dijadikan prinsip kepada sistem pemerintahan maka parti politik yang menerajui kerajaan akan stabil dan kukuh. Sesebuah kerajaan akan menjadi lebih berkualiti jika sistem pentadbiran dan pemerintahan dipantau oleh rakyat secara terbuka dan rasional. Bersuara menegakkan kebenaran tidak sepatutnya dianggap sebagai suatu tindakan yang boleh menggugat kerajaan.

Umat Islam sepatutnya bersatu hati dan bekerjasama dalam urusan kenegaraan, bukan membangkitkan semangat permusuhan sesama sendiri lantaran politik. Apabila parti politik dijadikan sebagai akidah Islam maka ketika ini umat Islam hilang pertimbangan akal apabila bertarung untuk me­rebut kuasa. Hati dan jiwa mereka hilang perasaan kasih sayang sesama umat Islam. Perasaan kasih sa­yang ini hanya diperoleh melalui ke­imanan dan ketakwaan secara mendalam terhadap Ilahi.

Persoalannya, sejauh manakah umat Islam menghayati seruan Ilahi dalam mengendalikan urusan kehidupan mereka. Realiti masa kini adalah umat Islam dalam ambang kemusnahan lantaran perebutan kuasa dan kedudukan. Permusuhan begini boleh melemahkan umat dan struktur kemasyarakatan Islam kerana perasaan kasih sayang sesama umat semakin hari kian terhakis. Oleh itu, perkukuhkan ukhuwah Islam dan bersatu hati dalam menegakkan kebenaran dan keadilan serta memperbaiki kelemahan di antara satu sama lain. Ini adalah kunci kekuatan Islam.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain