Sikap utopia atau angan-angan kosong dalam membina impian hari depan harus diketepikan. Reflektif terhadap apa yang berlaku, futuristik membina kesinambu­ngan adalah asas penting untuk membuat keputusan bijaksana.

Bebaskan diri dengan rasa taksub yang mendalam atau sifat benci dan dendam kesumat yang melampau. Islam menuntut keadilan yang mana yang baik katakan baik dan yang tidak baik disantuni dengan jiwa besar dai’.

Harus ada kesabaran yang tinggi dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Al-Quran memberikan kita pedoman watawa saubil haqq, watawa saubis sabr - kebenaran perlu ditegakkan dengan sabar. Upaya menyerap kesabaran tidak banyak ada dalam kalangan warga umat.

Lalu jalan mudah yang terjadi ialah melihat usaha orang lain dengan prasangka tinggi, persepsi salah dan tidak berlakunya interaksi supaya salah faham dapat dileraikan dengan rasa persaudaraan yang baik.

Tidak timbul melabelkan negara ini sebagai negara sekular. Malaysia ialah negara Islam. Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan. Peruntukan negara diberikan kepada pentadbiran Islam di negara ini melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), peruntukan membangunkan rumah ibadah, peruntukan mengurus pendidikan dan lain-lain lagi.

Umat Islam di Malaysia bernasib baik kerana peruntukan daripada kerajaan untuk membantu mereka tetap terjadi. Rakyat umum­nya menikmati keselesaan hidup walaupun mereka yang susah tetap ada dan terus dibantu.

Kebajikan rakyat diambil kira dalam menentukan setiap orang berhak mendapat perhatian dan pembelaan dan dalam masa yang sama umat Islam di Malaysia menjadikan budaya membantu dan menderma terhadap orang-orang yang susah dalam dan luar negara berlaku.

Jejak rekod ini adalah pen­ting bagi mengukur kejayaan sesebuah kerajaan. Rasa puas hati sepenuhnya terhadap dasar-dasar yang kekecualian. Kalau terdapat kepincangan ia boleh disuarakan secara terbuka. Memenuhi kehendak setiap orang tidaklah mudah. Memenuhi kehendak majoriti, ia terjadi.

Anak-anak cerdik mempunyai peluang untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi. Yang terlibat dengan bisnes peluang pinjaman dan bantuan sentiasa ada bagi yang rajin berusaha. Malaysia menjadi ‘syurga’ pendatang asing untuk bekerja di pelbagai sektor menandakan kemakmuran sedang berlaku.

Bagi yang ingin maju, Malaysia adalah tempatnya. Bagi yang ingin berjaya dalam bisnes terutama dalam skala kecil dan sederhana peluang dan tawaran amat banyak. Pelajar universiti yang ingin menceburi bidang keusahawanan, sumber modal disediakan. Para belia juga yang memajukan bakat dan minat dalam bidang urusniaga peluang adalah banyak.

Bagi mereka yang rajin berusaha dan mempunyai disiplin tinggi dalam melakukan sesuatu tidak ada sebab pengangguran terjadi melainkan pencari kerja memilih kerja. Lihat kejayaan pendatang asing yang merasakan Malaysia tempat mencari rezeki ada kerajinan dalam kalangan mereka _be­kerja dan berbilion wang negara dihantar keluar.

Jejak rekod ini adalah sesuatu yang cemerlang bagi Malaysia, apa lagi dalam konteks negara-negara Islam. Malaysia menjadi negara Islam moden yang ba­nyak dicontohi negara lain. Tidak timbul membawa perjuangan ala Arab Spring di Malaysia kerana Malaysia adalah negara aman dan stabil. Jejak rekod ini harus dikekalkan dan dipertingkatkan supaya Malaysia terus maju dan makmur.

Inilah yang harus disyukuri dan rasa terima kasih harus menjadi sempadan bahawa sebagai warga merdeka hasil sumbangan setiap pihak isu kebuluran di Malaysia tidak berbangkit, isu pe­ngangguran tidaklah dalam kadar besar, pertumbuhan ekonomi te­rus terjadi, Keluaran Negara Kasar terus meningkat dan Malaysia sedang menuju suatu proses transformasi dalam segala bidang de­ngan warga berpendapatan tinggi dan berada di landasan yang ­betul ke arah negara maju.

Penulis bersetuju bahawa kemajuan Malaysia tidak hanya diukur kepada tahap per kapitanya semata-mata tetapi harus diukur kepada kualiti diri dan kualiti hidupnya yang berasaskan akhlak karimah supaya nilai-nilai murni menjadi sandaran adab dan disiplin.

Oleh itu track record yang ada harus menjadi pedoman untuk kita membuat pilihan supaya bukti ia sentiasa menjawab apa yang kita mahu dan peluang yang sering ditawarkan. Sekadar suatu perubahan tidak memberikan makna sebenar apa yang kita impikan. Reflektif terhadap pencapaian lalu dan futuristik terhadap hari depan yang baik adalah formula terbaik bagi membuat pilihan yang betul .

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).