Agak mendukacitakan juga apabila status kehadiran Timbalan Perdana Menteri menjadi tajuk perbincangan sedangkan kandung­an perbincangan terutama sekali saranan Malaysia mengenai beberapa isu global tidak melalui proses perbincangan dan analisis yang mendalam dalam kalangan rakyat negara ini. Ini kerana wujud kumpulan yang lebih berminat berhujah dan memberi dalil me­ngapa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir di UNGA kali ini kerana melalui strategi ini dapat memenuhi agenda politik mereka.

Perkara seumpama ini pernah melanda negara pada 2010 apabila Rang Undang-Undang Perdagang­an Strategik 2010 diperkenalkan di Parlimen untuk dibahaskan oleh ahli Parlimen yang pada ketika itu menyaksikan kemunculan ramai muka baharu selepas berlangsungnya pilihan raya umum 2008.

Rang undang-undang itu diper­kenalkan untuk mencegah Malaysia daripada dijadikan negara transit penularan senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Walaupun diluluskan oleh Dewan Rakyat, tetapi intipati perbahasan agak mengecewakan. Hujah ba­nyak berkisar kepada dalil bahawa rang undang-undang itu diper­kenalkan ekoran tekanan AS dengan alasan bahawa Najib akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Barack Obama. Rang undang-undang dikatakan bukti bahawa Malaysia mengikut telunjuk AS.

Seperti mana hala tuju perbahasan Rang Undang-undang Perda­gangan Strategik telah menga­buri peranan Malaysia dalam menyekat penularan WMD, begitu jua keha­diran Ahmad Zahid terutama pada mesyuarat peringkat tinggi menge­nai isu menangani pemindahan besar-besaran pelarian dan migran dalam hal berkaitan saranan Malaysia tidak berapa diambil kisah oleh rakyat negara ini.

Apabila Ahmad Zahid merujuk kepada komitmen Malaysia dalam menerima 3000 pelarian Syria se­perti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri dalam UNGA tahun lepas, kenyataan demikian dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, menjurus kepada peringatan terhadap tanggungjawab negara lain terutama yang mampu menampung kehadiran pelarian.

“Saya mahu berkongsi pada persidangan yang mulia ini bahawa kami telah menerima 79 migran Syria dalam dua kumpulan setakat Mei 2016, dan kami bersedia untuk menerima 412 migran Syria lagi menjelang akhir tahun,” tegasnya dalam keadaan kebanyakan negara Eropah yang berkemampuan berbalah sesama sendiri dalam hal pelarian Syria. Malah salah satu sebab utama mengapa rakyat Bri­tain membuat keputusan untuk ke­luar dari Kesatuan Eropah (EU) juga berkait rapat dengan kebanjiran pelarian Syria di rantau tersebut.

Ucapan beliau menjadi lebih menarik apabila mengatakan bahawa Malaysia walaupun bukan negara ahli dalam Konvensyen Pela­rian 1951 dan Protokol 1967, tetapi tetap memberi layanan sewajarnya kepada semua pelarian yang berada di Malaysia.

Walaupun dalam keadaan kehadiran pelarian dengan jumlah yang begitu besar ini telah mencetuskan masalah terhadap ekonomi, sosial, politik dan keselamatan negara, Malaysia selama ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Malaysia juga tidak hanya omong kosong kerana pada 1970an negara ini berhadapan dengan puluhan ribu pelarian dari Vietnam yang akhirnya berjaya ditempatkan di negara ketiga. Pada ketika ini Malaysia menjadi tempat tinggal lebih 150,000 orang yang dikate­gorikan sebagai yang memerlukan perlindungan seperti pelarian dan kumpulan yang mencari suaka politik.

Sebab itu juga apabila Malaysia menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pela­rian (UNHCR) dan negara-negara di bawah Konvensyen Pe­­larian 1951 dan protokol yang berkaitan supaya memberikan perhatian yang lebih serius dan mengambil tindakan segera terhadap masalah pelarian, saranan tersebut sebenarnya dianggap se­­bagai berani dan kena pada masanya.

Hal ini kerana negara ini sering dituduh mengabaikan tanggungjawab terhadap pelarian dan kadang kala menerima ugutan supaya Kuala Lumpur menyertai Konvensyen Pelarian 1951.

Ironisnya layanan Malaysia terhadap pelarian adalah jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan negara lain yang lazim mendabik dada seolah-olah mereka adalah juara dalam hal mempertahankan hak asasi pelarian.

Malah negara ahli konvensyen tersebut sendiri tidak pernah memberi jaminan bahawa isu pelarian akan ditangani dengan penuh peri kemanusiaan. Ada andaian bahawa kewujudan konvensyen tersebut sebenarnya telah memberi ruang kepada sesetengah negara ahli untuk membentuk perundangan tempatan yang lebih ketat bagi menyukarkan lagi proses penempatan pelarian.

Jika hendak dibandingkan de­ngan Malaysia, Korea Selatan dan Jepun umpamanya mempunyai perundangan mengenai pelarian yang agak ketat yang mengakibatkan jumlah pelarian yang diambil oleh kedua-dua negara ini jauh lebih rendah jika hendak dikaitkan dengan kemampuan sebenar mereka.

Sebab itu agak mengecewakan saranan Malaysia mengenai pela­rian di pentas antarabangsa yang dianggap radikal dan berani tidak mendapat perhatian dan perbincangan sewajarnya oleh rakyat sendiri kerana wujud kumpulan tertentu yang mempolitikkan isu kehadiran Ahmad Zahid di UNGA.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).