Namun, perlu diingatkan bahawa hari graduasi bukanlah penghujung perjalanan, sebaliknya adalah langkah pertama graduan untuk berhadapan dengan realiti kehidupan dan alam pekerjaan. Tatkala masih muda dan mentah, ditambah pula dengan keperluan ekonomi masa kini, graduan tidak seharusnya terlalu memilih pekerjaan pertama mereka.

Namun, ini tidak bermakna bahawa graduan perlu membenarkan diri mereka ditindas. Para graduan masih memiliki hak yang telah jelas diperuntukkan di bawah undang-undang. Justeru, adalah penting untuk masyarakat kini khususnya graduan mengetahui hak-hak sebagai seorang pekerja.

Secara umumnya, hak seorang pekerja yang gajinya di bawah RM2,000 berserta pekerja manual tanpa had gaji adalah terkandung dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265) manakala bagi mereka yang bergaji lebih daripada itu, hak mereka tertakluk di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177).

Salah satu hak yang pen­ting milik seorang pekerja adalah berkenaan dengan waktu be­kerja. Menurut Seksyen 60A Akta 265, seseorang itu tidak boleh bekerja melebihi lima jam berterusan tanpa rehat dan juga tidak melebihi lapan jam sehari atau 48 jam seminggu.

Jika waktu kerja melebihi tempoh tersebut, pekerja berhak untuk menuntut bayaran lebih masa.

Pekerja juga perlu menyedari perihal peruntukan berkaitan bayaran minimum di Malaysia agar mereka tidak ditipu oleh majikan kelak. Menurut Perintah Gaji Minimum 2016 yang diwartakan pada 29 April 2016, bayaran gaji minimum untuk pekerja di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM1,000 dan RM920 bagi pekerja di Sabah dan Sarawak. Sekiranya majikan menawarkan gaji yang lebih rendah daripada ini, pekerja boleh membuat laporan terhadap mereka.

Seorang pekerja itu juga perlu mengenali kepentingan Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Selain membantu pekerja berkenaan hak-hak mereka di sisi undang-undang, pihak JTK adalah satu jabatan yang boleh memberikan nasihat dan kaunseling sekiranya berlaku pertelingkahan di antara pihak pekerja dan majikan.

Selain itu, sekiranya seorang pekerja itu merasakan bahawa pihaknya diberhentikan dengan cara yang salah di sisi undang-undang, dia boleh melaporkan kepada pihak JTK dalam masa 60 hari dari tempoh ditamatkan perkhidmatan.

Pada 2012, pindaan pada Seksyen 69 Akta 265 memberi peluang kepada Pengarah JTK untuk menguruskan kes berkaitan permasalahan pekerja seperti pembayaran gaji dan lain-lain jenis upah dengan syarat gajinya tidak melebihi RM5,000. Bagi kes yang lebih kompleks dan lebih tinggi nilainya, kes akan diuruskan oleh Mahkamah Buruh.

Selain itu, satu lagi perkara yang sering terlepas pandang oleh pihak pekerja adalah berkenaan hak mereka terhadap caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pekerja-pekerja juga berhak untuk menerima caruman KWSP daripada majikan mereka.

Menurut Akta KWSP 1991, majikan perlu membayar kedua-dua caruman KWSP, iaitu yang ditolak dari gaji pekerja berserta caruman dari pihak majikan kepada KWSP selewat-lewatnya 15 hari pada bulan berikutnya.

Sekiranya majikan gagal membayar caruman tersebut pada masa ditetapkan, pihak pekerja boleh membuat aduan kepada KWSP dan tindakan akan diambil ke atas majikan yang ingkar.

Seterusnya, adalah perlu diketahui kegagalan tersebut boleh menyebabkan pihak majikan membayar dividen yang sepatutnya diterima pekerja tersebut berserta bayaran caj lewat bayar di mana-mana kadar kedua-dua bayaran ini berbeza setiap tahun dan nilainya akan diisytiharkan KWSP setiap awal tahun.

Oleh itu, adalah penting sebagai seorang pekerja mengetahui hak mereka sebagai seorang pekerja di sisi undang-undang agar tidak tertindas oleh majikan. Majikan juga perlu menjalankan amanah mereka seperti yang tertakluk di bawah undang-undang. Ini adalah untuk memastikan wujudnya persekitaran pekerjaan yang positif di samping mampu meningkatkan produktiviti syarikat seterusnya membangunkan ekonomi negara.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).