Salah satu faktor penyumbang kepada perkara ini adalah kurangnya ilmu oleh pekerja berkenaan hak-hak mereka dalam dunia pekerjaan sehingga memungkinkan majikan menganiaya hak mereka.

Memilih majikan baik dengan mengkaji latar belakang syarikat adalah satu langkah penting dalam memilih pekerjaan. Namun, satu lagi faktor penting yang sering dipandang enteng oleh masyarakat adalah berkenaan dengan kontrak pekerjaan. Kontrak secara mudahnya boleh didefinisikan sebagai perjanjian antara dua pihak atau lebih dalam melakukan sesuatu perkara.

Satu kontrak mestilah ada tiga elemen penting iaitu terdapatnya tawaran (pekerjaan), penerimaan (persetujuan untuk bekerja) dan balasan (gaji atau yuran). Kontrak adalah elemen yang amat penting dalam sesuatu pekerjaan apatah lagi bagi mereka yang kerja bergaji melebihi RM2,000 kerana mereka tidak tertakluk di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Walaupun kontrak itu mempunyai kepentingan tinggi, ironinya dewasa ini, sudah menjadi satu kelaziman untuk pihak-pihak menandatangani kontrak tanpa membaca dan memahami intipatinya.

Seseorang pekerja perlu ingat bahawa adalah penting untuk membaca terma-terma dan syarat dalam kontrak pekerjaan tersebut kerana ia mempunyai implikasi besar ke atas terma pekerjaan tersebut.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan pemberhentian pekerja serta bon perkhidmatan. Terdapat syarikat yang mengenakan bon perkhidmatan kepada pekerja mereka. Sebagai contoh, majikan ada kalanya menghantar pekerja untuk latihan atau membiayai pengajian mereka sebelum atau ketika dalam tempoh pekerjaan.

Oleh itu, mereka mempunyai hak untuk menuntut semula wang itu melalui tempoh pekerjaan atau pun melalui pampasan jika pekerja berhenti sebelum tamat tempoh kontrak kerana majikan telah melabur wang mereka untuk memastikan pekerja memberi perkhidmatan terbaik.

Selain itu, terdapat juga pihak majikan yang tidak memberikan kontrak bertulis kepada pekerjanya. Dalam keadaan ini, ia sama sekali tidak bermakna bahawa pihak pekerja tidak boleh menguatkuasakan kontrak tersebut.

Di bawah Akta Kontrak 1950 (Akta 136), undang-undang tidak membezakan keesahan kontrak secara lisan, bertulis atau perbuatan. Sebaliknya jenis-jenis kontrak ini mempunyai implikasi dan pelaksanaan yang sama.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa suatu kontrak yang tidak bertulis itu adalah lebih sukar untuk dibuktikan terma-terma serta implikasinya berbanding dengan kontrak bertulis.

Hak lain sebagai seorang pekerja yang sering menjadi perbualan adalah berkenaan pembayaran gaji oleh pihak majikan.

Menurut Seksyen 19 Akta 265, seorang majikan perlu membayar gaji pekerjanya selewat-lewatnya pada hari ketujuh bulan berikutnya. Bagi mereka yang diberhentikan pekerjaan atau tamat kontrak perkhidmatan, Seksyen 20 Akta 265 menggariskan bahawa kesemua gaji mereka perlu dibayar pada hari terakhir perkhidmatan tersebut.

Sekiranya pihak majikan gagal berbuat demikian, majikan tersebut telah menyalahi undang-undang dan pekerja berhak menuntut gaji mereka. Pekerja boleh melaporkan perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja atau sekiranya gaji mereka melebihi RM5,000, mereka boleh menuntut gaji ini di mahkamah.

Natijahnya, seseorang itu perlu lebih berhati-hati dalam menandatangani sebarang perjanjian. Walaupun nampak kecil, kontrak itu sekiranya tidak dibaca dengan baik, boleh membawa padah besar pada seseorang.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice.