Ramai beranggapan, guru juga seperti pekerja lain. Kerja makan gaji. Kalau tidak ada gaji, atau bergaji rendah dan tidak diberikan keistimewaan tertentu oleh kerajaan, mahukah mereka menjadi guru dan mendidik anak kita? Ikhlaskah? Atau sebenarnya buat kerja sambil lewa, sekadar mahu terima gaji cukup bulan.

Jumaat lalu saya menghadiri hari terbuka sebuah sekolah di Shah Alam, untuk mengetahui prestasi anak yang berada di tingkatan lima. Hanya beberapa minggu lagi dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya fikirkan, urusan itu akan mengambil masa sekejap. Mungkin tidak sampai lima minit. Tetapi tidak. Rupa-rupanya, guru kelas, Nuribtisam Ibrahim, mengambil masa agak lama bagi setiap ibu bapa untuk memberi penerangan tentang prestasi anak mereka.

Saya memasang telinga. Setiap orang, dialog guru itu berbeza. Bermakna dia tahu apa kelemahan setiap anak muridnya. Bermakna dia tidak pukul rata guna dialog yang sama kepada ibu bapa tentang anak mereka untuk memudahkan kerjanya dan semua orang boleh pulang awal.

Tiba giliran saya, dia bercakap panjang lebar mengenai apa yang perlu diberi tumpuan untuk menghadapi SPM. Sesekali saya mencubit anak saya di depannya, kerana lemah dalam subjek tertentu. Guru itu merayu pada saya supaya memastikan anak saya buat itu dan ini. Macam-macam pesanan diberikan.

Dan pada Ahad lalu, dia mengadakan kelas tambahan. Ketika orang lain menghabiskan masa bersama keluarga, guru itu membawa anak kecilnya bersama yang masih tidur lena di dalam kelas untuk memastikan kejayaan anak-anak orang lain. Dia melakukannya tanpa meminta bayaran. Tiada siapa pun menyuruhnya berbuat demi­kian. Tersentuh hati saya melihat keikhlasannya.

Sebenarnya, ramai guru yang membuat kelas tuisyen di rumah atau sekolah tanpa meminta bayaran. Semua­ itu dilakukan untuk memastikan anak-anak muridnya lulus dengan cemerlang atau sekurang-kurangnya lulus dan tidak gagal dalam peperiksaan. Itulah yang menjadi kepuasan dalam diri seorang guru.

Rakan saya, seorang guru memberitahu, dia membayar yuran peperiksaan beberapa orang anak muridnya yang miskin. Walaupun dia sendiri mempunyai tanggungan yang ramai, dia tidak sanggup membiarkan anak muridnya tidak mengambil peperiksaan dan begitu juga apabila ada yang tidak ada wang untuk makan. Dia akan beri wang, supaya anak itu tidak kelaparan. Adakalanya juga dia membelikan pakaian dan kasut untuk anak muridnya.

Seorang lagi rakan bercerita, baru-baru ini dia pergi ke sekolah di Subang Jaya untuk berjumpa dengan guru besar kerana kenakalan anaknya. Dia meminta guru besar itu merotan anaknya, di depannya sebagai pengajaran. Mula­nya guru besar berbangsa India itu enggan. Rotan dalam bilik tersebut, katanya, sekadar pameran, tidak pernah digunakan. Tetapi setelah didesak, dia akhirnya akur.

Setelah merotan, guru besar itu terus saja memeluk anak­nya dan berkata: “Cikgu rotan bukan kerana benci, cikgu rotan kerana hendak awak jadi orang baik.” Kawan saya itu terharu melihat guru besar yang melayan anak­nya bagaikan anak sendiri.

Tetapi ada ibu bapa yang pantang mendengar guru memarahi atau menjentik anak. Kalau pukul sedikit, mereka bukan sahaja ugut hendak buat laporan polis malah ke tahap mahu jumpa Pak menteri!

Dulu-dulu, anak cukup takut untuk mengadu kepada ibu bapa bila cikgu memukul mereka. Selalunya kalau mengadu bukannya dapat pembelaan, malah akan dipukul lagi oleh ibu bapa. Sekarang ini, ibu bapa mendengar kata dan dikawal anak-anak. Bila anak tidak pandai, nakal, manja, tidak tahan lasak dan cepat putus asa, salahkan guru pula.

Maka apabila ada yang fikir, guru pun macam pekerja lain, ada wang kerja jalan, tak ada wang jangan cakap pasal kerja, itu tidak menggambarkan naluri seorang guru. Memang bukan semua. Tetapi saya percaya, kebanyakannya ibarat lilin.