Beliau berpengalaman selaku Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Antara isu yang turut beliau ulas ialah nisbah penjawat awam di Malaysia yang disifatkan sebagai munasabah.
Wartawan Mingguan Malaysia, KAMIL MASLIH serta jurugambar, RASHID MAHFOF berkesempatan membuat liputan beberapa soalan 'panas' yang dijawab oleh Zainal dalam sidang interaktif bersama media yang diadakan baru-baru ini. 
Zainal juga turut menjawab mengenai dasar pemisah yang dikenakan terhadap penjawat awam yang tidak menepati standard ditetapkan, tindakan terhadap mereka bermasalah integriti, serta hasrat DAP untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.
Sementara itu, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI serta jurugambar, GAIE UCHEL turut menemu bual Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), DATUK AZIH MUDA bagi menjawab isu-isu yang sedang hangat itu.

MINGGUAN: Boleh Datuk Seri ulas serba sedikit perspektif selepas 100 hari selaku KPPA?

ZAINAL: Sepanjang 100 hari saya di sini merupakan pengalaman cukup baik kerana perspektifnya adalah untuk meneruskan tradisi kecemerlangan perkhidmatan awam yang diwariskan KPPA terdahulu dan saya merupakan KPPA yang ke-22.

Di bawah institusi KPPA, peranan cukup luas meliputi semua aspek bukan sahaja dari dasar dan polisi JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) malah perspektif lebih meluas dalam kaca mata komprehensif untuk kemajuan perkhidmatan awam sejajar dengan matlamat menjadi negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020, malahan melangsungi gagasan Trasformasi Negara 2050 bagi menjadi antara 20 negara terbaik di dunia.

Ini pastinya memerlukan jentera perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan bagi menjadi tulang belakang utama mempromosi, merancang, melaksanakan dan menilai dasar-dasar kerajaan secara komited dan berkesan.

Apakah antara pemodenan sektor perkhidmatan awam yang Datuk Seri ingin terjemahkan?

ZAINAL: Salah satu perkara yang kita akan tekankan adalah pengukuhan bakat. Dalam jangka masa hadapan, kita akan melihat beberapa skim perkhidmatan sudah tidak berapa relevan lagi, kita akan memperbaiki ini dengan mencakupi bidang-bidang baharu dari segi perkhidmatan yang diberikan.

Contoh, pada masa hadapan, kita telah mula bertapak kepada digital government. Bila melonjak digital, perlu ada pegawai atau perkhidmatan mendukung hasrat itu. Beberapa perkara baharu seperti Big Data Analytics, sudah pastinya memerlukan kepakaran antaranya saintis data dan penganalisis data, ini aspek yang perlu kita fikirkan dan membentuk skim berkaitan. Kita juga akan meletakkan pegawai-pegawai berkebolehan bagi memastikan sistem penyampaian yang lebih telus, tepat dan cekap untuk tangani permintaan tidak terbatas dari rakyat. Kita telah perkukuhkan pengambilan anggota perkhidmatan awam melalui saringan yang cukup baik.

Malah kita ada unit yang boleh mengukur pengurusan bakat dipanggil SUPREME. Kita perlukan pegawai awam yang berketrampilan, analitikal dan boleh beri pandangan yang berkesan. Kalau tiada kebijaksanaan melaksana dasar, tiada kepekaan menilai sesebuah program, akhirnya kesampaian sesebuah dasar itu tidak terjah kepada rakyat.

Perkhidmatan awam sentiasa dinilai oleh masyarakat terutamanya menerusi media sosial, bagaimana pihak pengurusan menjaga standard perkhidmatan awam?

ZAINAL: Kita ada semak dan imbang dalam perkhidmatan awam, bagi mereka yang menonjolkan peribadi baik, komited, melonjak produktiviti dan jalankan tanggungjawab penuhi kemahuan rakyat, mereka ini akan diberi lonjakan seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan apresiasi tertentu. Bagi mereka yang gagal melaksanakan tugas dengan baik, pekerti rendah, tidak cekap, produktiviti rendah, akhir tahun mereka akan dinilai, kalau capaian mereka rendah di bawah 60 peratus, mereka akan tertakluk kepada exit policy. Polisi ini kita mula perkenalkan pada tahun 2016 dan tahun 2017 adalah tahun pelaksanaannya.

Bagi tahun 2017, sebanyak 1,250 orang dikenal pasti termasuk dalam kategori 60 peratus rendah. Setelah dinilai secara terperinci, 701 orang dikenal pasti berprestasi sedemikian dan mereka dibawa ke sesi pemulihan tahun ini. Mereka ini diberi peluang selama satu tahun untuk melalui proses penambahbaikan dan pembelajaran semula, andai kata mereka masih tunjuk kegagalan, mereka tidak wajar berada dalam perkhidmatan dan harus ditamatkan menerusi polisi ini.

Bagaimana pula dengan masalah integriti yang turut membelenggu penjawat awam?

ZAINAL: Ini adalah masalah individu itu sendiri. Kita sudah ada peraturan dan menetapkan panduan serta tanggungjawab yang sepatutnya dipatuhi tetapi tetap ada juga mereka yang tamak dan melakukan perkara yang tidak betul. Nilai dan budaya sudah kita tekankan sejak lama dahulu tetapi manusia itu tetap tidak sempurna. Dalam hal ini, penjawat awam perlu mengingat kembali aku janji yang mereka telah buat serta niat mereka menjadi penjawat awam.

Banyak faktor yang menyebabkan masalah integriti. Tidak hanya dari segi soal rasuah, kalau mereka datang lambat pun itu mencerminkan integriti yang lemah. Pada masa hadapan, lebih banyak teknologi komunikasi dan maklumat akan digunakan dalam perkhidmatan awam dan ini mengurangkan urusan secara bersemuka. Dengan lebih banyak permohonan secara online dan kelulusan secara online, kita akan melihat perkhidmatan yang lebih transparen.

Kita bagaimanapun mengambil serius daripada Laporan Ketua Audit Negara. Bagi tindakan susulan untuk laporan itu bagi tahun 2012-2015, kita telah kenal pasti 493 tindakan yang perlu diambil berhubung masalah integriti dalam kalangan penjawat awam. Sebanyak 160 orang dihukum, 308 dibebas, 23 dibawa ke prosiding dan dua orang di bawah tindakan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)

Baru-baru ini isu lambakan penjawat awam hangat diperkatakan, boleh Datuk Seri ulas?

ZAINAL: Pertama sekali, kita kena faham definisi perkhidmatan awam dalam negara kita turut merangkumi perkhidmatan tentera, kehakiman dan perundangan, awam am persekutuan, polis, awam am negeri, pendidikan, perkhidmatan bersama persekutuan dan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini menjadikan jumlah penjawat awam lebih kurang 1.6 juta orang.

Banyak pihak kata jumlah itu terlalu besar tetapi kena faham, istilah perkhidmatan awam di negara lain tidak merangkumi apa yang kita rangkum seperti tentera, guru, polis dan doktor. Ini seolah-olah membandingkan epal dengan oren. Nisbah penjawat awam Malaysia berbanding 30.9 juta penduduk adalah 1:19. Kalau kita ambil negara-negara Komanwel misalannya, nisbah penjawat awam mereka tidak banyak beza dengan kita kalau mereka merangkumi juga sektor keselamatan, pendidikan dan kesihatan. Nisbah Singapura contohnya akan menjadi 1: 23, United Kingdom 1:18, Australia 1:12 dan New Zealand 1:13.

Andai kata kita menolak sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan di Malaysia yang merangkumi 57 peratus penjawat awam iaitu 682,790 orang, nisbahnya penjawat awam berbanding populasi penduduk akan menjadi 1:44. Bagaimanapun, kita mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, negara lain yang tidak ada perkara itu dalam perlembagaan memang boleh mendabik dada yang nisbah mereka tinggi.

Bagaimana pula jumlah emolumen penjawat awam dikatakan tinggi dan pelaksanaan usia bersara 62 tahun?

ZAINAL: Emolumen RM77.4 bilion (untuk tahun 2017) merupakan imbuhan kepada perkhidmatan awam. Kita tidak boleh memotong gaji, ini tidak adil. Berbanding negara-negara lain, jumlah emolumen penjawat awam kita adalah sederhana.

Mengenai mereka yang dilanjutkan perkhidmatan kepada usia 62 tahun. Jumlah ini terlalu kecil, saya boleh katakan kurang 0.001 peratus. Ini hanya melibatkan jawatan kritikal seperti doktor pakar dan profesional tertentu sahaja. Kita lanjutkan perkhidmatan mereka supaya ilmu dapat disampaikan kepada golongan muda dan mengelak daripada mengambil tenaga pakar luar.

Parti DAP sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini?

ZAINAL: Sebelum setiap pengambilan, kita telah membuat unjuran keperluan dengan melihat beban tugas, masa hadapan negara dan bidang-bidang baharu. Unjuran ini berasaskan kajian saintifik, bukan sewenang-wenangnya ambil. Kita mengambil mengikut core business kementerian.

Perjawatan seperti polis, tentera, doktor, jururawat, cikgu, ini semua adalah bidang-bidang kritikal. Setiap tahun, kira-kira 28,000 orang penjawat awam bersara dan pengisian berkenaan kita buat mengikut keperluan.

Setiap tahun graduan-graduan keluar dari universiti, atas keprihatinan, kita buka permohonan untuk isi keperluan. Kita ambil bukan sahaja untuk menggantikan mereka yang pencen tetapi juga mengambil kira bidang-bidang baharu. Kita bukannya ambil sembarangan. Hasrat pengurangan itu adalah hanya gimik, saya percaya mereka (DAP) tidak buat seperti itu.