Ini bukanlah kes yang jarang-jarang berlaku kerana sindiket ini menjadi ancaman kepada orang ramai yang mudah terpedaya dengan taktik licik sindiket ini sejak belakangan ini.

Pada 2017, sebanyak 400 kes penipuan menerusi panggilan palsu dilaporkan di Pahang sahaja. Angka ini sangat membimbangkan kerana kerugian yang dialami oleh individu bukannya sedikit.

Penulis pun sudah beberapa kali menerima panggilan misteri daripada pelbagai pihak yang mendakwa penulis melakukan pelbagai kesalahan termasuklah panggilan dari mahkamah. Rasa-rasanya tahun ini sudah empat kali penulis menerima panggilan sedemikian termasuklah daripada pihak yang mendakwa mereka dari institusi kewangan dan ibu pejabat polis kerana penulis dikatakan melakukan kesalahan lalu lintas.

Oleh sebab penulis selalu mendengar cerita daripada rakan-rakan yang selalu mendapat panggilan yang serupa, penulis tidak melayannya. Bagaimanapun kali pertama penulis menerima panggilan daripada ‘mahkamah’ dan oleh sebab penulis tiada pengalaman, penulis melayannya.

Nasib penulis baik kerana teringat bahawa telefon penulis didaftar bukan atas nama penulis. Apabila penulis bertanyakan siapa yang bersalah sehingga ada kes mahkamah, pihak ‘mahkamah’ yang menelefon penulis itu terdiam dan akhirnya menyuruh penulis ke Mahkamah Ipoh untuk menyemak kesalahan.

Berkali-kali penulis bertanyakan siapa yang bersalah dan apabila pertanyaan itu tidak boleh dijawab, akhirnya pihak ‘mahkamah’ yang menelefon penulis itu meletakkan gagang telefon. Barulah penulis tahu bahawa penulis cuba ditipu. Lebih meyakinkan penulis adalah apabila penulis mendail semula nombor yang membuat panggilan itu, nombor itu tiada dalam perkhidmatan.

Kes penipuan dan jenayah terancang ini mesti diberi perhatian serius oleh orang ramai. Sudah ramai yang ditipu gara-gara takut akan tindakan yang dikenakan oleh pihak-pihak ‘berkuasa’ tertentu yang mendakwa kita bersalah, tidak membayar apa-apa hutang dan pelbagai jenis tunggakan yang belum kita bayar.

Ini memperlihatkan bahawa walaupun pemantauan dilakukan dengan pelbagai cara oleh pihak berkuasa, sindiket ini masih berleluasa dan berjaya menipu orang ramai dengan jumlah yang agak besar.

Kesedaran orang ramai tentang penipuan yang licik ini sangat penting untuk membendung kegiatan tidak bermoral sindiket ini. Bagi yang pernah terkena mungkin akan selamat tetapi mereka mesti berjaga-jaga kerana pelbagai kaedah dilakukan oleh golongan ini untuk mencari kelemahan kita yang akhirnya menguntungkan mereka atas angin.

Bagi yang belum pernah terkena, setiap daripada kita mesti berhati-hati dengan panggilan yang mencurigakan. Sebaiknya jangan dilayan panggilan tersebut terutama­nya apabila mendapati nombornya mencurigakan. Kalau nombornya tidak mencurigakan, kewaspadaan perlu ada apatah lagi jika butir-butir perbualan agak kabur dan tidak boleh dipercayai.

Oleh hal demikian, janganlah dengan mudah memberikan identiti kepada si pemanggil terutamanya apabila si pemanggil meminta nama sebenar, nombor kad pengenalan apatah lagi nombor akaun bank jika tidak ingin menghadapi masalah.

Pihak berkuasa mesti berusaha dengan lebih keras memantau aktiviti sindiket ini supaya tidak terus berleluasa di negara kita. Setakat ini sudah banyak tangkapan dibuat membabitkan rakyat warga asing dan warga tempatan yang terlibat dalam sindiket penipuan ini.

Kesedaran individu sangat penting untuk menangani masalah ini. Kita mestilah memahami bahawa dalam zaman yang serba canggih dan mencabar ini, pelbagai kaedah dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencari wang dengan cara yang mudah.