Masyarakat juga mungkin memahami bahawa autisme sebagai sejenis gangguan ketidakseimbangan perkembangan saraf yang akan memberi pelbagai kesan ter­tentu kepada kesejahteraan dan kemajuan fungsi intelek dan pembelajaran, masalah tingkah laku dan isu sosial berkaitan kepada penghidap dan juga keluarga.

Masyarakat juga mungkin memaklumi bahawa individu autisme ini sebagai golongan istimewa yang memerlukan pelbagai intervensi, program dan pengurusan yang khusus dan istimewa untuk membantu mereka agar dapat me­nyumbang kepada kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Hakikatnya, masih terdapat kekeliruan dan salah tanggapan terhadap golongan ini. Apa yang lebih menyedihkan, salah tanggapan itu bukan sahaja wujud dalam kalangan ahli keluarga pesakit sendiri, malah masyarakat umum terutamanya yang berada atau tinggal di sekitar keluarga tersebut.

Antara salah tanggapan biasa ialah individu autisme adalah seorang cacat mental, tidak boleh belajar atau diajar, berisiko menjadi ganas dan tidak terkawal, berbahaya kepada orang lain, mengancam keharmonian ibu bapa dan keluarga serta masyarakat setempat. Inilah asas kepada stigma yang telah berakar umbi dalam masyarakat. Membanteras stigma dan salah tanggapan umum masyarakat ini perlu digiatkan lagi secara berterusan.

Ketidakseimbangan perkembangan neuro seperti autisme ini berlaku dalam pelbagai bentuk yang menentukan tahap kefungsian mereka dalam menerima pembelajaran dan menjalani kehidupan. Dua individu dengan gangguan yang sama dalam kategori ini amat berbeza antara satu sama lain baik dari segi keterukan dan keupayaan masing-masing. Mereka bukan cacat.

Perkembangan saraf mereka mungkin terlambat sedikit berbanding dengan individu normal lain. Malah, kajian ada menunjukkan mereka mampu berfungsi seperti individu normal lain dari segi intelek dan pembelajaran. Terdapat juga yang mempunyai kelebihan dan keupayaan fungsi intelek serta bakat yang lebih baik dari individu normal.

Mereka juga boleh menjalani kehidupan lain seperti bekerja dan mempunyai keluarga, asalkan dibantu dengan intervensi khusus pada peringkat lebih awal lagi. Intervensi perlu sesuai berdasarkan kepada tahap keupayaan penerimaan mereka. Ini kerana objektif intervensi adalah meningkatkan keupayaan kefungsian mereka ke tahap optimum selaras dengan tuntutan umur, pembelajaran, kerjaya dan peranan sosial.

Sementara, keperluan kepada intervensi dan penentuan tahap keperluan tersebut pula harus dinilai oleh pakar dalam pengurusan dan hala tuju kehidupan golongan ini dan bukan dinilai oleh sesiapa sahaja yang tidak bertauliah. Sesuatu yang perlu difahami ialah terdapat individu autisme ini masih memiliki fungsi intelek yang baik serta boleh menerima input pendidikan dan latihan yang sesuai dengan keupayaan mereka.

Seterusnya, intervensi diperlukan bukan semata-mata bagi mengoptimumkan keupayaan fungsi intelek mereka sahaja, malah, di samping itu, perlu kepada intervensi dalam aspek peningkatan kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial serta pengurusan emosi negatif yang mereka alami.

Rata-rata individu autisme ini mempunyai isu sensori yang akhirnya akan memberi kesan kepada kecelaruan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan serta isu-isu lain berkaitan tingkah laku yang sukar dikawal. Tingkah laku mereka akan kelihatan agresif tetapi hakikatnya mereka bertarung dengan kesukaran dalam menguruskan perasaan mereka akibat daripada isu sensori yang mereka alami. Kecelaruan emosi inilah yang perlu dirawat dan diuruskan sebaik-baiknya pada peringkat awal.

Seterusnya, isu kesedaran perlu turut ditumpukan kepada penyebaran maklumat berkaitan penyedia perkhidmatan berkaitan rawatan dan pemulihan serta pendidikan dan latihan kepada individu autisme dan keluarga mereka. Ia lebih kepada kemudahan dari segi mendapatkan rawatan dan intervensi yang sesuai pada masa yang tepat. Namun, isu ini memerlukan usaha sistematik dan bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi di peringkat negara yang diharapkan akan menjadi lebih terurus pada masa hadapan.

Individu autisme dan keluarga mereka lebih mengharap­kan kepada peluang untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan serta pendidikan yang adil dan saksama. Pendidikan bersifat inklusif adalah lebih menjadi keutamaan. Namun, bilangan sekolah serta pusat latihan tersebut perlu ditingkatkan, manakala pendidik yang amat terlatih juga perlu ditambah agar dapat menampung keperluan peningkatan bilangan individu autisme.

Sesuatu yang amat baik untuk difikirkan adalah memberikan nilai penarafan standard berdasarkan merit kepada penyedia perkhidmatan dan institusi yang menyediakan pendidikan dan latihan kepada individu autisme sebagai langkah penilaian kepada tahap profesionalisme intervensi yang mereka sediakan kepada individu dan keluarga golongan ini.

PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).