Jika keadaan ini berlaku, maka ia merupakan pertempuran langsung antara AS dan Rusia yang dapat dilihat seperti perang tanpa perisytiharan. Moscow menolak apa yang disebut sebagai diplomasi melalui Twitter. Rusia mahu rundingan dilakukan supaya dapat meredakan ketegangan hubungan dengan AS.

Sebarang ketegangan yang membawa kepada pertempuran kedua-dua negara pasti menjejaskan keselamatan dunia. Tetapi dari segi kekuatan tentera, AS adalah jauh mengatasi Rusia.

Lebih-lebih lagi dari segi kelebihan ekonomi dan diplomasi antarabangsa. Namun di Syria, AS berada di pihak yang kalah apabila Damsyik dapat menguasai kembali wilayah-wilayah yang dikuasai pemberontak.

Damsyik mendapat sokongan dan bantuan Rusia. Para pemberontak pula memperolehi sokongan dan bantuan AS. Jadi dalam perang proksi ini AS sedang kalah kepada Rusia.

Hasrat Trump hendak menyerang Syria itu adalah atas alasan bahawa Damsyik menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya, khusus di kawasan yang menyokong dan dikuasai oleh pemberontak. Syria menafikannya dan Rusia mahukan supaya badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat serangan itu.

Kebenaran sama ada Damsyik menggunakan senjata kimia tidaklah diketahui. Mereka yang berada di sana melaporkan adanya penggunaan senjata kimia.

Tetapi mungkin juga perkara ini adalah propaganda para pemberontak bagi membolehkan AS melakukan serangan ke atas rejim Syria. Jika AS menyerang, ia akan melemahkan kemaraan tentera Damsyik untuk menguasai kesemua wilayah yang dikuasai para pemberontak.

Dalam peperangan-peperangan lalu, maklumat tidak benar digunakan untuk membolehkan sesuatu tindakan. Perkara ini pernah berlaku pada rejim Saddam Hussein di Iraq. Alasan AS menyerang dan menakluk Iraq adalah atas sebab bahawa Saddam mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Tetapi setelah Saddam tumbang, ternyata WMD tidak wujud dan ia merupakan maklumat palsu yang direka oleh para penentangnya.

Namun begitu, rejim Saddam yang berideologikan Baathisme adalah kejam. Mereka bukan saja membunuh rakyatnya tetapi menggunakan senjata kimia.

Ini dilakukan Saddam ke atas rakyatnya dari kalangan etnik Kurdis di kota Halabja semasa Perang Iran-Iraq. Rejim Bashar Assad adalah juga berideologikan Baathisme.

Mereka seperti Saddam juga kejam dan penggunaan senjata kimia adalah suatu yang tidak mustahil dilakukan untuk mengalahkan pemberontak. Berlakunya pemberontakan ini adalah kerana kekejaman kerajaan Damsyik.

Ia bermula dengan demonstrasi Arab Spring dan melebar menjadi pemberontakan bersenjata. AS membantu bukan saja demonstrasi Arab Spring tetapi pemberontakan bersenjata.

Walaupun tujuan sokongan Washington adalah untuk membebaskan rakyat Syria daripada rejim Baathisme, tetapi perkiraan akhirnya adalah kepentingan geopolitik dan geoekonomi kuasa itu di Timur Tengah.

Syria adalah negara strategik dari segi kedudukannya bersempadan dengan Israel, Lebanon, Iraq, Iran dan Turki. Bayangkan jika sebuah kerajaan demokratik yang pro-Washington berkuasa di Damsyik, maka ia mampu menjadi jiran yang baik dengan Israel dan akan juga melahirkan Lebanon yang pro-Barat.

Di samping itu, Damsyik yang pro-AS tidak akan menjadi sekutu Iran. Bersama Turki yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Syria pro-Barat akan melindungi kepentingan AS di Timur Tengah.

Tetapi kedudukan strategik Syria ini menyebabkan Rusia dan Iran tidak akan membenarkan rejim Assad tumbang. Buat masa ini, Rusia-Iran-Hizbullah ternyata telah menyelamatkan Syria daripada tumbang kepada pemberontak.

Namun begitu, pemberontak masih menguasai beberapa kawasan dan AS berusaha mempertahankan keadaan ini supaya Damsyik tidak menang penuh dalam perang saudara ini. Sebaliknya dapat pula diwujudkan kerajaan Damsyik yang seimbang iaitu mengambil kira kepentingan AS di samping menerima sokongan Rusia dan Iran.

Tetapi persaingan AS-Rusia di Syria hanya mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat negara itu. Sebahagiannya sudah hilang harapan dan meninggalkan tanah air mereka untuk mencari kehidupan baharu di Eropah.

Sasaran

Sebahagian pelarian ini adalah yang menentang rejim Assad. Mereka yang menyokong pemberontak dan demonstrasi Arab Spring mengimpikan sebuah Syria yang demokratik, progresif dan maju seperti negara Barat. Sementara sebahagiannya pula mengimpikan sebuah negara Islam yang makmur.

Mereka bukanlah menyokong AS, tetapi mahukan Syria yang demokratik dan bebas daripada pemerintahan autokratik Damsyik.Tetapi persaingan AS-Rusia dan Saudi-Iran menyebabkan rejim Assad terus berkuasa. Sebahagian rakyat Syria menyokong Assad.

Walaupun tidak demokratik tetapi di bawah Assad, Syria aman dan sebahagian kebajikan rakyat dipenuhi. Tetapi mereka yang menentang rejim itu menerima padah dan kezaliman.

Kerana sifat kejam itu banyak pihak percaya bahawa rejim Assad tidak teragak-agak menggunakan senjata ngeri seperti bom kimia terhadap rakyatnya sendiri. Tidak ada jalan lain selain daripada demokrasi untuk mewujudkan negara yang berperikemanusiaan.

Sudah tentu AS menangguk di air keruh dalam keadaan ini. Cuba bayangkan kalaulah rejim Assad itu pro-AS, maka Washington tidak akan menyokong demonstrasi Arab Spring dan pemberontakannya.

Tetapi antara sebab pemberontakan itu gagal ialah pejuang-pejuangnya tidak berperikemanusiaan. Sebahagiannya adalah pendokong sekular. Tetapi tidak semua merupakan pendokong demokrasi.

Ada antaranya adalah sama keras dengan tentera Damsyik. Mereka memberontak hanya untuk mendapat kuasa, bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat dan menuntut demokrasi.

Sementara golongan yang tidak sekular, iaitu Islamis pula, ada antaranya juga tidak berperikemanusiaan, malah menjadi pengganas. Kehadiran Daesh yang menyebabkan pemberontakan gagal dan ia dijadikan alasan oleh Rusia untuk campur tangan. Bagi Damsyik, semua pemberontak adalah pengganas. Mereka menyifatkan Amerika menyokong keganasan.

Sedangkan pengganas adalah hanya sebahagian daripada pemberontak seperti Daesh dan al-Qaeda. Akhirnya yang menanggung kesengsaraan adalah rakyat Syria.

Sebahagiannya telah menanggung kezaliman daripada kerajaan mereka sendiri, iaitu rejim Assad. Sebahagian pula menanggung penderitaan ketika di bawah pemerintahan Daesh dan kumpulan pemberontak Islamis.

Apabila Rusia dan AS masuk campur dengan menggunakan bom, rakyat Syria pula yang menanggung kematian, kecederaan dan kesengsaraan. Walaupun sasaran mereka adalah tentera tetapi letupan bom tidak mengenal sesiapa, sama ada beruniform atau tidak.

Adalah mudah bagi Trump atau tenteranya berkira-kira untuk melakukan serangan. Arahan dibuat dan semboyan diberikan dalam bilik berhawa dingin. Peluru berpandu akan dilancarkan dari kapal perang AS yang berada di Laut Mediterranean.

Tidak ada askar AS yang akan mati. Tetapi apabila ia meletup di bumi Syria, yang kena sasaran bukan tentera semata-mata tetapi rakyat yang mencari perlindungan.

Perang menghalalkan segala kejahatan. Sifat hendak membunuh sesama insan sememangnya sentiasa wujud dalam sanubari sebahagian manusia.