Di Malaysia, saya cuba korek sejarah dari mana jargon Ali Baba ini wujud. Adakah bermula de­ngan perkongsian bisnes di antara saudagar Melayu yang digelar ‘Ali’, dengan saudagar Cina keturunan ‘Baba’ yang digelar ‘Baba’ dalam jargon itu. Saya tidak ­ketemui fakta yang tepat. Saya mengandaikan ia adalah jargon yang sering diguna bagi merujuk kepada satu budaya perkongsian bisnes di antara dua saudagar berbeza ras, di zaman datuk nenek kita dulu. Jika itu benar wujud sehinggakan ia acapkali dirujuk sebagai saudagar Ali Baba, maka ia adalah satu budaya yang baik di zaman itu. Alangkah baik jika budaya itu benar dan kekal wujud hingga kini.

Pun begitu, di zaman kita ini, bila disebut Ali Baba, secara spontan orang akan memberikan persepsi yang kurang sihat. Dalam dunia bisnes di Malaysia, Ali Baba adalah sesuatu yang semua orang cuba jauhi. Ia seolah-olah mewa­kili perwatakan dua saudagar, ‘Ali’ saudagar Melayu dan ‘Baba’ saudagar Cina, menjalankan bisnes secara bersama tetapi tidak dalam ruang lingkup budaya bisnes yang sihat. Kedua-dua dianggap sama macam perwatakan black spy dalam The Mad Magazine.

Persepsinya sangat tidak sihat sehinggakan hari ini jika kita nampak atau mengetahui saudagar Melayu dan Cina menjalankan bisnes secara bersama, secara spontan kita lihat saudagar ­Melayu itu digunakan oleh saudagar Cina sebagai sleeping partner, bagi tujuan tertentu, atau Melayu itu (tak semestinya sau­dagar) menggunakan rakan sau­dagar Cinanya untuk cepat peroleh pulangan kewangan dari projek yang diperoleh melalui kerajaan. Tiada imej elok dari perkongsian atau kesepakatan itu.

Begitu teruknya imej jargon Ali Baba itu sehinggakan masyarakat begitu pantas menghukum bila mana berlaku ketirisan dalam pemberian kontrak kerajaan kepada bumiputera, ia adalah berpunca dari campur tangan oleh saudagar-saudagar Ali Baba ini. Akhirnya, Ali Baba dijadikan kambing hitam sebagai penyebab kepada kegagalan agenda bumiputera dalam bisnes.

Maka wujudlah banyak usaha bagi mengekang dan menghalang untuk tidak lahir perkongsian bisnes di antara dua saudagar Ali dan Baba. Malah ada yang berusaha untuk menggubal satu undang-undang khusus bagi menghukum mana-mana pihak yang cuba meng­alibabakan projek atau kontrak kerajaan bagi kepentingan sempit sesuatu pihak. Begitulah teruk­nya nasib si Ali Baba di Malaysia, walhal di Asia Barat, namanya masyhur dijulang menjadi nama komersial yang berpengaruh.

Pada 1999 apabila Jack Ma bersama beberapa rakannya dalam kalangan saudagar di Cina dan dari Barat menubuhkan portal perdagangan atas nama Alibaba dan selang beberapa tahun kemudian syarikat itu disenaraikan di Bursa Hong Kong, ramai juga saudagar dari Malaysia, termasuk saya melanggani platform perdagangan itu. Tidak pula kita ­merasa pelik dengan nama itu, malah tiada siapa pun mencerca atau menghina portal itu.

Kini, dengan jargon itu juga Jack Ma berjaya membina empayar bisnesnya yang bernilai berbilion dolar Amerika. Beliau semakin terkenal di merata dunia. Kita juga mengundang beliau ke Malaysia, negara yang menghukum jargon yang sama, ‘Ali Baba’. Kita terima Ali Baba oleh Jack Ma tanpa soal. Malah kita julang Ali Baba dari luar ini tanpa ragu-ragu.

Begitulah nasib Ali Baba dalam empat senario yang berlainan. Ali Baba di Asia Barat adalah satu nama komersial yang popular. Ali Baba buatan Malaysia adalah satu nama yang diselubungi pelbagai tohmahan. Bila Ali Baba buatan negara asing itu bertapak di negara ini, kita julang tinggi nama itu. Mana silapnya Ali Baba Malaysia?

Tiba masanya kita melakukan tabayun, menilai apa ada pada nama Ali Baba itu dan apa yang kita semua sudah lakukan bagi bersangka baik dengan nama itu bagi membina kesepakatan dan toleransi komuniti majmuk kita ini, demi membina kekuatan secara bersama.

Saya mengandaikan konsep perkongsian bisnes Ali Baba dalam kesepakatan ekonomi di zaman datuk nenek kita dulu adalah antara usaha mereka bagi mengurangkan kecenderungan membina race-based economy di negara ini.

Ia bukan satu model ekonomi yang sesuai untuk masyarakat majmuk seperti kita. Cuma agaknya pada zaman itu budaya itu kurang menyerlah. Ini mungkin disebabkan tidak begitu ramai Ali pada masa itu, menceburi dunia bisnes, untuk dijadikan rakan perkongsian bisnes oleh Baba. Bila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, secara meletup muncul ramai saudagar Ali.

Apa kata kita bina semula imej Ali Baba Malaysia dengan niat yang baik, agar Ali Baba kelahiran Malaysia itu sama baik namanya dengan Ali Baba ciptaan Jack Ma itu.

Jika dalam politik, kesepakatan UMNO-led race-based parties dalam BN mampu kekal utuh hingga kini sekalipun berbagai badai dan gelombang cuba merobohnya, mengapa tidak budaya yang sama diterjemah menjadi ‘bumiputera-led’ Komuniti Ekonomi Malaysia. Secara bersama mereka bina empayar ekonomi berjenama, misalnya, bumiputera-led Global Malaysia Incorporated.

Kini sudah ramai usahawan dan tokoh korporat bumiputera berprofil tinggi dan hebat dalam bisnes. Mereka mampu ­menerajui empayar bisnes berskala besar seperti Global Malaysia Incorporated itu. Mereka ini tidak sewajarnya terhenti atau tersekat sekadar menerajui GLC dan GLIC yang dikuasai atau dipengaruhi kerajaan saja. Ramai daripada mereka itu wajar dijadikan Ali untuk menerajui kesepakatan ekonomi komuniti Malaysia dalam wajah baru, untuk kembalikan zaman kegemilangan perkongsian bisnes di antara saudagar Ali dengan saudagar Baba di zaman datuk-nenek kita dulu.

Apa salahnya kita jelmakan semula Ali Baba kelahiran Malaysia yang tercemar itu untuk dijadikan jargon dan ikonik ekonomi yang positif untuk manfaatkan kekuatan ekonomi dan politik. Kita ambil yang jernih dan pa­damkan yang keruh.

Jika Jack Ma berjaya membawa imej yang baik kepada Ali Baba ciptaannya, kenapa tidak kita yang lebih lama mendakap Ali Baba, melakukan sesuatu jauh lebih baik daripada itu!

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).